Hoeness: Ozil Guna Isu Perkauman Untuk Tutup Prestasi Buruk Beliau Di Piala Dunia

Presiden Bayern Munich, Uli Hoeness menuduh Mesut Ozil menggunakan isu perkauman sebagai alasan untuk ‘menutup’ prestasi buruk beliau ketika mewakili Jerman di Piala Dunia 2018.

Hoeness menempelak Ozil kerana menggunakan isu tersebut sebagai alasan untuk bersara dari skuad kebangsaan Jerman dan mendakwa Ozil tidak sepatutnya dipanggil menganggotai skuad Piala Dunia berikutan prestasi buruknya musim lepas.

Ozil seorang bijak pandai kerana menggunakan isu perkauman sebagai smokescreen untuk menutup aksi buruk beliau selama ini

Sejak mengumumkan persaraan dari arena antarabangsa, Ozil berterusan menerima kecaman dari segenap pihak kerana menimbulkan isu yang sebenarnya tidak wujud dalam skuad Jerman.

Berikutan penyingkiran awal Jerman dari Piala Dunia 2018, Ozil merupakan antara pemain yang menjadi sasaran utama peminat atas kegagalan pasukan Jerman mempertahankan kejuaraan yang dimenangi mereka di Brazil empat tahun lepas.

Ozil dan seorang lagi pemain Jerman berketurunan Turki, Ilkay Gundogan menerima kritikan dari pelbagai pihak selepas perjumpaan dengan Presiden Turki, Tayyip Erdogan sebelum bermulanya Piala Dunia 2018.

Jerman tersingkir seawal peringkat kumpulan di Russia. Dua perlawanan Ozil main, dua kali kalah

Kesetiaan Ozil dan Gundogan terhadap Jerman telah dipertikaikan pihak media dan terdapat desakan dari pihak tertentu yang mahu mereka berdua dikeluarkan dari skuad Piala Dunia yang akan beraksi di Russia ketika itu.

Hoeness yang terkenal dengan kelantangan beliau berkata-kata mendakwa isu perkauman yang ditimbulkan Ozil sepatutnya boleh dielakkan sekiranya Joechim Low melihat prestasi Ozil bersama Arsenal musim lalu yang agak buruk.

“Ozil pandai kerana menimbulkan isu perkauman untuk menarik perhatian orang ramai dari melihat prestasi buruk beliau sejak sekian lama.”

“Saya tahu agak sukar untuk Presiden DFB (Persekutuan Bola Sepak Jerman) untuk campur tangan dan menyelesaikan isu berkenaan Ozil dan Gundogan ini.”

“Ozil sepatutnya diminta untuk memberi kenyataan lebih lanjut mengenai dakwaan beliau kerana ini bukan isu yang kecil. Beliau merupakan ‘produk’ yang dipromosikan dengan cukup baik oleh ejen beliau, dan lebih baik dari keupayaan sebenar beliau bermain bolasepak.”

23 gol bersama Jerman sejak melakukan debut pada tahun 2009

“Joechim Low sepatutnya pergi ke Arsenal lebih kerap untuk melihat prestasi beliau. Low mungkin tidak akan membawa Ozil ke Piala Dunia jika beliau menilai Ozil dari sudut bola sepak. Dan kita mungkin dapat mengelakkan drama ini dari berlaku sekiranya Ozil tiada dalam pasukan.”

Sejak melakukan debut pada tahun 2009, Ozil berjaya mengumpul 92 penampilan bersama Jerman dan menjaringkan 23 gol. Antara kejayaan terbesar Ozil bersama skuad kebangsaan adalah memenangi Piala Dunia 4 tahun lepas di Brazil.

BACA:  Jerman Pasukan Paling Bernilai di Euro 2016