Jamie Carragher Namakan Kelab Paling Teruk Di EPL Dan Eropah

Jamie Carragher percaya yang Everton merupakan kelab paling teruk dalam saingan Premier League dan mungkin yang paling teruk di Eropah.

Carragher tampil di episod terbaru rancangan yang dikelolakan oleh Gary Neville, ‘The Overlap Fan Debate’ bersama Roy Keane dan Gary Neville sendiri.

Ketika membincangkan tentang Everton, legenda Liverpool itu dengan terbuka menghentam kelab Merseyside itu tanpa belas.

“Saya rasa Everton merupakan kelab paling teruk di negara kita, mungkin antara yang paling teruk di Eropah. Memang betul. Dan itu bukan hanya kerana mereka banyak menghabiskan duit tapi tak ada hasil. Benda tu dah pernah berlaku dulu.”

Jelas Carragher memulakan bicara.

“Ada hal yang Everton lakukan, ia sungguh luar biasa menakjubkan.”

Everton menandatangani tiga pemain pada awal minggu pertama Januari, dengan mereka pada ketika itu masih dikendalikan oleh Rafael Benitez.

Duo full-back, Nathan Patterson dan Vitaliy Mykolenko tiba di Goodison Park menerusi perjanjian perpindahan tetap pada awal jendela perpindahan Januari lalu.

Sementara Anwar El Ghazi pula menyertai Everton sebagai pemain pinjaman dari Aston Villa dengan Lucas Digne berpindah ke arah bertentangan.

Benitez kemudiannya dipecat seminggu selepas itu dengan tempatnya digantikan oleh legenda Chelsea, Frank Lampard.

Lampard dibenarkan untuk mendapatkan khidmat Dele Alli dari Tottenham Hotspur dan meminjam Donny Van de Beek dari Manchester United.

Carragher kemudiannya menambah lagi dengan menyatakan:

“Ketika kamu fikir tentang apa yang mereka lakukan pada Januari, membawa masuk dua pemain full-back dan kemudian memecah pengurus mereka seminggu selepas itu.”

“Bawa masuk Anwar El Ghazi, untuk apa semua tu? Mereka bawa masuk El Ghazi dari Aston Villa. Seorang pemain sayap. Benitez dapatkan dia sebagai pemain pinjaman. Saya langsung tak faham kenapa.”

“Sebab itu mereka ada lima ke enam pengurus. Saya rasa mana-mana pengurus yang masuk ke mana-mana kelab bola sepak, mereka akan fikir yang merekalah individu yang bakal ubah keadaan di situ.”

“Kerana itulah saya takut untuk Frank Lampard kerana kelab bola sepak Everton pada ketika ini bukanlah tempat yang kamu mahu pergi sebagai pengurus. Terlalu banyak hal yang berlaku sekitar kamu, sangat huru-hara.”

“Pemilik kelab langsung tak tahu, kamu jelas sekali ada masalah (Alisher) Usmanov sekarang. Tapi dari segi semua pemain itu, saya dah kata beberapa minggu lalu, mereka memalukan.”

Dele Alli antara pemain yang paling tak berfungsi dalam skuad pada ketika ini, hingga beliau turut dinasihatkan supaya bersara sahaja di usia 25 tahun.

Dele Alli dinasihatkan supaya bersara di usia 25 tahun

Dele Alli telah dinasihatkan supaya bersara sahaja dari dunia bola sepak di usia 25 tahun, seandainya beliau sudah tak ada jiwa untuk bermain bola sepak.

Itu adalah apa yang dicadangkan oleh bekas pemain Liverpool, Stan Collymore yang merasakan Dele Alli patut bersara sahaja dari dunia bola sepak.

Alli sepertinya gagal untuk menyesuaikan dirinya di Goodison Park selepas beliau melengkapkan perpindahan dari Tottenham Hotspur menyertai Everton pada jendela perpindahan Januari baru-baru ini.

Jelas sekali nilai £40 juta yang Everton bayar kepada Tottenham Hotspur untuk mendapatkan khidmatnya agak tak berbaloi jika dilihat pada sumbangannya ketika ini.

Beliau diharapkan akan mampu menjadi dirinya ketika beraksi di bawah kendalian Mauricio Pochettino sebelum ini.

Walau bagaimanapun, beliau jelas sekali gagal untuk mendapatkan tahap persembahan terbaiknya dan masih belum membuat sebarang penampilan di bawah kendalian Frank Lampard.

Bekas pemain kebangsaan England, Stan Collymore tampil mendedahkan yang Dele Alli sebenarnya perlu menjawab satu soalan yang sangat serious.

Beliau mahu Alli mempertimbangkan sama ada mahu terus bersara dari dunia bola sepak atau tidak dan seandainya beliau sudah hilang minat, maka bersara adalah keputusan yang paling tepat.

Menulis di ruangan beliau di The Mirror, Collymore menyatakan bahawa:

“Dele perlu menjawab satu soalan yang sangat serious, ia untuk dirinya sendiri, bukan untuk orang lain.”

“Dia perlu soal diri dia, ‘Adakah kamu masih mahu bermain bola sepak secara profesional, atau kamu sudah tidak berminat lagi?”

“Dele Alli mungkin memutuskan untuk tidak lagi terus berada dalam dunia bola sepak lagi. Pergi dan cari sesuatu yang kamu semangat, minat untuk lakukan, dan jangan menipu permainan ini dengan main-main di kelab lain dalam saingan Premier League.”

“Dia mungkin menipu penyokong dan kelab dan pengurus di setiap kelab itu.”

“Dia bermula dari ‘The Next Golden Midfielder’ di Eropah, hingga menjadi seorang pemain yang orang tak tahu dia masih main atau tidak.”

“Jawapan untuk semua persoalan ini hanya mampu di jawab oleh Dele Alli sahaja.”

“Lihat pada cermin dan jujur, adakah kamu mahu jadi pro atau tidak? Jangan lajak sampai lima tahun lagi kerana itu boleh jadi satu jenayah yang menentang kemampuan dia sendiri.”

Alli menyertai Tottenham Hotspur dari MK Dons pada tahun 2015 lalu sebagai seorang pemain berusia 18 tahun yang sedang meningkat naik.

Beliau kemudiannya menjadi antara pemain terpenting Tottenham Hotspur di bawah kendalian Mauricio Pochettino.

Beliau merupakan antara pemain penting yang mampu membantu Tottenham Hotspur untuk menamatkan saingan Premier League di kedudukan kedua pada musim 2016/17 yang lalu.

Beliau juga turut cemerlang membantu Tottenham Hotspur untuk layak ke pentas perlawanan akhir saingan Champions League pada tahun 2019 yang lalu.

Ketika era Jose Mourinho, Dele Alli sepertinya sudah mula hilang tempat dan perlahan-lahan beliau semakin dilupakan oleh peminat.

Selepas bergelut untuk mendapat tempat dan prestasi terbaiknya, Alli akhirnya memutuskan untuk menyertai Everton pada jendela perpindahan Januari baru-baru ini.

Beliau mengikat kontrak selama dua tahun setengah dan tentunya beliau sangat berharap mahu berusaha untuk mendapatkan tahap persembahan terbaiknya.

Walau bagaimanapun, usahanya itu sepertinya masih belum membuahkan hasil dengan Dele Alli gagal untuk mendapat tempat di Goodison Park.

Collymore percaya Alli sepatutnya mempertimbangkan jika beliau masih ada jiwa atau tidak untuk bermain bola sepak.

Beliau mencadangkan supaya Alli mengikuti sahaja jejak langkah bintang Tennis, Ashleigh Barty yang baru-baru ini memutuskan untuk bersara di usia sebaya dengan Dele Alli.

“Mungkin dia perlu ada detik seperti Ash Barty.”

Tambah Collymore lagi.

“Begitu ramai pemain tennis dan perenang berhenti di usia 20 an dan memilih untuk bersara sahaja dari dunia sukan tersebut.”

Everton pada ketika ini berada di kedudukan ke-17 dalam carta saingan Premier League dengan mereka hanya tiga mata terselamat dari zon penyingkiran.

Mereka jelas sekali sedang melalui musim yang sangat mengecewakan pada musim ini, dengan Everton selepas ini akan turun beraksi bertemu Burnley di Turf Moor.

Seandainya Everton tewas, maka mereka sangat berpotensi untuk terus berada di zon penyingkiran dan ia bukanlah satu hal yang diharapkan oleh para penyokong.

BACA:  Peter Schmeichel Bidas Kenyataan Carragher Berkait Cristiano Ronaldo