Senarai Sumpahan Separuh Akhir Buat Pasukan England Sejak 1990

Pasukan yang paling power di atas muka bumi pada ketika ini, England, telah berjaya layak ke peringkat separuh akhir Kejohanan Eropah 2020 selepas dengan mudah menunjukkan jalan keluar buat pasukan Ukraine 4-0 di Rom.

Kapten Harry Kane menutup mulut-mulut yang penuh hasad dengki membedalnya sebelum ini dengan menjaringkan dua gol pada setiap separuh masa di samping tandukan padu Harry Maguire dan Jordan Henderson yang membantu melenyapkan saingan anak buah Andriy Schevchenko daripada saingan Kejohanan Eropah kali ini.

Kemenangan tersebut ternyata menggembirakan seluruh penyokong pasukan Tiga Singa ini di England dan juga di bekas tanah-tanah jajahan mereka di seluruh dunia. Pada hari Rabu nanti, pasukan England bakal bertemu dengan pasukan yang penuh kejutan pada kali ini โ€“ Denmark.

Denmark memulakan kempen dengan langkah kiri selepas tewas 1-0 kepada Finland dalam perlawanan yang menyaksikan pemain tengah mereka, Christian Eriksen melalui detik antara hidup dan mati apabila mengalami serangan jantung dan rebah di tepi padang. Pemain ini telah disahkan meninggal dunia selama beberapa minit sebelum jantungnya berjaya berdenyut semula tidak lama kemudian.

Pasukan ini hanya layak ke peringkat16-pasukan selepas berjaya membenam Russia 4-1, dan layak ke suku akhir dengan menewaskan Wales 4-0. Pada peringkat suku akhir, giliran Republik Czech pula ditunjukkan jalan keluar oleh Simon Kjaer, sejam sebelum perlawanan England dan Ukraine.

Berdepan pasukan yang tidak disangka layak ke separuh akhir ini, mampukah England menamatkan sumpahan separuh akhir yang dialami mereka sejak tahun 1990, di mana mereka telah kecundang sebanyak empat kali dalam saingan separuh akhir kejohanan utama dunia.

Piala Dunia 1990

England layak ke perlawanan separuh akhir Piala Dunia 1990 yang dianjurkan di Itali selepas menewaskan wakil Afrika, Cameroon 3-2 pada masa tambahan, sekaligus menempah tiket perlawanan bertemu Jerman Barat yang menewaskan Czechoslovakia di suku akhir.

Perlawanan separuh akhir berlangsung dengan sengit namun kedua-dua pasukan dilihat tidak mampu menembusi gol lawan pada separuh masa pertama. Pada minit ke 60, Andreas Brehme menggamatkan Stadium Delle Alpi di Turin apabila menjaringkan gol pendahuluan perlawanan menerusi sepakan percuma yang tertampan pemain England, lalu melemaskan penjaga gol, Peter Shilton.

Menjelang 10 minit terakhir perlawanan, England diselamatkan oleh penyerang sensasi mereka ketika itu, Gary Lineker, yang mengambil peluang daripada kekalutan tiga pertahanan Jerman Barat di dalam kotak penalti mereka.

Keputusan 1-1 kekal sehingga selepas masa tambahan dan membawa perlawanan ke penentuan sepakan penalti. Untuk rekod, ini adalah kali pertama England menghadapi situasi penentuan sepakan penalti dalam kejohanan besar.

Lineker, Peter Beardsley dan David Platt โ€“ kesemua mereka menyempurnakan tiga sepakan pertama England, dengan Brehme, Lothar Matthaus, Karl-Heinze Riedle melalukan perkara yang sama buat Jerman Barat.

Giliran penalti keempat England diambil oleh pertahanan kiri, Stuart Pierce, yang kemudiannya merembat bola ke tengah gol mengenai kaki penjaga gol Jerman, Bodo Ilgner.

Olaf Thon mengambil kesempatan ini dengan menyudahkan sepakan penalti keempat Jerman Barat sekaligus memberikan tekanan kepada pemain kelima England, Chris Waddle.

Bagaimana tingginya harapan rakyat England ketika itu, begitulah juga bola sepakan Waddle selepas dia melepaskan rembatan sekuat hati sehingga bola terbang melepasi gawang.

England pulang hampa sebagai pasukan keempat terbaik Piala Dunia selepas tewas di tangan tuan rumah, Itali di perlawanan penentuan tempat ketiga dan keempat.

Kejohanan Eropah 1996

Enam tahun selepas kekecewaan tersingkir kepada Jerman Barat menerusi sepakan penalti, England sekali lagi berdepan pasukan yang sama di separuh akhir dan sekali lagi dikecewakan menerusi penentuan yang sama.

Musim panas tahun tersebut menyaksikan keyakinan tinggi bangsa Inggeris yang bola sepak akhirnya akan pulang ke rumah asalnya di mana mereka mendapat hak penganjuran. Tampil cemerlang di peringkat kumpulan dan suku akhir, England turun dengan begitu yakin menentang seteru lama mereka.

Seawal minit kedua, pasukan Tiga Singa mendahului lawan menerusi tandukan penyerang sensasi Alan Shearer. Bagaimanapun kedudukan itu tidak bertahan lama apabila Stefan Kuntz menyamakan kedudukan buat pasukan Jerman dan kedudukan kekal sehingga wisel penamat masa tambahan dibunyikan.

Lima sepakan penalti pertama berjaya disudahi dengan jaringan gol oleh England, sebelum Gareth Southgate berjalan dari tengah padang untuk mengambil sepakan sudden-death yang pertama England. Mungkin terlalu berdebar dan gemuruh, Southgate menyepak lemah dan diselamatkan Andreas Kopke, sebelum Andreas Moller menjaringkan penalti yang membawa Jerman ke perlawanan akhir menentang Republik Czech.

Piala Dunia 2018

England hadir ke Russia denga perasaan bercampur baur di mana mereka tidak diletakkan harapan yang tinggi oleh penyokong mereka sendiri selepas berulangkali tampil mengecewakan di pentas utama dunia, walaupun pernah dibarisi pemain yang digelar generasi emas pasukan seperti David Beckham, Steven Gerrard, Frank Lampard dan Michael Owen.

Malah sebelum bermulanya kempen Piala Dunia mereka, Southgate seakan menjadi bahan jenaka media di England, mengenangkan kegagalan penaltinya pada tahun 1996 dan juga aksinya yang melucukan dalam iklan pizza selepas itu, sehinggakan dia pernah digelarkan sebagai badut.

Selepas mereka berjaya menumpaskan Colombia menerusi sepakan penalti di peringkat 16-pasukan, tiba-tiba penyokong England disuap rasa yakin yang tinggi bahawa bola sepak akan pulang ke rumah pada kali ini. Pada perlawanan suku akhir, England mengatasi Sweden 2-0 dan menempah tiket ke separuh akhir bertemu Croatia.

England bermula garang di mana mereka berjaya mendapat gol awal menerusi sepakan percuma daripada pemain bek sisi, Kieran Trippier. Walaupun berdepan asakan hebat Croatia, mereka masih mampu mengekalkan kelebihan sehingga tamat separuh masa pertama.

Walaubagaimanapun pada minit ke-68, gol mereka akhirnya bocor juga apabila Ivan Perisic berjaya menewaskan Jordan Pickford menerusi tampanan di dalam kotak penalti hasil hantaran dari tepi. Kedudukan kekal sehingga 90 minit perlawanan dan diheret ke masa tambahan.

Pada minit ke-109, Mandzukic menghukum kelekaan pertahanan England menerusi rembatan jarak dekat dalam kotak penalti menewaskan Pickford, sekaligus menamatkan cabaran England memburu tiket ke perlawanan akhir.

Liga Negara-Negara 2019 (Nations League)

Selepas Piala Dunia, Kesatuan Bola Sepak Eropah (UEFA) telah menganjurkan Liga Negara-Negara atau lebih mudah dikenali sebagai Nations League, dengan tujuan memberikan perlawanan berkualiti kepada negara-negara Eropah berbanding perlawanan persahabatan yang tidak membawa sebarang maksud.

England muncul sebagai juara Kumpulan A Liga A, mengatasi cabaran Sepanyol dan Croatia, sekaligus melayakkan mereka ke perlawanan separuh akhir menentang Belanda.

Pada minit ke-32, England mendahului pasukan lawan selepas dianugerahkan sepakan penalti apabila penyerang wonderkid Marcus Rashford dijatuhkan oleh Matthijs de Ligt. Rashford kemudiannya tenang menghadiahkan gol pertama buat pasukan Tiga Singa tersebut.

Pada minit ke-73, De Ligt menebus kesilapannya apabila menjaringkan gol menerusi tandukan hasil bola hantaran sepakan sudut. Pada minitke-82, Jesse Lingard menggamatkan Estadio D. Alfonso Henriques d Guimaraes, Portugal apabila berjaya menembusi jaring Belanda sekali lagi.

Akan tetapi, seluruh pemain England kecewa apabila gol tersebut dibatakan kerana ofsaid selepas dilihat oleh VAR.

Kedudukan kekal sehingga 90 minit lantas mengheret perlawanan ke masa tambahan. Kyle Walker menjadi petualang pasukan apabila tertolak bola ke gol sendiri pada minit ke-97, sebelum Quincy Promes melengkapkan kemenangan Belanda pada minit ke-114

Kesimpulan

Jadi dengan layaknya England ke separuh akhir Kejohanan Eropah 2020 ni, nak tanya lah juga.

Agaknya dah habis ke sumpahan separuh akhir ni? Ke sebenarnya tiada sumpahan pun, tapi pasukan England sengaja buat kalah sebelum ni?

Sumber : Sportsmole

BACA:ย  Luke Shaw Dikatakan Sudah Memeluk Islam