Icardi Akan Tetap Dihukum Walau Wanda Sudah Mengampunkan Beliau

Mauro Icardi dilaporkan bakal berdepan dengan hukuman dari Paris Saint Germain berkait isu antara beliau dengan pasangannya, Wanda Nara.

Walaupun hubungan mereka sudah kembali jernih, namun Icardi tidak boleh mengelak dari hukuman yang akan dikenakan ke atasnya.

Wanda yang menjadi individu terpenting sebalik perpindahan Icardi menyertai Paris Saint Germain sebelum ini menuduh suaminya curang dan ada menyara keluarga lain.

Model dan penyampai TV berusia 34 tahun itu meninggalkan ibu kota Perancis bersama lima anaknya dan mengakui keretakan hubungan beliau bersama Icardi.

Icardi meminta izin untuk meninggalkan padang latihan PSG pada petang Ahad dan Isnin atas masalah keluarga, dengan pemain Argentina itu kemudiannya terus terbang ke Milan.

Beliau meninggalkan Paris untuk ke Milan dalam usahanya untuk menyelamatkan hubungan beliau dengan isteri tercintanya, Wanda Nara.

Mauricio Pochettino turut menyenaraikan nama pemain penyerang berusia 28 tahun itu ke dalam skuadnya ketika aksi dalam saingan Champions League bertemu RB Leipzig kemarin.

Walau bagaimanapun, Icardi telah memberitahu ketua jurulatih PSG yang beliau tidak boleh beri tumpuan untuk bermain kerana sedang berdepan masalah peribadi.

Beliau kemudiannya meninggalkan skuad ketika kejayaan Paris Saint Germain menewaskan Leipzig 3-2 di Parc des Princes.

Menurut sumber laporan dari Marca, bintang Paris Saint Germain itu bakal dikenakan hukuman denda dari pihak kelab, kerana beliau tidak turun menjalani sesi latihan, dan tidak ada ketika hari perlawanan bertemu Leipzig.

Media tempatan Sepanyol itu melaporkan yang Icardi akan tetap dikenakan hukuman denda, walaupun pihak kelab sentiasa memberi sokongan terhadapnya ketika berdepan masalah keluarga seperti sebelum ini.

Le Parisien mendakwa yang keputusan mengetepikan Icardi dari aksi bertemu Leipzig diputuskan selepas bekas ketua pasukan Inter Milan itu bercakap terus dengan pimpinan kelab dan barisan kejurulatihan.

Dan Paris Saint Germain terus memerhatikan situasi berkait keadaan Icardi dan berusaha untuk membantu beliau dengan apa juga cara yang mereka mampu.

Icardi yang sudah berkahwin dengan Wanda Nara sejak 2014 lalu itu memuat naik status di laman media sosial miliknya pada hujung minggu lalu, untuk menjelaskan masalah berkait hubungan beliau bersama isterinya.

Walau bagaimanapun, Wanda tampil membalas semula kenyataan dari pemain kebangsaan Argentina itu dengan memberi komen pedas di laman instagram miliknya.

Menurut sumber laporan di Perancis, Icardi sudah bersedia untuk meninggalkan Paris Saint Germain, seandainya beliau gagal untuk menjernihkan semula hubungannya dengan Wanda Nara.

Laporan terbaru kemudiannya menyatakan yang Icardi dan Wanda telah bersetuju untuk mengetepikan segala masalah mereka, dan kembali menjalin kasih seperti sedia kala.

Mereka dikatakan sudah berdamai selepas melihat Icardi bersungguh mengucap terima kasih kepada Wanda di sosial media dengan menggunakan ayat-ayat romantik.

“Terima kasih, sayangku, kerana terus percaya pada keluarga yang indah ini, terima kasih kerana menjadi nadi kepada kehidupan kita. Saya cintakan awak,”

Tulis Icardi di laman instagram miliknya.

“Lihat bagaimana sakitnya ketika kamu melukai seseorang yang kamu sayang. Kamu hanya akan rasa tenang selepas orang kamu sayang itu kembali memaafkan kamu.”

Icardi memuat naik satu lagi gambar beliau bersama Wanda di media sosial, dan turut menulis ayat romantik yang ditujukan khas kepada Wanda Nara.

“Genggam saya erat-erat, dan jangan lepaskan saya, Wanda.”

Sebelum Icardi dituduh mencurangi isterinya itu, Wanda terlebih dahulu dituduh menipu dan mencurangi bekas pasangannya, Maxi Lopez.

Bekas rakan sepasukan Icardi ketika kariernya di Sampdoria, Maxi Lopez sebelum ini melepaskan Wanda Nara kerana bekas pasangannya itu mencurangi beliau untuk bersama Icardi.

Wanda memiliki tiga orang anak bersama Lopez, Valentino, Constantino dan Benedicto sebelum mereka bercerai dan kini beliau membesarkan kesemua tiga anak lelakinya itu, bersama dua lagi anak perempuannya Francesca dan Isabella (Anak Icardi).

Sumber: SPORTbible

BACA:  Rujuk Semula: Icardi Tandatangani Kontrak Serah Segala Harta Kepada Wanda Nara