Mahrez Anggap Pemilik Leicester Seperti Bapa, Akui Sukar Untuk Menerima Kehilangannya

Pemain tengah Manchester City, Riyad Mahrez memberi penghormatan terakhir kepada mendiang pemilik Leicester City, Vichai Srivaddhanaprabha ketika menjaringkan gol kemenangan pasukannya ke atas Tottenham Hotspurs dalam aksi Liga Perdana Inggeris awal pagi tadi.

Sebaik sahaja menjaringkan gol tunggal perlawanan tersebut, Mahrez memandang ke atas sambil menaikkan kedua-dua tangannya ke atas sebagai simbolik terhadap Vichai yang baru sahaja terkorban dalam nahas helikopter yang penuh tragis Sabtu lalu.

Mahrez dan Vichai meraikan kejayaan Leicester memenangi Liga Perdana Inggeris

Dalam kejadian yang berlaku hampir sejam selepas tamat perlawanan Leicester menentang West Ham, lima individu telah disahkan berada di dalam helikopter ketika ia terhempas di kawasan parking kereta berdekatan dengan stadium tersebut.

Kehilangan Vichai amat dirasai peminat Leicester terutamanya selepas beliau membimbing kelab tersebut dari liga bawahan sehingga muncul juara Liga Perdana Inggeris pada tahun 2016.

Leicester menandatangani Mahrez pada tahun 2014 dan merupakan antara pemain utama pasukan ketika Leicester menjuarai liga pada musim 2015/2016.

Mahrez menghadiahkan gol kemenangan semalam kepada mendiang Vichai

Ketika bercakap kepada pemberita selepas berakhirnya pertemuan Tottenham menentang Manchester City, Mahrez mengakui Vichai merupakan individu yang dekat dan istimewa baginya.

“Tragedi ini agak sukar untuk saya terima. Boss [Vichai] merupakan individu yang istimewa bagi saya. Saya berada di sana selama 4 tahun setengah dan mempunyai banyak memori bersamanya.”

https://twitter.com/SkySportsPL/status/1057218364047810561

“Vichai merupakan seorang yang baik hati dan saya berasa sangat sedih mengenangkan apa yang telah berlaku. Sebab itulah selepas saya menjaringkan gol tadi, saya menaikkan tangan ke langit untuk beliau. Vichai telah banyak berjasa kepada saya dan Leicester.”

“Agak sukar untuk saya bercakap mengenai perkara ini kerana saya betul-betul sedih. Vichai bagaikan bapa kepada saya. Beliau seorang yang istimewa dan baik hati.”

“Hati saya hancur dan terkejut selepas mengetahui apa yang telah berlaku, termasuk empat lagi individu yang terkorban.”

“Ia merupakan situasi yang sukar untuk dihadam dan saya bersimpati dan berdiri bersama Leicester dan seluruh keluarga mangsa yang terlibat.”

Bagaikan bapa kepada Mahrez

Apabila ditanya adakah beliau meminta pengecualian dari terlibat dalam perlawanan tadi, Mahrez berkata beliau sentiasa mahu bermain, terutamanya selepas apa yang berlaku dengan Vichai.

“Saya sentiasa mahu bermain. Saya tahu Vichai juga mahu saya saya terus bermain. Beliau seorang yang gilakan bola sepak.”

“Sukar untuk saya menerima apa yang telah berlaku. Beliau sentiasa ada dalam fikiran saya. Saya juga menghadapi kesukaran untuk tidur memikirkan apa yang telah terjadi.”

BACA:  Kevin De Bruyne Ceritakan Pengalaman Beliau Ditolak Mourinho