Peter Schmeichel Bidas Kenyataan Carragher Berkait Cristiano Ronaldo

Peter Schmeichel bidas kenyataan yang dikeluarkan oleh legenda Liverpool, Jamie Carragher berkait penandatanganan terbaru United, Cristiano Ronaldo.

Perseteruan antara Liverpool dengan Manchester United sepertinya tiada penghujungnya dengan mereka senantiasa memusuhi satu sama lain dari pelbagai sudut dan aspek.

Baru-baru ini, legenda kelab dari kedua-dua pasukan telah melontarkan pendapat masing-masing berkait Cristiano Ronaldo dan jelas sekali kedua-dua mereka mempunyai sudut pandangan yang berbeza.

Kedua-dua Carragher dan Peter Schmeichel telah membahaskan tentang bintang Portugal itu selepas beliau secara rasminya kembali ke Old Trafford pada musim panas ini.

Menurut pengurus kelab, Ole Gunnar Solskjaer, pemain berusia 36 tahun itu berkemungkinan akan diturunkan dalam perlawanan pada minggu ini, dengan para penyokong sudah tidak sabar untuk menyaksikan debutnya.

Solskjaer menegaskan yang Cristiano Ronaldo berkemungkinan akan diturunkan dalam aksi bertemu Newcastle pada hujung minggu ini.

Jamie Carragher dan Peter Schmeichel masing-masing mempunyai sejarah karier yang sungguh cemerlang dalam dunia bola sepak dan mereka kini meneruskan karier dalam dunia penyampaian TV pula.

Baru-baru ini, kedua-dua mereka telah membincangkan tentang topik kembalinya pemenang kasut emas saingan Euro 2016, Cristiano Ronaldo ke saingan Premier League.

Legenda Liverpool, Jamie Carragher menolak untuk berasa teruja seperti mana kebanyakan rakan penyampainya yang lain.

“Saya tak pernah lihat begitu ramai bekas pemain Manchester United yang teruja dan terpesona dengan penandatanganan semula Cristiano Ronaldo, jadi saya rasa ia detik yang besar untuk mereka.”

Jelas Carragher kepada CBS sports.

“Dia merupakan salah seorang pemain terhebat sepanjang zaman, tiada keraguan, tapi saya sebenarnya rasa keputusan ini akan memberikan kesan negatif pada Manchester United.”

Schmeichel, yang sebelum ini pernah memenangi lima kali gelaran liga di Old Trafford tidak senang dengan kenyataan dari Carragher.

Legenda Manchester United itu turut menyindir Carragher dengan menyatakan yang beliau hanyalah seorang penyokong Liverpool yang mahu melihat Ronaldo gagal bersama setan merah.

“Saya rasa kamu perlu kata, ‘saya harap akan ada kesan negatif’. Ia berbeza, sangat berbeza. Saya tak rasa akan ada kesan negatif tentang penandatanganan itu. Saya rasa ia penandatanganan yang besar.”

“Ia merupakan salah satu penandatanganan terbaik yang dilakukan oleh kelab dalam tempoh 10 tahun ini, dan sebagai seorang penyokong, tentunya kami mengharapkan sesuatu dari hal ini.”

Carragher walau bagaimanapun tidak mendedahkan alasan mengapa beliau menganggap Ronaldo akan membawa kesan yang negatif, dan turut tidak menjelaskan mengapa beliau tidak percaya penandatanganan semula bekas bintang Juventus itu sebenarnya merupakan perniagaan yang baik untuk United.

Rekod jaringan Cristiano Ronaldo sememangnya tidak boleh dinafikan dengan Schmeichel sendiri percaya dan yakin yang Ronaldo akan terus menjadi mesin pencetak gol selepas melihat kejayaannya menjaringkan dua gol untuk skuad kebangsaan Portugal baru-baru ini.

“Orang kata zaman dia sudah berakhir, dia tidak akan sebagus seperti ketika kariernya bersama Juventus.”

“Namun kenyataannya, pada musim beliau tidak begitu menjadi, yang mana ia berlaku pada tiga tahun lalu di Juventus, dia tetap mampu menjaringkan 28 gol. Musim lalu dia jaringkan 37 gol.”

Jadi Schmeichel sangat yakin yang Cristiano Ronaldo masih berbisa dan masih boleh menjaringkan gol yang banyak di Old Trafford.

Para penyokong Manchester United jelas sekali sudah tidak sabar untuk menyaksikan debut Cristiano Ronaldo yang dijangka akan dilakukan ketika aksi bertemu Newcastle malam ini.

Sumber: SB

BACA:  Carragher Ingatkan Penyokong Chelsea Siapa Yang Mulakan Perangai Ambil Kesempatan Pada Pasukan Lain