Gol Denmark Sepatutnya Tidak Dikira, Walaupun Cantik

England semakin hampir untuk membawa bola sepak pulang ke pangkal jalan selepas menewaskan Denmark 2-1 di perlawanan separuh akhir semalam, sekaligus menempah tempat dalam perlawanan akhir menentang Itali pada 11 Julai nanti.

Buat kali pertama sejak penularan pandek Covid-19, Stadium Wembley telah diisi dengan kapasisit penuh dan tanpa penjarakan fizikal daripada para penyokong kedua-dua belah pasukan.

Perlawanan berlangsung sengit dengan kedua-dua pasukan saling menguji penjaga gol lawan, namun Denmark terlebih dahulu berjaya memecah kebuntuan pada minit ke-30 perlawanan. Mikkel Damsgaard telah membuatkan Pickford tewas buat kali pertama dalam kejohanan ini apabila dia melakukan tendangan kunckle shot yang padu ketika mengambil sepakan percuma.

Bola sepakannya meluru laju menerjah jaring tanpa sempat ditampan oleh penjaga gol England, sekaligus mendiamkan seketika para penyokong England di stadium dan juga di rumah seperti dalam video di bawah.

Walaubagaimanapun, para pakar bola sepak di internet telah mendakwa sepatutnya gol ini tidak dikira kerana pemain Denmark telah melakukan kesalahan ketika Damsgaard melakukan larian untuk mengambil sepakan.

Sebelum wisel ditiup, tiga pemain Denmark dilihat membuat benteng yang agak jauh daripada benteng England, namun dua saat kemudian selepas wisel ditiup, mereka bergerak mengensot menghampir benteng England.

Kalau ikutkan dalam kitab Law of the Game, tindakan ini bukan setakat makruh dah, tapi haram.

Law of the Game mensyarahkan bahawa;

“Bila mana tiga atau lebih pemain daripada pasukan yang bertahan membina benteng, kesemua pemain dari pasukan yang menyerang perlu berada sekurang-kurang 1 meter (1 ela) daripada benteng sehinggalah bola mula dimainkan.”

Kalau kita tengok gambar di dalam ciapan tersebut, pada minit ke 29:59, benteng Denmark berada agak jauh daripada benteng England, tetapi dua saat kemudian, tiberrrr je diorang dekat dengan benteng England.

Tindakan benteng Denmark tersebut telah menghalang pengelihatan penjaga gol terbaik dunia, Jordan Pickford, dan membuatkannya tidak dapat menahan bola Damsgaard tersebut, sekaligus membuatkan penyokong England terfikir apakah sumpahan separuh akhir pasukan mereka masih belum berakhir.

Walaubagaimanapun, tidak menunggu lama, England berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-38 apabila bola lorongan ke tengah kotak penalti oleh Bukayo Saka ditampan ke gawang sendiri oleh kapten marvel Denmark, Simon Kjaer selepas diberikan tekanan oleh Encik Raheem Sterling.

Pada minit ke-51, jantung penyokong England terhenti seketika apabila penyerang sensasi Denmark, Kasper Dolberg berjaya menewaskan kepungan tiga pertahanan England dan melepaskan rembatan leret ke arah gol Tiga Singa. Nasib baik Pickford tidak membawa perangai Evertonnya ke dalam perlawanan ini apabila dia menunjukan refleks yang pantas dan menyelamatkan rembatan Dolberg tersebut.

Tiga minit kemudian, Harry Maguire hampir berjaya menambahkan gol buat England namun tandukannya berjaya diselamatkan oleh Kasper Schmeichel.

Kedua-dua pasukan gagal menambahkan sebarang jaringan sehingga wisel penamat dibunyikan sekaligus terpaksa mengheret perlawanan ke masa tambahan.

Selepas tiga minit masa tambahan dimainkan, Harry Kane mendapat peluang terbuka selepas dia menerima bola lorongan daripada Kyle Walker di dalam kotak penalti.

Walaubagaimanapun rembatan leretnya berjaya ditampan keluar oleh Schmeichel sekali lagi.

Pada minit ke-101 akhirnya gol yang dicari hadir juga. Encik Raheem yang begitu culas di sepanjang perlawanan telah dijatuhkan oleh pemain Denmark dalam kotak penalti lantas pengadil tidak menunggu lama untuk menunjukkan tangannya ke titik penalti di depan gol Denmark.

Harry Kane bertindak mengambil sepakan tersebut dan menolak bola ke sebelah kiri Schmeichel, namun dapat dibaca dan diselamatkan oleh penjaga gol Denmark itu. Tapi sayang, bola tampanannya singgah semula ke kaki Kane yang kemudiannya mudah menolak bola ke dalam gol Denmark, sekaligus membawa England ke perlawanan akhir buat kali pertama dalam sejarah bola sepak moden.

Perlawanan menentang Itali nanti bakal menyaksikan bagaimana England bakal bertemu kesukaran sebenar kerana mereka perlu berhadapan dengan pasangan pertahanan tengah terbaik dunia – Giorgio Chiellini dan juga Leonardo Bonucci. Mampukah England menjulang trofi Henri Delauney buat kali pertama nanti?

Sumber : sportBIBLE

BACA:  EURO 2020: Portugal 2-4 Jerman