Selepas 26 Tahun, Buffon Akhirnya Kembali Sertai Parma

Gianluigi Buffon telah menandatangani perjanjian selama dua tahun bersama pasukan dari Serie B yang juga merupakan kelab pertamanya, Parma.

Pada 26 tahun lalu, Buffon telah melakukan debutnya dalam dunia bola sepak bersama Parma di usia 17 tahun 295 hari.

Di dalam aksi debutnya itu, Gianluigi Buffon memperkenalkan dirinya kepada dunia dengan aksi yang mengagumkan dan turut mencatatkan clean sheet dalam perlawanan tersebut.

Awal minggu ini, penjaga gol berusia 43 tahun itu telah mengesahkan yang beliau mahu meneruskan karier bola sepak profesionalnya selepas meninggalkan Juventus pada penghujung musim lalu.

Buffon pada musim lalu sempat membuat 14 penampilan untuk Juventus dalam semua pertandingan sebelum beliau memutuskan untuk meninggalkan skuad The Old Lady itu.

Bekas penjaga gol utama skuad kebangsaan Itali itu telah menerima lebih dari lima tawaran untuknya, ia termasuklah tawaran dari Besiktas dan Flamengo.

Fabrizio Romano turut mendedahkan yang Buffon menolak kesemua tawaran itu dan beliau sebelum ini mengumumkan bahawa dirinya mahu berfikir dahulu tentang masa depannya.

Walau bagaimanapun, pemain veteran itu berjaya diyakinkan untuk sertai Parma dan terlibat dengan pelan perancangan kelab untuk naik ke saingan Serie A.

Bulan lalu, Buffon mendedahkan yang beliau mahu memilih tawaran yang betul-betul menarik, menakjubkan dan menghiburkan memandangkan masih banyak kelab yang berminat untuk mendapatkan khidmatnya.

Selain Besiktas dan Flamengo, terdapat beberapa pasukan lagi yang mahu menandatangani beliau seperti Olympiakos dan Sevilla.

Benfica bahkan sanggup menulis sepucuk surat dalam usaha mereka untuk meyakinkan penjaga gol veteran itu untuk menyertai mereka.

Dalam surat tersebut, Benfica menulis:

“Kepada Gigi, kami dengar yang kamu sedang mencari cabaran baru dan bersedia untuk mendengar tawaran dan cabaran yang gila.”

“Oleh yang demikian, kami memutuskan untuk membentangkan kepada kamu sesuatu yang sangat menarik: macam mana kalau kamu berpindah ke Lisbon dan bantu kami untuk kembali ke tempat asal kami dalam saingan bola sepak Portugal, I Liga?”

Benfica kemudian turut menyatakan yang:

“Persahabatan kita bukan baru bermula hari ini. Kamu sudah kenal kami sejak 2004 lagi, tahun yang mana ketika itu kamu bersama skuad Itali berlatih di Estadio Do Restelo, rumah kami dan juga stadium yang paling cantik.”

“Kami sangat yakin yang kamu tentu tidak akan lupakannya bukan? Macam mana kamu nak lupa, keindahan pemandangan di stadium kami melihat Sungai Tagus. Memandangkan kamu wira dalam dunia bola sepak dan warganegara dunia, kamu tentu sudah kenal kami sebelum ini.”

Begitulah caranya Benfica cuba memujuk Buffon untuk sertai mereka dengan menulis surat yang penuh puitis.

Namun sayangnya Buffon tidak berminat dengan semua itu dan beliau lebih memilih untuk beraksi semula bersama pasukan yang pertama pernah beliau wakili sebagai pemain bola sepak profesional.

Gianluigi Buffon tidak dinafikan merupakan penjaga gol terhebat dunia ketika kemuncak kariernya dengan beliau pernah memenangi pelbagai kejuaraan.

Buffon sepanjang kariernya di peringkat kelab, beliau pernah menjulang 10 kali kejuaraan Serie A, 6 kali Italian Cup, 7 kali Italian Super Cup, satu kejuaraan Ligue 1, UEFA Cup dan French Super Cup.

Beliau juga pernah menjulang Piala Dunia bersama skuad kebangsaan Itali pada tahun 2006 yang lalu, maka tidak keterlaluan untuk katakan yang Buffon sememangnya antara penjaga gol terhebat dalam sejarah dunia bola sepak.

Mungkin kembalinya beliau menyertai Parma, Buffon bakal membawa semula kelab tersebut untuk beraksi dalam saingan Serie A.

BACA:  Buffon Dedah Beliau Sering Menangis Keseorangan