Gianluigi Buffon Bintang Eropah Terbaru Dilamar Kelab Arab Saudi

Gianluigi Buffon dilaporkan menjadi nama besar terbaru daripada Eropah yang cuba dipancing oleh kelab Arab Saudi.

Walaupun sudah berusia, bekas penjaga gol Juventus dan PSG itu masih beraksi pada usia 45 tahun bersama kelab Serie B, Parma.

Penjaga gol itu mengalami kecederaan harmstring pada musim 2022/23 namun kembali beraksi selepas itu dan melakukan 17 penampilan untuk Parma yang berjaya mara ke play-off Serie B.

Buffon dilaporkan masih mempunyai baki kontrak selama setahun bersama Parma, dan penjaga gol itu dikatakan mengintai satu lagi perpindahan di dalam kariernya yang dianggap legenda.

Laporan oleh media di Itali, Corriere dello Sport mendedahkan Buffon kini ditawarkan kontrak mewah untuk beraksi di Saudi Pro League.

Kelab yang tidak dinamakan itu dikatakan sanggup menawarkan Buffon pendapatan Β£25 juta setahun.

Sudah bergelar pemain profesional selama 28 tahun, Buffon yang pernah memenangi Piala Dunia bersama Itali kini dikatakan serius mempertimbangkan pilihan yang beliau ada.

Pada masa ini Buffon dikatakan mempunyai tiga pilihan untuk meneruskan kariernya untuk musim 2023/24.

Buffon boleh sahaja bersara daripada bola sepak dan bergelar pemain Itali dengan kaps tertinggi di peringkat antarabangsa, dan menjadi antara penjaga gol terbaik pada generasinya.

Pilihan lain ialah untuk kekal bersama Parma dan menjadi penjaga gol tertua beraksi di Liga Itali, memintas rekod yang kini dipegang oleh Andrea Pierobon.

Dan jika memilih untuk menerima tawaran untuk beraksi di Arab Saudi, Buffon akan bergelar pemain kedua dari Itali beraksi di Arab Saudi selepas Sebastian Giovinco yang pernah melakukan 57 penampilan untuk Al Hilal dari 2019 sehingga 2021.

Pemenang Ballon d’Or sebanyak lima kali, Cristiano Ronaldo menjadi nama besar pertama berhirah ke Arab Saudi apabila menyertai Al Nassr pada Januari lalu.

Sejak daripada itu kelab-kelab Arab Saudi melabur besar menarik nama-nama besar bola sepak Eropah apabila memancing pemain seperti Karim Benzema, N’Golo Kante, Ruben Neves, Edouard Mendy dan Kalidou Koulibaly.

Selain Buffon, nama-nama lain seperti Mohamed Salah, Bernardo Silva, David De Gea dan Son Heung-min turut pernah atau sedang dikaitkan dengan kelab-kelab dari Timur Tengah itu.

BACA:Β  Permintaan Melampau Man Utd Punca Bidaan Minit Akhir Al Ettifaq Untuk Sancho Tidak Jadi Kenyataan