Iceland : Kebangkitan Pasukan Kerdil Melalui Satu Revolusi

Sebelum ini, Iceland hanya dikenali sebagai negara asal bekas pemain Chelsea dan Barcelona, Eidur Gudjohnsen. Tetapi sekarang, Iceland dikenali sebagai satu pasukan kerdil yang berjaya layak ke suku akhir kejohanan Euro 2016 di Perancis pada tahun lalu.

Kali ini di kelayakan Piala Dunia 2018 yang bakal berlangsung di Russia Iceland sekali lagi tidak berdepan masalah untuk mara secara automatik sekaligus berjaya mengatasi pasukan yang lebih hebat seperti Turki, Ukraine dan Croatia di kumpulan 1 kelayakan Eropah.

Iceland sekali lagi melakar sejarah kali ini di kelayakan Piala Dunia apabila berjaya mara ke Piala Dunia FIFA 2018 setelah menewaskan Kosovo 2-0 sekaligus muncul sebagai juara kumpulan mengatasi Croatia di tangga kedua.

Dengan layaknya Iceland ke Russia maka terciptalah sejarah apabila Iceland muncul negara terkecil yang pernah layak ke Piala Dunia Russia 2018.

Selepas 10 perlawanan, iceland menang 7, seri 1 dan kalah dua kali. Tetapi itu sudah cukup untuk mereka layak.

Ini merupakan kali pertama Iceland bakal menjejakkan kaki ke Piala Dunia dan pencapaian ini sangat mengangumkan kerana populasi negara itu hanya mempunyai 300,000 lebih penduduk sahaja.

Pada saingan EURO 2016 yang lalu, Iceland merupakan 3 pasukan terawal mengesahkan kelayakan ke EURO 2016. Nyata ini bukan nasib tetapi hasil dari sebuah perancangan jangkamasa panjang yang teliti lagi berkualiti.

Pusingan Kelayakan Euro 2016

Euro 2016 merupakan penampilan pertama Iceland di kejohanan ini. Apa yang menarik, Iceland merupakan pasukan ketiga selepas England dan Republic Czech mengesahkan kelayakan mereka ke Euro 2016. Iceland layak selepas mencatatkan keputusan 6 menang. 2 seri dan dua kalah.

Dipusingan kelayakan Iceland hanya kalah dua kali kepada Turkey dan Republic Czech, manakala 2 kali seri menentang Kazakhstan dan Latvia. Dalam dua pertemuan dengan Belanda, Iceland mencatatkan kemenangan bagi kedua-dua perlawanan. Lebih menarik Gylfi Sigurðsson menjadi penjaring terbanyak kumpulan A dengan 6 gol.

Eidur Gudjohnsen – pemain Iceland paling berjaya dan memegang rekod penjaring terbanyak

Di Euro 2016 Iceland telah layak ke suku akhir dengan menyingkirkan England. Adakah ini sekadar nasib atau sememangnya Iceland sedang membina reputasi sebagai sebuah pasukan yang bakal di geruni? Jika dilihat dipusingan kelayakan Iceland sememangnya layak ke Euro 2016 dengan bergaya dan menyingkirkan pasukan gergasi Belanda.

Latar Belakang Negara Iceland

1. Keluasan : 103,000  km persegi – hampir menyamai saiz negeri Sarawak

2. Populasi : 332,529  – 10 kali ganda lebih kecil dari Malaysia

3. FA : Íslenska karlalandsliðið í knattspyrnu (KSI) – susah nak sebut ini

4. Ranking terendah FIFA : 131 (2012)

5. Ranking tertinggi FIFA : 22 (sekarang)

Sistem Liga Bola Sepak Iceland

Liga bola sepak Iceland terbahagi kepada 4 divisyen utama. Divisyen tertinggi dalam pyramid bola sepak Iceland ialah Iceland Premier League yang mengandungi 12 pasukan. Jumlah pasukan ini sama bagi setiap divisyen 2 dan 3. Manakala divisyen 4 mengandungi 10 pasukan.

Pemain yang ada bersama pasukan Iceland pada hari ini adalah hasil kejayaan program pembangunan dari jurulatih-jurulatih seluruh Iceland sejak 10 hingga 15 tahun yang lalu. Dalam bola sepak pembangunan untuk tempoh masa seperti itu bukanlah sesuatu yang lama.

Jurulatih yang terlibat dalam pembangunan bola sepak Iceland 70 peratus daripada mereka mempunya Lesen UEFA B dan baki 23 peratus pula mempunyai Lesen UEFA A. Pemain wanita yang hebat akan berlatih dengan pasukan lelaki sehingga berumur 16 tahun.

Semua penduduk Iceland dibenarkan untuk menjalani latihan tanpa mengira kemampuan mereka. Selepas menjalani latihan para pemain akan di kelaskan mengikut kemampuan mereka dan akan berlatih bersama.

Walaupun pengkelasan di buat mengikut kemampuan kesemua pemain ini tetap akan menerima latihan pada standard yang sama. Mereka yang lambat berkembang tidak akan ditendang keluar seperti mana dilakukan oleh negara lain yang menyingkirkan pemain muda pada umur 10,11 atau 12 tahun.

Oleh kerana Iceland sebuah negara yang kecil dan berpopulasi rendah, pemain yang lambat berkembang tetap akan dilatih dan biasanya mereka menjadi power dan semakin baik seiring dengan peningkatan umur.

Memandangkan musim sejuk yang panjang di Iceland, liga bola sepak mereka hanya dimainkan pada musim panas dan bunga – iaitu dari Mei hingga September. Sekaligus menjadi Liga Bola Sepak tersingkat di dunia.

Bagaimana Iceand boleh berjaya?

Penyediaan Infrastruktur Yang Mencukupi Dan Moden

Kebangkitan pasukan itu disuntik dengan revolusi Persekutuan Bola Sepak Iceland (FAI) pada 1996. Antaranya mereka mengubah tempat latihan dari lapangan terbuka ke ruang tertutup.

Pada tahun 2007, Encik Geir Þorsteinsson telah dilantik sebagai presiden KSI – Íslenska karlalandsliðið í knattspyrnu atau dalam bahasa mudahnya ialah Persatuan bola sepak Iceland.

Presiden KSI, Geir Þorsteinsson banyak menekankan pembangunan akar umbi. Sebaik menjadi presiden KSI, Geir Þorsteinsson telah memberi penekakan dalam isu penyediaan infrastruktur yan cukup dan moden.

Melalui kerjasama dengan kerajaan, KSI telah mewujudkan padang-padang bertaraf FIFA di setiap sekolah di negara tersebut. Menariknya, padang tersebut boleh digunakan secara percuma oleh sesiapa sahaja.

geir-thorsteinsson
Geir Þorsteinsson – Presiden KSI yang berpandangan jauh

Akhirnya pada 2011, pihak pengurusan FAI memberi tanggungjawab pasukan kebangsaan mereka kepada lelaki Sweden – Lagerback – seorang pengurus yang terkenal dengan ketegasan dan kaya pengalaman bukan setakat membawa pulang pingat emas Sukan SEA atau Piala AFC semata-mata.

Lagerback melakukan tugas pertamanya, menuntut FAI menyediakan fasiliti terbaik untuk skuad negara itu.

Antara aspek ditekankan ialah penyediaan pakar pemakanan untuk menguruskan diet pemain. Untuk penerbangan, pemain diberi layanan kelas satu dan menaiki pesawat udara sewa khas untuk ke kejohanan berprestij.

Penambahan Jurulatih dan Infrastruktur Berkualiti

Selaku bekas pemain dan pengadil, Geir Þorsteinsson sangat memahami keperluan pembangunan bola sepak. Dengan itu, beliau telah membuat satu dasar yang menggalakkan jurulatih-jurulatih amatur dan professional untuk mendapatkan lesen-lesen kejurulatihan peringkat tertinggi. Ini penting bagi membolehkan penyampaian ilmu yang tepat dan betul kepada pemain-pemain remaja.

Apa yang penting dalam setiap pembangunan dan menyediakan infrastruktur adalah wang, tidak kira ringgit, dollar, pound Raheem Sterling atau Rupiah sekalipun kerana tanpa wang bagaimana hendak mendapatkan jurulatiha berkualiti dan membina infrastruktur?

Heimir Hallgrimsson yang merupakan pengurus pasukan kebangsaan Iceland mendedahkan bahawa semua jurulatih yang ada di Iceland dibayar dan kerana itulah mereka mendapat kualiti yang tinggi. Yuran dikenakan kepada ibu bapa yang menghantar anak-anak.

Yuran tersebut bukan sahaja digunakan untuk membayar jurulatih tetapi untuk menampung kos fasiliti yang digunakan. Kebiasaannya fasiliti ini diuruskan oleh komuniti setempat.

Dengan kuasa wang yang mengalir jurulatih dapat mendapatkan lesen tahap tertinggi dan mereka yang menguruskan fasiliti boleh menambahkan insfrastruktur yang ada sehingga mencapai standard FIFA.

Kadar bayaran yuran latihan adalah berbeza mengikut umur :

1. Umur 3-10 tahun RM1253 atau £255 setahun.
2. Umur 11-14 tahun RM1865 atau £335 setahun.
3. Umur 14-19 tahun RM2322 atau £417 setahun.
4. Pihak berkuasa tempatan tidak ketinggalan untuk meringankan beban dengan memberi subsidi sebanyak RM852 atau £153.

Selepas ditolak duit subsidi kerajaan kos untuk kanak-kanak remaja untuk belajar mengenal bola sepak yang sebenar hanya antara RM35 hingga RM123 sahaja sebulan. Jika perokok bertukar dari Rokok Dunhill kepada Chesterfield maka kos ini dapat ditampung.

Dunhil sekotak RM17 x 30 hari = RM510
Chesterfield sekotak RM12 x 30 hari = RM360

Maka lebihan dari penukaran rokok Dunhill kepada Chesterfield sebulan adalah RM150. Rajin pulak aku kira. Ini adalah contoh sahaja kerana merokok membahayakan kesihatan.

Kos fasiliti adalah satu kos yang membebankan setiap organisasi bola sepak. Jika mengambil contoh di Malaysia majoriti pasukan di Liga Malaysia tidak mempunyai stadium sendiri apatah lagi tempat latihan. Jadi bagaimana ubi-ubi dapat ditanam?

Dengan keadaan yang sejuk hampir sepanjang tahun Iceland memerlukan padang dan tempat latihan yang tertutup untuk membolehkan rakyat mereka menikmati bola sepak sepanjang tahun, maka kos yang diperlukan adalah lebih tinggi.

Namun dengan perancangan dan pembangunan tersusun mereka berjaya. Pada tahun 2002 mereka hanya mempunyai satu padang bola sepak tertutup bersaiz separuh padang bola, 5 padang rumput tiruan dan 7 sahaja padang mini diseluruh negara.

Tetapi pada tahun 2015 Iceland telah memiliki 7 padang tertutup bersaiz padang sebenar, 12 padang bola sepak tertutup bersaiz separuh padang bola, 23 padang rumput tiruan dan 136 padang mini diseluruh negara di sekolah yang membolehkan kanak-kanak bermain.

Dengan kerjasama masyarakat setempat dan pihak berkuasa dalam menyediakan fasiliti serta kelab yang menggunakan fasiliti yang ada segala kos dapat ditampung dan terus berkembang kepada sukan lain.

Breiðablik multi-sports club seperti bola sepak, balapan, bola keranjang , renang dan galah panjang.

Di Vestmannaeyjar sahaja walaupun terdapat hanya 4200 orang penduduk tetapi mereka mempunyai stadium tertutup, 4 padang untuk 11 sebelah, lima gealnggang bola baling, kolam renang dan padang golf.

Apabila kedua-dua kriteria utama tersebut telah diperkasakan, hasil positif mula dituai. Skuad wanita Iceland telah melayakkan diri ke kejohanan Euro 2009 dan 2013, manakala skuad bawah 21 lelaki telah layak ke EURO U-21 pada 2011.

Terbaru, mereka berjaya melayakkan diri ke kejohanan Piala Dunia FIFA 2018 yang akan berlangsung di Russia selepas layak ke EURO 2016 di Perancis, mengenepikan saingan pasukan yang lebih berprofil tinggi – Belanda, Republik Czech dan Turki.

Kesimpulan

Jika dilihat apa yang dilakukan oleh NFDP adalah mirip kepada apa yang dilakukan KSI yang mahu meningkatkan bilangan pemain muda, memperbanyak bilangan dan menambah baik pusat laithan, meningkatkan kuantiti dan kualiti jurulatih serta memperbanyakkan kejohanan kompetitif.

Sikap positif dan berpandangan jauh KSI telah membuahkan hasil. Mereka tidak perlukan skuad Iceland Muda A atau Iceland Muda B atau Iceland Muda C. Mereka tetap melahirkan pemain bertaraf dunia untuk beraksi di Eropah.

Mereka peka akan keperluan utama untuk sesebuah negara memajukan diri dalam sukan bola sepak mengikut keadaan gegografi mereka. Tidak mustahil suatu masa nanti Iceland akan menjadi seperti Belgium – mempunyai ramai pemain kelas dunia.

Adakah FAM sedar akan modus operandi Iceland ini? Semestinya TIDAK. itu dahulu. Kini di bawah Presiden baru segalanya bakal berubah? Hmmmmmm….

BACA:  Euro 2016 - Kebangkitan Pasukan Kerdil