Henderson Cipta Sejarah Jadi Kapten Pertama Julang 6 Piala Berbeza Untuk Liverpool

Jordan Henderson cipta sejarah baru menjadi pemain Liverpool pertama yang mampu menjulang enam Piala berasingan sebagai ketua pasukan.

Beliau jelas sekali akan terus dikenang sebagai legenda terhebat sepanjang zaman kelab atas segala pencapaian yang mampu beliau kecapi bersama skuad The Reds.

Jordan Henderson kini sudah berjaya menjulang gelaran Champions League, Super Cup, FIFA Club World Cup, Premier League, Carabao Cup dan terbaru FA Cup.

Belum ada dalam sejarah Liverpool mana-mana ketua pasukan mereka yang mampu mencapai apa yang sudah dicapai oleh Jordan Henderson itu.

Kepimpinan yang beliau miliki jelas sekali satu hal yang sungguh luar biasa menakjubkan dan pengaruh beliau di atas padang juga sangat mengagumkan.

“Kami di sini mahu menjulang Piala, kami bekerja sangat keras. Untuk datang sini dan berjaya akhiri semuanya dengan kejayaan merupakan satu hal yang bermakna untuk semua orang.”

Jelas Jordan Henderson selepas tamat perlawanan bertemu Chelsea awal pagi tadi.

“Para peminat berhak untuk itu, keseluruhan kelab juga. Ia merupakan detik yang besar untuk kami, kami sudah lama tidak berada di pentas perlawanan akhir ini (FA Cup) jadi untuk memenanginya merupakan satu hal yang istimewa.”

“Ia sangat sukar, kami dah tahu ia akan menjadi sangat sukar. Kami ada banyak perlawanan perlu dilalui dalam tempoh yang singkat. Ia satu tamparan hebat terpaksa bermain tanpa Mo dan Fabinho minggu lalu.”

“Tapi itulah semuanya tentang kami, sikap kami, mentaliti kami untuk terus maju dan hadapi segala kesukaran yang ada.”

Henderson kemudiannya turut menambah:

“Jadi untuk menang menerusi penentuan sepakan penalti memang satu hal yang menakjubkan. Pujian harus diberikan kepada semua pemain.”

“Ia keputusan yang baik, terutama dalam aksi perlawanan akhir, seperti kita hadapi dua perlawanan sebelum ini. Kita perlu berikan segalanya seperti selalu. Kita perlu berusaha dan saling membantu antara satu sama lain.”

“Ia sangat menakjubkan untuk bakat yang kita ada di bilik persalinan dan personaliti mereka. Kamu satukan semua itu dan menang macam-macam Piala.”

“Kita dah menang dua musim ini. Kita masih ada perlawanan penting yang perlu dihadapi. Kita cuma perlu teruskan hingga ke akhir dan lihat macam mana kita akhiri musim ini.”

“Kita perlu segera bangkit, satu lagi perlawanan penting Selasa ini bertemu Southampton, kita perlu bersedia untuk itu. Dan kemudian Wolves pada hujung minggu untuk mengakhiri saingan Premier League dan kemudian perlawanan akhir Champions League.”

“Kita ada tiga perlawanan besar yang tinggal dan semoga saja kita menang semua ketiga-tiga perlawanan dan akhiri musim ini dengan jayanya.”

Ketika meraikan kejayaan mereka menjulang gelaran FA Cup awal pagi tadi, skuad Liverpool turut dihadiri tetamu istimewa yang diundang oleh Mo Salah.

Kenali Momen Zakaria individu yang dapat jemputan khas dari Salah ke Wembley

Mohamed Salah mengundang bekas pemain kebangsaan Mesir, Momen Zakaria untuk masuk ke bilik persalinan Liverpool meraikan kejayaan mereka menjuarai saingan FA Cup awal pagi tadi.

Ia jelas sekali satu sikap terpuji dari pemain penyerang itu dan kesemua para pemain Liverpool berhak dipuji kerana melayan Zakaria dengan sangat baik.

Skuad kendalian Jurgen Klopp itu berjaya menewaskan Chelsea 6-5 menerusi penentuan sepakan penalti dan ia merupakan kali kedua mereka mengecewakan skuad The Blues itu di Wembley musim ini.

Salah terpaksa dikeluarkan pada minit ke-30 permainan kerana beliau mengalami kecederaan kecil dan tempat beliau telah digantikan oleh Diogo Jota.

Salah walau bagaimanapun tetap bersama dengan rakan sepasukannya ketika mereka meraikan kejayaan menjuarai saingan FA Cup itu.

Media Mesir, FilGoal telah mengesahkan yang bekas bintang Mesir, Zakaria telah diundang menjadi istimewa Mo Salah selepas tamat perlawanan tersebut.

Tapi siapa sebenarnya Zakaria ini?

Zakaria sebenarnya merupakan salah seorang pemain bola sepak di Mesir yang pernah dianggap sebagai bakat terhebat mereka.

Sepanjang kariernya, beliau pernah memenangi tiga kali gelaran Premier League di negaranya dan kisah tentang beliau sebenarnya sangat menarik untuk dibincangkan.

Zakaria yang kini sudah berusia 34 tahun itu turut sempat membuat 12 penampilan bersama skuad kebangsaan Mesir.

Penglibatan terakhir beliau di pentas dunia bola sepak profesional adalah pada tahun 2018 yang lalu dan tragisnya pada tahun 2020 beliau telah didiagnos menghidap amyotrophic lateral sclerosis (ALS).

ALS merupakan penyakit neurodegenerative yang mana ia akan beri kesan kepada otak dan sedihnya lagi ia masih tiada penawar.

Hal itu secara tak langsung telah mengakhiri karier Zakaria dan beliau sudah tidak membuat sebarang penampilan sejak dari 2018 lagi.

Beliau kini terpaksa menggunakan bantuan kerusi roda, namun hal itu sama sekali tidak menghalang Mo Salah untuk menjemput beliau ke Wembley.

Beliau bukan hanya mengundang Zakaria ke Wembley, dengan Salah turut menjadikan legenda negaranya itu sebagai salah seorang dari kem Liverpool pada hari ini.

Zakaria turut diberi kesempatan untuk memegang dan menjulang Piala kemenangan Liverpool dengan Salah merakam setiap detik yang berlaku di bilik persalinan mereka itu.

Para pemain Liverpool turut sama meraikan kejayaan mereka itu bersama Zakaria dan ia jelas sekali satu hal yang sangat menarik untuk disaksikan.

BACA:  Henderson Tinggalkan Al Ettifaq Tanpa Terima Sesen Gaji Dan Tanggung Hutang Jutaan Pound