Indonesia Antara 4 Negara Tawar Jadi Tuan Rumah Piala Asia 2023

Sebanyak empat negara telah menawarkan diri secara rasmi untuk menjadi tuan rumah bagi kejohanan Piala Asia 2023 menggantikan China – Korea Selatan, Australia, Indonesia dan Qatar.

Hal ini telah disahkan oleh Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) pada hari Isnin.

Tarikh tutup pengesahan penawaran diri adalah pada 31 Ogos 2022 ini dan AFC akan mengumumkan tuan rumah yang dipilih pada 17 Oktober nanti.

Pada 5 Jun 2019, Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) telah bersepakat untuk memilih negara China untuk menganjurkan Piala Asia 2023 dalam satu Kongres Luar Biasa di Paris. Kejohanan yang melibatkan 24 negara tersebut pada awalnya akan dilangsungkan di 10 bandaraya negara Tembok Besar tersebut bermula 16 Jun sehingga 16 Julai 2023.

Walaubagaimanapun, dalam satu kenyataan pada 14 Mei 2022, AFC telah mengumumkan bahawa Persatuan Bola Sepak China (CFA) telah menghubungi badan bola sepak Asia tersebut bahawa mereka tidak mampu untuk menganjurkan kejohanan tersebut.

Hal ini adalah disebabkan oleh kenaikan jumlah jangkitan Covid-19 negara tersebut yang semakin meruncing lantas membuatkan kerajaan republik tersebut mengamalkan dasar menutup pintu.

“AFC mengambil maklum keadaan yang rumit disebabkan oleh pandemik Covid-19, yang telah menyebabkan Republik Rakyat China melepaskan hak selaku penganjur,” kenyataan AFC yang ditulis di laman sesawang badan tersebut.

“AFC telah bekerjasama dengan begitu erat dengan CFA serta jawatankuasa penganjur Piala Asia China 2023 ketika persediaan dilakukan dan banyak kemajuan telah berjaya dicapai, termasuk pelancaran logo kejohanan terbaru dan perasmian stadium yang baru disiapkan – Shanghai Pudong Football Stadium – pada tahun lalu.

“AFC juga akan terus bekerja dengan rakan komerisla dan pemegang taruh untuk merencanakan ke masa hadapan serta bersyukur dengan mereka di atas kefahaman dan sokongan di dalam fasa ini.”

Bagi negara yang berminat untuk penganjuran Piala Asia, mereka wajib mematuhi beberapa peraturan seperti di bawah.

Stadium

Negara yang berminat perlu mempunyai sekurang-kurangnya lima stadium berkapasiti 20,000 penonton. Selain itu, stadium yang menjadi pilihan untuk majlis perasmian serta perlawanan akhir mestilah mempunyai kapasiti seramai sekurang-kurangnya 40,000 penonton.

Padang Latihan

Negara penganjur perlu menyediakan sekurang-kurangnya dua padang latihan untuk setiap kumpulan yang mempunyai empat pasukan. Lebih elok sekiranya setiap pasukan diberikan satu padang latihan sendiri untuk kegunaan mereka.

Hotel

Negara penganjur juga mempunyai banyak hotel bertaraf empat atau lima bintang, yang menepati standard dan piawai antarabangsa. Ini bermakna hotel yang korang check-in pada malam tahun baru tidak akan dibenarkan untuk menjadi tempat hospitaliti kontinjen negara yang hadir.

Bagi yang belum faham, hotel bertaraf empat atau lima bintang ini adalah hotel setaraf Concodei yang pernah disinggah Pok Ya sewaktu datang ke Kuala Lumpur untuk membantu Datuk Sahak suatu ketika dahulu.

Penerbangan

Penerbangan domestik perlu disediakan bagi dua bandar yang terletak lebih daripada 200km. Ini kerana pasukan tidak semestinya akan bermain di stadium yang sama atau berdekatan dengan padang latihan mereka sahaja.

Tidak dapat dipastikan sama ada penerbangan tersebut perlu mempunyai kelas bisnes atau boleh sekadar penerbangan kelas ekonomi biasa.

Keselamatan

Pihak penganjur juga perlu mempunyai satu jawatankuasa atau projek yang khusus untuk memastikan keselamatan penyokong yang hadir ke perlawanan terjamin, serta keselamatan kejohanan sepanjang Piala Asia berlangsung.

Rekod Kejuaraan Piala Asia AFC

Korea Selatan menjadi juara edisi pertama Piala Asia pada tahun 1956 dan mengekalkan kejuaraan ketika menjadi tuan rumah empat tahun kemudian. Sejak menjadi penganjur bersama Piala Dunia 2002 dengan Jepun, Korea Selatan masih belum menjadi penganjur sebarang acara utama bola sepak, dan lebih fokus kepada konsert Blackpink sahaja.

Australia pula, juara Piala Asia 2015, akan melalui fasa yang sibuk sekiranya dipilih kerana mereka adalah tuan rumah Piala Dunia Wanita bersama New Zealand pada tahun tersebut.

Negara mat saleh ini juga dikatakan telah berbincang dengan AFC untuk menganjak kejohanan ini ke hujung tahun sekiranya dipilih.

Sejak 1984, Jepun (4 kali) dan Arab Saudi (3 kali) pula muncul juara serta telah menjadi pasukan paling berjaya, Jepun dan Arab Saudi menduopoli dengan memenangi tujuh daripada sepuluh final terakhir.

Pasukan lain yang telah mencapai kejayaan ialah Qatar (juara semasa 2019), Australia (2015), Iraq (2007) dan Kuwait (1980). Israel menang pada 1964 tetapi kemudiannya dibuang dari AFC dan sejak itu menyertai UEFA.

Senarai Juara Piala Asia:

1956 – Korea Selatan
1960 – Korea Selatan
1964 – Israel
1968 – Iran
1972 – Iran
1976 – Iran
1980 – Kuwait
1984 – Arab Saudi
1988 – Arab Saudi
1992 – Jepun
1996 – Arab Saudi
2000 – Jepun
2004 – Jepun
2007 – Iraq
2011 – Jepun
2015 – Australia
2019 – Qatar
2023 – Malaysia

Sumber : Nikkei

BACA:  [VIDEO]: Ekor Harimau Malaya Mulakan Pencerobohan Di Doha