Helikopter Yang Dipercayai Membawa Pemilik Leicester Terhempas Berdekatan King Power Stadium

Sebuah helikopter yang dimiliki oleh pemilik Leicester City yang berasal dari Thailand, Vichai Srivaddhanaprabha telah terhempas berdekatan kawasan King Power Stadium semalam.

Dalam kejadian yang berlaku hampir sejam selepas tamat perlawanan Leicester menentang West Ham, lima individu dipercayai berada di dalam helikopter ketika ia terhempas di kawasan parking kereta berdekatan dengan stadium tersebut.

Helikopter milik pemilik Leicester terhempas di kawasan parking sekitar King Power Stadium

Setakat artikel ini ditulis, pihak berkuasa masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi mengenai jumlah korban dan siapa yang terlibat.

Pemilik Leicester, Vichai Srivaddhanaprabha hadir untuk menyaksikan perlawanan tersebut menggunakan helikopter dan beliau dipercayai berada dalam helikopter ketika ia terhempas.

Satu kenyataan rasmi yang dikeluarkan oleh Police Leicester dipetik berkata:

“Khidmat kecemasan sedang berjalan di King Power Stadium dimana sebuah helikopter telah terhempas di kawasan parking kereta di belakang stadium.”

“Siasatan untuk mengetahui punca kejadian sedang berlangsung.”

Pemilik dan pengerusi Leicester, Vichai Srivaddhanaprabha

Menurut sumber yang dekat dengan kelab, 5 individu yang berada di dalam helikopter adalah Vichai, anak perempuan beliau, dua orang pilot, dan seorang kenalan yang masih belum dipastikan lagi identitinya.

Buat masa sekarang, tiada sebarang berita mengenai mangsa yang terselamat dari kemalangan ini.

Kelab Bola Sepak Leicester menerusi jurucakap dipetik berkata:

“Kami sedang membantu Leicestershire Police dan Emergency Services mengenai insiden kemalangan yang berlaku di King Power Stadium.”

“Pihak kelab akan mengeluarkan kenyataan lebih terperinci sebaik sahaja kami menerima maklumat yang konkrit berhubung kejadian.”

Rutin biasa pemilik Leicester setiap kali tamat perlawanan di tempat sendiri.

Kebiasaannya, Vichai akan menggunakan helikopter untuk hadi ke stadium setiap kali Leicester beraksi di tempat sendiri. Helikopter akan turun ke tengah padang stadium untuk mengambilnya selepas perlawanan berakhir.

Ahli perniagaan dari Thailand itu membeli Leicester pada tahun 2010 dan merupakan pemilik kepada syarikat King Power. Tidak lama selepas membeli Leicester, beliau dinamakan sebagai pengerusi kelab.

Di bawah jagaan beliau, Leicester meningkat secara drastik dari liga bawahan untuk beraksi di Liga Perdana Inggeris. Kemuncaknya adalah ketika Leicester memenangi Liga Perdana Inggeris pada musim 2015/2016, satu pencapaian luar biasa bagi sebuah kelab sederhana.

BACA:  Maguire Beri Bayangan Tinggalkan Leicester Sekiranya Manchester United Datang Memanggil