Pemain antarabangsa England, Harry Maguire mengakui terdapat minat yang mendalam dari beberapa buah kelab ternama untuk mendapatkan khidmatnya pada jendela perpindahan lalu selepas mempamerkan aksi yang mantap bersama England di Piala Dunia 2018.
Maguire walaubagaimanapun menolak semua tawaran yang tiba untuknya kerana berasa terhutang budi dengan Leicester kerana ‘menyelamatkan’ beliau dari beraksi di liga bawahan bersama Hull City.
Beberapa sumber yang dipercayai melaporkan Manchester United merupakan antara pasukan yang serius ingin mendapatkan Maguire tetap beberapa bidaan mereka gagal menepati harga yang diminta Leicester. Leicester juga tidak bercadang untuk melepaskan Maguire dan kelab yang berminat untuk mendapatkan Maguire perlu membayar harga yang sangat tinggi bagi ‘melembutkan’ hati Leicester.
Mourinho mengenal pasti Maguire sebagai sasaran utama untuk memperkasakan bahagian pertahanan United yang agak rapuh musim lalu. United mengadakan perbincangan dengan Leicester pada hari terakhir jendela perpindahan tetapi gagal menemui kata sepakat bagi membolehkan Maguire berpindah ke Old Trafford.
Pemain berusia 25 tahun ini menyertai Leicester dari Hull City pada tahun 2017 yang mana pada ketika itu Hull baru sahaj disingkirkan dari Liga Perdana Inggeris dan akan bermain di liga Championship pada musim seterusnya.
Maguire berasa terhutang budi dengan kepercayaan yang ditunjukkan Leicester terhadapnya memandangkan beliau baru sahaja mengalami relegasi bersama Hull ketika itu.
“Sudah tentu apabila kami pergi ke Piala Dunia dan berjaya menunjukkan prestasi yang cemerlang, akan ada pemain yang akan menerima minat dari kelab-kelab ternama. Ia merupakan perkara biasa dalam bola sepak.”
“Saya berbincang dengan Leicester selepas mengetahui minat yang ditunjukkan terhadap saya dari beberapa buah kelab. Leicester bertegas yang mereka tiada niat untuk melepaskan saya dan saya perlu hormat dengan keputusan tersebut.”
“Leicester memberikan peluang kepada saya untuk bermain di Liga Perdana Inggeris ketika saya baru sahaja mengalami relegasi bersama Hull City.”
“Mereka memberikan peluang kepada saya dan saya juga sangat gembira beraksi dengan kelab ini. Saya bermain hampir setiap minggu untuk Leicester yang mana ia merupakan perkara yang penting bagi saya.”
“Leicester juga menyediakan platform untuk saya beraksi di Piala Dunia, jadi saya berasa terhutang budi dengan mereka dan saya perlu menghormati keputusan yang telah dibuat Leicester. Sekarang, tumpuan saya hanya pada musim baru ini sahaja.”
Leicester tidak bernasib baik apabila tewas tipis kepada Liverpool minggu lalu dan berharap keadaan menjadi lebih baik buat mereka apabila melakukan kunjungan ke Bournemouth hujung minggu ini.