Riyad Mahrez Akhirnya Bakal Sertai Manchester City Selepas 6 Bulan Menunggu

Pemain tengah Leicester City, Riyad Mahrez akan melengkapkan perpindahannya ke Manchester City minggu ini selepas kedua-dua belah pihak bersetuju dengan segala terma dan syarat.

Menurut sumber Sky Sports, pemain berusia 27 tahun ini dijangka akan melalui pemeriksaan perubatan dalam masa terdekat selepas City bersetuju untuk membayar £60 juta untuk mendapatkan khidmat Mahrez.

Mahrez akhirnya berjaya mendapatkan perpindahan impian beliau selepas dipaksa menunggu selama 6 bulan

Jumlah tersebut jauh lebih rendah daripada apa yang ditawarkan City 6 bulan lalu ketika hari terakhir tirai perpindahan Januari. City melakukan bidaan berjumlah £80 juta pada saat akhir bagi memujuk Leicester untuk melepaskan pemain paling bernilai dimiliki mereka ketika itu.

City melakukan beberapa bidaan terhadap Mahrez pada Januari lalu tetapi kesemuanya ditolak Leicester walaupun pemain terbabit telah menghantar permohonan rasmi untuk berpindah buat kali kedua.

Walaupun gagal dalam percubaan mereka untuk mendapatkan Mahrez, pengurus City Pep Guardiola masih lagi mengekalkan minat beliau terhadap Mahrez sehingga sekarang. Pemain antarabangsa Algeria itu telah menjaringkan 13 gol dari 41 penampilan untuk The Foxes musim lepas.

Mahrez menghantar dua permohonan rasmi untuk berpindah tetapi kedua-duanya ditolak Leicester

Majoriti pemain Leicester kembali melaporkan diri untu pra-musim kelmarin, tetapi Mahrez dan rakan senegaranya Islam Slimani masih lagi belum kembali kerana mereka terlibat dengan perlawanan persahabatan antarabangsa pada 7 Jun lalu.

Mahrez akan memperkuatkan lagi bahagian tengah Manchester City yang sedia ada kuat, dan beliau akan bersaing dengan pemain seperti Kevin De Bruyne, Leroy Sane, Bernardo Silva, dan Raheem Sterling untuk merebut slot dalam kesebelasan utama.

Mahrez tidak akan keseorangan apabila beliau menjalani pemeriksaan perubatan di padang latihan Manchester City minggu hadapan. Beliau akan disertai oleh pemain antarabangsa Itali, Jorginho yang dijangka tiba di Manchester Khamis ini.

Pemain tengah Napoli, Jorginho juga akan menyertai skuad Pep Guardiola tidak lama lagi

Manchester City dilaporkan membayar £48.5 juta kepada Napoli untuk membawa Jorginho ke Etihad Stadium.

Mahrez dan Jorginho bakal menjadi pemain kedua dan ketiga dibawa masuk Pep Guardiola pada tirai perpindahan musim panas kali ini. Manchester City membawa masuk pemain muda Belanda, Philippe Sandler lebih awal bagi memperkuatkan lagi bahagian pertahanan mereka.

BACA:  Hummels: Sane Belum Lagi Capai 'Level' Muller & Ozil Dalam Skuad Jerman