Gianluigi Buffon Tiada Perancangan Untuk Bersara Dalam Tempoh Terdekat Ini

Penjaga gol legenda, Gianluigi Buffon mendedahkan yang beliau masih belum berhasrat untuk bersara dari dunia bola sepak dan mahu terus beraksi di pentas profesional.

Buffon sepertinya masih gagah walau sudah berusia 44 tahun dan beliau pada ketika ini sedang dalam persiapan untuk beraksi pada musim ke-28 beliau di pentas bola sepak profesional.

Bekas ketua pasukan Itali itu pada ketika ini sedang beraksi bersama Parma dengan beliau kembali sertai kelab pertamanya itu dari Juventus pada musim panas lalu.

Buffon membuat 26 penampilan dari semua pertandingan sepanjang musim lalu dan penjaga gol veteran itu menolak untuk bersara dalam masa terdekat ini.

Beliau bahkan turut menegaskan yang beliau mampu beraksi selama satu dekad lagi.

“10 tahun bersama Parma pada karier pertama, kemudian 20 tahun bersama Juventus pada karier kedua, kemudian ke Paris, ke Juve dan sekarang saya kembali ke tempat asal saya di Parma dan kini sudah masuk tahun kedua saya.”

Jelas Buffon ketika bercakap tentang perjalanan kariernya.

“Dan saya belum 100. Bersara di usia 55? Kurang atau lebih. Adakah saya akan berlatih selepas bersara? Saya dah fikir sejak sekian lama tentang bila saya akan bersara. Fikiran saya bercelaru, saya selalu fikirkan tentang itu untuk tempoh 10 tahun, tapi saya tetap teruskan.”

Buffon juga turut menegaskan yang beliau mungkin akan memilih cabang karier yang berbeza di luar bola sepak sebaik beliau menggantung glovenya.

“Saya dah lalui pengalaman yang menakjubkan yang membenarkan saya untuk tahu tentang dunia bola sepak, tapi saya tak 100 peratus yakin yang saya akan kekal di dunia ini.”

Tambah Buffon lagi.

“Mungkin saya akan nikmati pengalaman lain, saya tahu bola sepak, saya curiga dan saya juga mahu tahu tentang dunia luar.”

Buffon sudah beraksi sebanyak 956 perlawanan bersama skuad utama dalam dunia bola sepak sejak dari awal debutnya bersama Parma pada tahun 1995 yang lalu.

Beliau telah berjaya memenangi pelbagai kejuaraan sepanjang kariernya termasuk 10 gelaran Serie A bersama Juventus.

Buffon juga merupakan antara pemain paling banyak caps dalam sejarah bola sepak Itali dengan beliau sepanjang kariernya telah membuat 176 penampilan untuk The Azzurri.

Antara kejayaan paling menakjubkan sepanjang kariernya, Buffon pernah membantu Itali untuk menjuarai saingan Piala Dunia pada tahun 2006 yang lalu.

Sementara beliau ketika ini sudah bersara dari pentas bola sepak antarabangsa, Buffon sepertinya masih mahu terus menambah statistik beliau di peringkat kelab.

Beliau kini sedang bersama skuad Parma untuk aksi pra-musim menjelang bermulanya musim baharu dalam saingan Serie B.

Walau bagaimanapun, perjalanan Buffon untuk menjadi pemain paling tua dalam sejarah dunia bola sepak sepertinya masih panjang lagi.

Pemain paling tua dalam sejarah dunia bola sepak pada ketika ini menjadi milik legenda Jepun, Kazuyoshi Miura yang masih bermain untuk Suzuka Point Getters di usia 55 tahun.

Selain Buffon, Zlatan Ibrahimovic juga antara pemain berusia 40 an yang masih kekal beraksi di pentas bola sepak profesional di Eropah.

Legenda Sweden itu juga tidak bercadang untuk bersara dalam tempoh terdekat ini, dengan Atan pernah mendedahkan yang beliau akan terus bermain selagi khidmatnya diperlukan.

Bersama AC Milan, Atan berjaya membantu kelab untuk menjuarai saingan Serie A pada musim lalu, dan pengalaman yang beliau miliki jelas sekali sangat membantu kelab untuk mencapai kejayaan tersebut.

Sumber: SPORTbible

BACA:  Gianluigi Buffon Bintang Eropah Terbaru Dilamar Kelab Arab Saudi