Memperingati ‘Battle of The Bridge’, Malam Dimana Leicester Dinobatkan Sebagai Juara Liga

Chelsea vs Tottenham Hotspurs, Mei 2016. Perlawanan yang diingati kerana ia merupakan malam dimana Leicester mencipta sejarah dinobatkan sebagai juara Liga Perdana Inggeris buat kali pertama dalam sejarah.

Tetapi ia juga merupakan malam yang mahu dilupakan oleh Tottenham Hotspurs. Stamford Bridge menjadi saksi bagaimana beberapa pemain Tottenham hilang kawalan disiplin ketika tewas di tangan musuh setempat, Chelsea sekaligus meranapkan impian mereka untuk memenangi liga pada musim tersebut.

Battle of The Bridge

Tottenham sangat memerlukan kemenangan dalam pertembungan tersebut bagi menghidupkan peluang mereka mengejar Leicester. Chelsea pula turun selaku juara bertahan, tetapi mengharungi musim yang agak mengecewakan dengan Jose Mourinho dipecat pada pertengahan musim.

Kapten Chelsea ketika itu, John Terry berkata pemain Chelsea mahu mempertahankan rekod tanpa kalah di gelanggang sendiri ketika menentang Spurs yang sudah bertahan selama 26 tahun.

“Ia merupakan dery London yang kami tidak pernah tewas selama 26 tahun. Sudah tentu berlaku ketegangan sepanjang perlawanan berlangsung. Mungkin berlaku beberapa insiden diluar kawalan tetapi ia dapat difahami kerana pemain berjuang di atas padang untuk mendapatkan mata dan kejuaraan. Ini adalah emosi dan ia sebahagian daripada bolasepak.”

Ingatkan nak comolot

Walaubagaimanapun, perlawanan tersebut bukanlah perlawanan bolasepak yang anda selalu tonton di kaca tv. Spurs berkunjung ke Stamford Bridge dengan misi untuk mencatatkan kemenangan bagi menghidupkan impian mereka memenangi liga sejak tahun 1961.

Selepas separuh masa pertama tamat, Spurs dilihat berada dalam landasan yang tepat untuk mencipta kemenangan. Harry Kane dan Heung-Min Son masing-masing menjaringkan satu gol untuk menjadikan kedudukan 2-0 sebelum pemain menuju ke bilik persalinan untuk rehat separuh masa.

Bagaikan tersentak, pemain Chelsea bangkit pada separuh masa kedua dan mempamerkan persembahan sebenar mereka. Pemain pertahanan England, Gary Cahill menjaringkan gol pertama Chelsea sebelum Eden Hazard menjaringkan gol penyamaan yang cantik bagi mengikat kedudukan. Gol jaringan Hazard merupakan satu jaringan yang cukup cantik dan akan kekal dalam memori setiap individu yang menyaksikan perlawanan tersebut.

Gol cantik Hazard meranapkan impian rakyat Utara London berbaju putih

Perlawanan terpaksa diberhentikan beberapa kali kerana kekasaran yang dilakukan oleh pemain Spurs terhadap Chelsea. Spurs mencipta rekod baru dalam perlawanan tersebut dengan mengutip 9 kad kuning. Ajaibnya, tiada pemain diperintahkan keluar padang.

Keputusan seri 2-2 di antara Chelsea dan Spurs sudah cukup untuk mengesahkan Leicester dinobatkan sebagai juara Liga Perdana Inggeris buat kali pertama, dengan baki dua perlawanan dalam tangan.

Tetapi ‘Battle of The Bridge’ bukan sahaja diingati atas apa yang berlaku sepanjang 90 minit perlawanan, tetapi juga perkara yang berlaku sejurus wisel penamat dibunyikan.

Kekecohan bermula apabila pemain tengah Spurs, Moussa Dembele mencucuk mata Diego Costa menggunakan jarinya pada babak pertama. Pergaduhan besar turut berlaku di antara dua kumpulan pemain ketika masing-masing menuju ke bilik persalinan. Pergaduhan tersebut juga mengakibatkan pengurus sementara Chelsea, Guus Hiddink terduduk di atas padang selepas berlaku tolak menolak.

Pemain Leicester berpesta selepasHazard menjaringkan gol penyamaan

Walaupun pengadil perlawanan, Mark Clattenburg gagal mengesan insiden Dembele-Costa, ia telah dirakam oleh kamera televisyen. Akibat dari perbuatan tersebut, Dembele menerima penggantungan 6 perlawanan oleh pihak FA.

Dua tahun selepas ‘Battle of The Bridge’, dua pasukan ini bakal bertembung sekali lagi hujung minggu ini bagi meneruskan permusuhan mereka. Adakah Spurs bakal mencatatkan kemenangan pertama mereka di Stamdord Bridge sejak tahun 1990? Atau adakah perlawanan ini bakal berlangsung dengan panas seperti yang kita lihat berlaku dua tahun lepas ?

Sama-sama kita tunggu di depan projektor mamak Ahad ini, pukul 11 malam.

BACA:  Reaksi Alejandro Garnacho Saat Tahu MU Beri Jersi No.7 Kepada Mount