Mengimbau Kembali Bagaimana Malaysia Melayakkan Diri Ke Piala Asia 42 Tahun Yang Lalu

Penantian selama 42 tahun untuk layak secara merit ke pusingan akhir Piala Asia akhirnya ditamatkan pada malam penuh bersejarah di Stadium Nasional Bukit Jalil pada malam tadi.

Kemenangan bergaya dengan jaringan 4-1 ke atas Bangladesh di perlawanan terakhir saingan Kumpulan E mengesahkan kemaraan tersebut.

Sedar keputusan positif akan memastikan laluan sebagai 24 pasukan terbaik Asia, pasukan negara garang dan menekan lawan dan berjaya mendahului seawal minit ke-16 menerusi jaringan Safawi Rasid.

Walaupun Bangladesh berjaya menyamakan kedudukan melalui gerakan set pieces selepas itu, Malaysia jelas terus bernafsu memburu jaringan dan berjaya sekali lagi berada di hadapan selepas rembatan deras kaki kiri Dion Cools menerjah jaring pada babak akhir separuh masa pertama.

Skuad kendalian Kim Pan-gon tidak menoleh ke belakang lagi selepas itu. Hanya dua minit babak kedua bersambung, giliran Syafiq Ahmad melebarkan kedudukan sebelum kejayaan ke Piala Asia disempurnakan oleh Darren Lok yang menolak mudah hantaran rendah Akhyar Rashid untuk memadam terus sisa perjuangan Bangladesh.

Itu kisah pada malam tadi. Bagaimana pula pasukan negara melayakkan diri ke pusingan akhir Piala Asia secara merit pada 1980?

Pertama kali secara merit sejak 1980

Pada ketika itu hanya 10 pasukan yang bertanding sesama sendiri di pusingan akhir kejohanan, selepas melalui pusingan kelayakan, berbanding 24 pasukan pada hari ini.

Pada ketika itu pusingan kelayakan hanya mengandungi 14 pasukan yang bertanding sesama sendiri untuk merebut lapan slot di pusingan akhir.

Dan dua lagi pasukan iaitu, juara bertahan dan tuan rumah akan layak secara automatik.

Pusingan kelayakan pada ketika itu agak unik. Secara asasnya, ia mengandungi empat kumpulan (Kumpulan 1-Kumpulan 4) di mana juara dan naib juara akan layak secara automatik.

Kumpulan 3 pula dipecahkan kepada dua lagi kumpulan iaitu 3A dan 3B di mana dua pasukan teratas akan bersaing di separuh akhir. Dua pasukan terbaik, juara dan naib juara akan layak ke pusingan akhir.

Malaysia pada ketika itu berada di dalam Kumpulan 3B bersama-sama Korea Utara dan Indonesia. Menang 4-1 ke atas Indonesia pada perlawanan pertama, pasukan negara kemudianya seri 1-1 dengan Korea Utara untuk menjadi juara Kumpulan 3B.

Pusingan kalah mati

Di pusingan kalah mati atau separuh akhir Kumpulan 3, Malaysia perlu berhadapan halangan Hong Kong.

Perlawanan menentang jajahan British itu pada ketika itu berakhir dengan keputusan seri tanpa jaringan, tetapi Malaysia melayakkan diri ke perlawanan akhir selepas menang 5-4 melalui penentuan sepakan penalti.

Di perlawanan akhir, Malaysia sekali lagi bertemu dengan Korea Utara namun tewas 1-0 kepada lawan merkea itu.

Kekalahan tersebut tidak menjejaskan peluang Malaysia ke Piala Asia pada ketika itu. Kejayaan menewaskan Hong Kong sudah pun memberikan slot kepada pasukan negara untuk mara ke pusingan akhir Piala Asia di Kuwait.

BACA:  TCH Berjanji Malaysia Akan Bermain Lebih Baik Menentang Laos