Kerana Tak Puas Hati, Messi Minta PSG Jual Rakan Sepasukannya

Lionel Messi dilaporkan sudah mula rasa tidak senang dengan rakan sepasukannya di Paris Saint Germain, Mauro Icardi dan mahu bintang Argentina itu dijual oleh kelab.

Pemenang enam kali gelaran Ballon D’or itu meninggalkan Barcelona pada musim panas baru-baru ini, kerana pihak kelab gagal mematuhi peraturan had pembayaran gaji dalam saingan La Liga.

Dek kerana itu, Lionel Messi akhirnya bersetuju untuk menyertai sahabat karib beliau, Neymar untuk beraksi bersama Paris Saint Germain.

Datang sebagai pemain free ejen, Messi telah menandatangani perjanjian selama dua tahun bersama PSG, dengan beliau diharap akan dapat membantu gergasi Ligue 1 itu untuk memenangi gelaran Eropah pertama mereka.

Beliau berjaya menjaringkan tiga gol dalam saingan Champions League setakat ini, termasuk dua gol jaringannya ketika aksi bertemu RB Leipzig kemarin.

Walau bagaimanapun, pemain terhebat sepanjang zaman itu masih gagal untuk menjaringkan sebarang gol dalam aksi saingan Ligue 1 setakat ini.

Messi sepertinya sudah mampu untuk membiasakan diri dengan suasana baru bersama Paris Saint Germain, selepas beliau sebelum ini 21 tahun menikmati karier di Nou Camp.

Namun begitu, El Nacional mendakwa, calon pemenang anugerah Ballon D’or 2021 itu sebenarnya mempunyai hubungan panas dengan rakan senegaranya, Icardi, lalu menyebabkan perpecahan dalam bilik persalinan.

Laporan tersebut turut mendakwa yang Icardi merasakan bintang dan ketua pasukan Argentina, Messi sebenarnya punca utama mengapa beliau tidak dipanggil menyertai skuad kebangsaan sejak tiga tahun kebelakangan ini.

Kali terakhir suami kepada Wanda Nara itu membuat kemunculan bersama skuad kebangsaan Argentina adalah pada aksi perlawanan persahabatan bertemu Mexico pada tahun 2018 yang lalu.

Ketibaan Messi di Parc des Princes dikatakan telah mengubah dinamik antara skuad, dan terdapat perbincangan yang mengatakan bahawa bintang yang kelab tandatangani dari Inter Milan itu mungkin akan dilepaskan.

Menurut laporan sama, Paris Saint Germain sedang bersedia untuk melepaskan Icardi ke Nou Camp, dalam usaha mereka untuk mendapatkan sahabat akrab Messi, Sergio Aguero.

Legenda Manchester City itu menandatangani perjanjian bersama gergasi Catalan itu pada jendela perpindahan musim panas lalu, selepas kontraknya bersama The Citizens tamat.

Beliau pada awalnya merasakan yang dirinya akan berpeluang untuk pertama kali beraksi bersama Lionel Messi di peringkat kelab, namun hasratnya itu tidak menjadi kenyataan kerana rakan senegaranya meninggalkan kelab.

Aguero baru saja melakukan debutnya bersama Barca, selepas beliau sebelum ini terpaksa diketepikan kerana dibelenggu masalah kecederaan.

Pihak kelab juga sepertinya tidak berhasrat untuk melepaskan Aguero memandangkan mereka masih memerlukan khidmat penyerang berpengalaman itu.

Walau bagaimanapun, mungkin dengan PSG menawarkan pemain yang lebih muda dan berkualiti, hal itu mungkin boleh membantu untuk mengubah pendirian Barcelona.

Minggu ini, pihak media sibuk menulis dan membicarakan tentang Icardi yang dilanda krisis rumahtangga dengan isterinya Wanda Nara.

Selepas pasangan laki bini itu bergaduh, dengan Wanda Nara menuduh suaminya curang serta menanggung keluarga lain, bekas isteri Maxi Lopez itu pun terus meninggalkan kota Perancis.

Melihat isterinya lari, dan bimbang akan disebat orang, Icardi jadi gila talak dan terus mengejar isterinya hingga mengabaikan tanggungjawab beliau terhadap kelab.

Beliau tidak datang menjalani sesi latihan, dan turut tidak hadir ketika hari perlawanan bertemu RB Leipzig sebelum ini, dengan pimpinan kelab bakal mengambil tindakan terhadap bintang Argentina itu.

Walau bagaimanapun juga, usaha Icardi jadi gila talak membuahkan hasil, selepas beliau kini sudah kembali bahagia bersama isterinya.

Seandainya Messi mampu menggunakan pengaruh beliau, sepertinya Icardi dan Wanda akan sekali lagi cipta drama, kerana model dari Argentina itu tidak mahu meninggalkan ibu kota Perancis.

Icardi sebelum ini dikaitkan dengan bakal menyertai Newcastle dan Barcelona, namun Wanda Nara menegaskan yang beliau tidak mahu tinggal di kedua-dua tempat tersebut.

Bagaimana nasib Icardi selepas ini? Atau beliau perlu minta ampun pada Messi supaya nasibnya di Parc des Princes lebih terjamin? Bincangkan diruangan komen.

Sumber: SPORTbible

BACA:  Neymar Dan Messi Teruk Kena 'Boo' Dengan Penyokong PSG