Jamie Vardy & Gary Cahill Umum Persaraan Dari Arena Antarabangsa

Jamie Vardy dan Gary Cahill masing-masing mengumumkan persaraan dari tugasan antarabangsa selepas memberitahu pengurus England, Gareth Southgate yang mereka mahu menumpukan perhatian terhadap karier bersama kelab masing-masing.

Penyerang Leicester City dan pemain pertahanan Chelsea itu merupakan nama yang sering dipanggil Southgate ke dalam skuad kebangsaan  sejak bergelar pengurus England pada November 2016.

Vardy dan Cahill merupakan antara pemain senior yang dibawa Southgate ke Russia beberapa bulan lalu.

Walau bagaimanapun, Vardy dan Cahill masih lagi belum ‘menutup pintu’ sepenuhnya kepada England dan akan kembali beraksi sekiranya berlaku situasi luar biasa, misalnya jika berlaku krisis kecederaan dalam skuad England.

Vardy berjaya menembusi skuad England pada usia yang agak lewat iaitu ketika beliau berumur 28 tahun. Sejak melakukan debut pada Mei 2015 ketika menentang Republik Ireland, Vardy berjaya mengutip 26 caps di peringkat antarabangsa dan dipanggil untuk menganggotai skuad England yang beraksi di Euro 2016 dan Piala Dunia 2018.

Ketika memberikan temu ramah kepada akhbar Guardian, Vardy berkata keputusan itu dibuat bagi memberikan laluan kepada pemain yang lebih muda untuk berbakti kepada skuad kebangsaan.

“Saya sudah lama memikirkan perkara ini. Usia saya semakin meningkat naik dan untuk berlaku adil kepada bos [pengurus England, Southgate], beliau mahu pasukan England yang lebih muda yang mana kita dapat lihat kebaikannya dalam Piala Dunia lalu. Kami berjaya mara ke separuh akhir dan menduduki tempat ke-4, yang mana ia menyamai pencapaian terbaik England dalam Piala Dunia di tanah asing.”

Vardy umumkan persaraan beliau dari tugasan England pada usia 31 tahun

“Jadi saya beritahu Gareth, adalah lebih baik jika beliau menumpukan perhatian beliau terhadap pemain lebih muda yang berbakat. Ini masa terbaik untuk membentuk mereka menjadi pemain antarabangsa.”

Bagi Cahill pula, beliau melakukan debut bersama England pada tahun 2010 dan kini mempunyai 61 penampilan di peringkat antarabangsa disamping pernah menjadi kapten England dalam beberapa perlawanan.

“Mengenai masa depan saya di peringkat antarabangsa, saya rasa sekarang merupakan masa yang tepat untuk mengundur diri.” Ujar Cahill ketika bercakap kepada ChelseaTV.

“Saya berasa bangga dengan apa yang saya capai sepanjang 60 penampilan bersama England. Saya berjaya memimpin England dalam beberapa perlawanan dan saya amat berbangga dengan pencapaian tersebut. Ia merupakan sesuatu yang saya amat banggakan sepanjang karier saya.”

“Saya dapat lihat kini sudah tiba masanya untuk generasi lebih muda mengambil alih tempat saya dalam skuad England. Sekarang merupakan masa terbaik bagi saya mengundur diri.”

Cahill bermain ketika menentang Belgium dalam perlawanan terakhir peringkat kumpulan Piala Dunia 2018

Menurut laporan, Vardy memberitahu hasratnya untuk bersara kepada Southgate sebaik sahaja Liga Perdana Inggeris musim ini bermula tetapi Southgate meminta Vardy untuk mengambil lebih masa sebelum membuat keputusan mengenai karier antarabangsanya.

Walau bagaimanapun, masa yang diberikan Southgate kepada Vardy gagal mengubah keputusan pemain tersebut dan Vardy dilihat bakal menamatkan karier antarabangsanya dengan mengumpul 7 gol.

BACA:  Raheem Sterling Pertahan Tindakan Cacah Tatu M16 Di Kaki