Lingard: Ini Musim Terbaik Saya Sepanjang Bergelar Pemain Manchester United

Pemain tengah Manchester United, Jesse Lingard berkata harapannya untuk beraksi bersama England di Piala Dunia nanti bergantung sepenuhnya terhadap prestasi beliau di peringkat kelab.

England berjaya melayakkan diri ke Piala Dunia 2018 yang bakal berlangsung di Russia musim panas nanti selepas mengharungi pusingan kelayakan yang cemerlang dimana mereka tidak pernah tewas sekaligus muncul juara kumpulan.

Hero England ketika menang ke atas Belanda

Pemain berusia 25 tahun ini telah menjaringkan 13 gol bersama Manchester United musim ini, dan ia merupakan catatan tertinggi beliau sepanjang bergelar pemain profesional. Bilangan gol Lingard musim ini juga telah melebihi jumlah gol yang dijaringkan beliau sepanjang dua musim yang terdahulu.

Prestasi cemerlang Lingard di peringkat kelab telah berjaya diterjemahkan di peringkat antarabangsa selepas beliau berjaya menjaringkan gol kemenangan ketika England menang 1-0 ke atas Belanda tempoh hari.

Lingard juga beraksi baik ketika England seri 1-1 menentang Itali beberapa hari kemudian. Dalam satu temubual ekslusif Lingard bersama Skysports, beliau kini mengalihkan fokusnya untuk membantu Manchester United mengakhiri musim dengan cemerlang.

“Minggu ini sangat positif buat saya. Secara peribadi, musim ini adalah musim terbaik saya sepanjang bergelar pemain Manchester United.”

Selain kerap menjaringkan gol, Lingard juga pakar dalam ilmu-ilmu DAB

“Bilangan gol yang berjaya dijaringkan saya musim ini telah banyak membantu. Saya perlu mengekalkan prestasi ini sehingga ke penghujung musim dan kita akan lihat apa yang bakal berlaku musim panas nanti.”

“Saya perlu bermain sehingga ke penghujung musim dan mempamerkan persembahan yang baik bersama Manchester United.”

Pengurus Manchester United, Jose Mourinho sering dikritiki kerana cara beliau melayan beberapa pemain United seperti Luke Shaw dan Paul Pogba. Mourinho kerap mengkritik secara terbuka pemain-pemain ini bagi menzahirkan rasa tidak puas hatinya terhadap persembahan mereka.

Akan tetapi, perkara yang berbeza berlaku terhadap Jesse Lingard. Beliau merupakan pemain yang meningkat naik di bawah Mourinho. Dan pemain antarabangsa England ini berazam untuk membalas kepercayaan Mourinho terhadapnya dengan menjaringkan lebih banyak gol dan membantu pasukan.

“Mourinho telah meletakkan kepercayaannya dengan memilih saya beraksi di posisi kegemaran saya iaitu posisi No.10. Saya amat berterima kasih kepada beliau. Satu-satunya cara untuk saya membalas budi tersebut adalah dengan menjaringkan lebih banyak gol untuk membantu pasukan.”

Musim prolifik Lingard bermula apabila beliau berjaya menjaringkan dua gol ketika United menumpaskan Swansea 2-0 dalam saingan Piala Carabao pada Oktober tahu lepas.

Nasib yang berbeza dialami dua pemain ini di bawah Jose Mourinho

Dan pada hujung minggu ini, kedua-dua pasukan bakal bertembung sekali lagi dalam Liga Perdana Inggeris dengan Swansea berjuang untuk tidak terjerumus ke dalam zon penyingkiran.

Manakala Red Devils pula perlu memastikan mereka mengutip 3 mata penuh bagi memastikan matlamat layak secara automatik ke Liga Juara-Juara Eropah musim hadapan tercapai.

“Swansea sedang bergelut untuk menjauhi zon penyingkiran. Sudah pasti perlawanan itu nanti akan menjadi perlawanan yang sukar buat kami.”

“Tetapi jika kami bermain mengikut arahan dan sabar, saya pasti kami akan memperolehi peluang untuk menjaringkan gol.”

BACA:  Dari Anak Murid, Lingard Kini Menjadi Rakan Sepasukan Cristiano Ronaldo