Piala Asia 2023 : Kenapa Masih Belum Ada Tuan Rumah?

Malaysia telah mencipta sejarah apabila layak ke Piala Asia secara merit selepas menewaskan Bangladesh dalam perlawanan terakhir kumpulan kelayakan ke piala teragung di benua Asia tersebut.

Gol daripada Safawi Rasid, Dion Cools serta Syafiq Ahmad sudah cukup untuk meletakkan Malaysia antara lima pasukan yang berada di tangga kedua kumpulan yang terbaik, bersama-sama Thailand, Indonesia, Hong Kong dan Republik Kyrgyzstan.

Kejayaan ini disambut dengan penuh meriah di seluruh negara, walaupun ada yang cuba membuat perangai kill joy dengan mengatakan bahawa penyokong bola sepak di Malaysia terlalu over dalam meraikan kejayaan tersebut.

Pun begitu, mungkin masih ramai yang belum sedar bahawa kejohanan tersebut masih belum diketahui bakal dianjurkan di negara mana. kerana negara asal yang mendapat hak penganjuran ini telah menarik diri walaupun baru siap membina sebuah stadium baharu.

Ceritanya macam ni.

Pada 5 Jun 2019, Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) telah bersepakat untuk memilih negara China untuk menganjurkan Piala Asia 2023 dalam satu Kongres Luar Biasa di Paris. Kejohanan yang melibatkan 24 negara tersebut pada awalnya akan dilangsungkan di 10 bandaraya negara Tembok Besar tersebut bermula 16 Jun sehingga 16 Julai 2023.

Walaubagaimanapun, dalam satu kenyataan pada 14 Mei 2022, AFC telah mengumumkan bahawa Persatuan Bola Sepak China (CFA) telah menghubungi badan bola sepak Asia tersebut bahawa mereka tidak mampu untuk menganjurkan kejohanan tersebut.

Hal ini adalah disebabkan oleh kenaikan jumlah jangkitan Covid-19 negara tersebut yang semakin meruncing lantas membuatkan kerajaan republik tersebut mengamalkan dasar menutup pintu.

“AFC mengambil maklum keadaan yang rumit disebabkan oleh pandemik Covid-19, yang telah menyebabkan Republik Rakyat China melepaskan hak selaku penganjur,” kenyataan AFC yang ditulis di laman sesawang badan tersebut.

“AFC telah bekerjasama dengan begitu erat dengan CFA serta jawatankuasa penganjur Piala Asia China 2023 ketika persediaan dilakukan dan banyak kemajuan telah berjaya dicapai, termasuk pelancaran logo kejohanan terbaru dan perasmian stadium yang baru disiapkan – Shanghai Pudong Football Stadium – pada tahun lalu.

“AFC juga akan terus bekerja dengan rakan komerisla dan pemegang taruh untuk merencanakan ke masa hadapan serta bersyukur dengan mereka di atas kefahaman dan sokongan di dalam fasa ini.”

Sebelum pemilihan China, beberapa negara yang berminat untuk menganjurkan edisi kejohanan ini adalah India, Indonesia, Thailand dan Korea Selatan.

Selepas penarikan diri China, beberapa negara berminat untuk menganjurkan kejohanan ini, termasuk Korea Selatan yang telah menawarkan negara mereka. Presiden Persatuan Bola Sepak Korea, Chung Mong-gyu, telah menghantar tawaran rasmi kepada AFC berkenaan perkara ini.

Selain itu negara seperti Qatar, Jepun dan Emiriyah Arab Bersatu turut dikatakan berminat untuk mendapatkan hak penganjuran ini. Sekiranya Negara Teluk dipilih, ada kemungkinan AFC terpaksa mengubah jadual Piala Asia daripada pertengahan tahun ke hujung tahun dek cuaca panas yang melampau di rantau tersebut.

Bagi negara yang berminat untuk penganjuran Piala Asia, mereka wajib mematuhi beberapa peraturan seperti di bawah.

Stadium

Negara yang berminat perlu mempunyai sekurang-kurangnya lima stadium berkapasiti 20,000 penonton. Selain itu, stadium yang menjadi pilihan untuk majlis perasmian serta perlawanan akhir mestilah mempunyai kapasiti seramai sekurang-kurangnya 40,000 penonton.

Padang Latihan

Negara penganjur perlu menyediakan sekurang-kurangnya dua padang latihan untuk setiap kumpulan yang mempunyai empat pasukan. Lebih elok sekiranya setiap pasukan diberikan satu padang latihan sendiri untuk kegunaan mereka.

Hotel

Negara penganjur juga mempunyai banyak hotel bertaraf empat atau lima bintang, yang menepati standard dan piawai antarabangsa. Ini bermakna hotel yang korang check-in pada malam tahun baru tidak akan dibenarkan untuk menjadi tempat hospitaliti kontinjen negara yang hadir.

Bagi yang belum faham, hotel bertaraf empat atau lima bintang ini adalah hotel setaraf Concodei yang pernah disinggah Pok Ya sewaktu datang ke Kuala Lumpur untuk membantu Datuk Sahak suatu ketika dahulu.

Penerbangan

Penerbangan domestik perlu disediakan bagi dua bandar yang terletak lebih daripada 200km. Ini kerana pasukan tidak semestinya akan bermain di stadium yang sama atau berdekatan dengan padang latihan mereka sahaja.

Tidak dapat dipastikan sama ada penerbangan tersebut perlu mempunyai kelas bisnes atau boleh sekadar penerbangan kelas ekonomi biasa.

Keselamatan

Pihak penganjur juga perlu mempunyai satu jawatankuasa atau projek yang khusus untuk memastikan keselamatan penyokong yang hadir ke perlawanan terjamin, serta keselamatan kejohanan sepanjang Piala Asia berlangsung.

Rekod Kejuaraan Piala Asia AFC

Piala Asia secara umumnya telah didominasi oleh beberapa pasukan yang sama menjadi juara. Pasukan yang mendominasi lebih awal adalah Korea Selatan sebanyak dua kali dan Iran (tiga kali).

Sejak 1984, Jepun (4 kali) dan Arab Saudi (3 kali) pula muncul juara serta telah menjadi pasukan paling berjaya, Jepun dan Arab Saudi menduopoli dengan memenangi tujuh daripada sepuluh final terakhir.

Pasukan lain yang telah mencapai kejayaan ialah Qatar (juara semasa 2019), Australia (2015), Iraq (2007) dan Kuwait (1980). Israel menang pada 1964 tetapi kemudiannya dibuang dari AFC dan sejak itu menyertai UEFA.

Senarai Juara Piala Asia:

1956 – Korea Selatan
1960 – Korea Selatan
1964 – Israel
1968 – Iran
1972 – Iran
1976 – Iran
1980 – Kuwait
1984 – Arab Saudi
1988 – Arab Saudi
1992 – Jepun
1996 – Arab Saudi
2000 – Jepun
2004 – Jepun
2007 – Iraq
2011 – Jepun
2015 – Australia
2019 – Qatar
2023 – Malaysia

BACA:  Perlawanan Persahabatan: Malaysia 4-0 Brunei