Ini Sebab Mengapa West Ham Tidak Berusaha Mendapatkan Lingard Pada Musim Panas Ini

West Ham United tidak memulakan sebarang langkah untuk menandatangani Jesse Lingard pada musim panas ini, kerana mereka sudah diberitahu bahawa bintang United itu tidak mahu berpindah.

Lingard memberitahu West Ham bahawa beliau sudah tidak berminat untuk berpindah dan mahu terus kekal di Old Trafford.

Pemain kebangsaan England itu telah melalui beberapa tahun yang sukar di Old Trafford sebelum ini, dan turut tidak diturunkan untuk beraksi dalam mana-mana perlawanan di bawah kendalian Ole Gunnar Solskjaer pada musim lalu.

Dek kerana tidak mendapat tempat, Lingard akhirnya bersetuju untuk beraksi bersama West Ham sebagai pemain berstatus pinjaman.

Beliau dengan segera memberikan impak yang sangat positif selepas menjaringkan 9 gol dari 16 penampilan dalam saingan Premier League, seterusnya membantu kelab menamatkan saingan liga di kedudukan keenam.

Ia secara tidak langsung telah membantu skuad kendalian David Moyes itu untuk melayakkan diri mereka beraksi dalam saingan Europa League pada musim ini.

The Hammers dijangka akan berusaha untuk tandatangani Lingard secara tetap pada musim panas ini, namun pada hari terakhir jendela perpindahan sebelum ditutup, Lingard memutuskan untuk kekal di Old Trafford.

Menurut laporan dari 90 Min, pasukan dari London itu tidak memulakan langkah mereka pada musim panas ini kerana Lingard memberitahu mereka yang beliau tidak mahu berpindah ke London Stadium.

Laporan sama turut mendakwa yang kelab sangat berminat untuk mendapatkan khidmatnya dan turut sudah memulakan rundingan untuk mendapatkan pemain United itu.

Namun Lingard tetap dengan pendiriannya dan memberitahu chairman kelab, David Sullivan yang beliau tidak mahu kembali sertai West Ham.

Tidak ada persoalan tentang kemampuan The Hammers untuk menandatangani Lingard kerana kedudukan ekonomi mereka dalam keadaan baik-baik sahaja.

Mereka akhirnya memilih untuk menandatangani Nikola Vlasic pada hari terakhir jendela perpindahan sebelum ditutup dengan yuran perpindahan bernilai £25 juta.

Tidak mungkin Lingard hanya sekadar menolak tawaran Lingard tanpa beliau ada matlamat apa-apa untuk masa hadapannya sendiri.

Satu hal yang pasti, keputusan Lingard adalah kerana beliau sudah bertekad untuk melakukan yang terbaik, dan bersaing untuk merebut tempat dalam kesebelasan utama Ole Gunnar Solskjaer.

Pemain berusia 28 tahun itu telah diberitahu oleh pengurusnya yang beliau bakal menjadi sebahagian dari perancangan besar Ole Gunnar Solskjaer pada musim ini.

Walau bagaimanapun, setakat tiga perlawanan awal musim ini, Lingard baru diturunkan sekali sahaja selama empat minit sebelum ini.

Dengan penambahan Jadon Sancho dan Cristiano Ronaldo pada musim panas ini, posisi serangan United semakin padat dan sepertinya semakin sukar untuk Lingard bersaing.

Kemampuan yang ditunjukkan oleh Mason Greenwood membuktikan yang sukar untuk pemain muda itu diketepikan oleh Ole Gunnar Solskjaer dari kesebelasan utama pilihannya.

Bruno Fernandes juga dilihat sukar untuk dicabar dengan beliau jelas menjadi nadi penting dalam sistem serangan setan merah.

Kontrak Lingard akan berakhir pada penghujung musim ini, dan sepertinya beliau tidak mungkin akan tandatangani lanjutan kontrak, melainkan ada sinar untuknya diserap masuk ke skuad utama.

Memandangkan kontrak asalnya bakal tamat, West Ham berkemungkinan boleh mencuba nasib sekali lagi untuk tandatangani Lingard pada jendela perpindahan Januari nanti dan mungkin harganya juga bakal semakin murah.

Atau mungkin West Ham boleh tunggu sehingga penghujung musim nanti, dengan Lingard berkemungkinan akan datang sendiri ke London Stadium sebagai pemain berstatus free ejen.

Sumber: SPORTbible

BACA:  Patrice Evra Tiba di London, Bakal Sertai West Ham Sehingga Tamat Musim