Jerman Disiasat FIFA Kerana Melanggar Peraturan

Jerman dilaporkan sedang disiasat oleh Fédération Internationale de Football Association (FIFA) kerana melanggar peraturan berkaitan dengan sidang media sebelum perlawanan menentang Sepanyol.

Suruhanjaya Tatatertib FIFA kini menyiasat atas pelanggaran Artikel 44 peraturan Piala Dunia, yang dinyatakan dalam buku panduan pasukan yang diterima oleh setiap negara bertanding.

Pengurus Jerman, Hansi Flick hadir untuk sidang media pra-perlawanan sebelum permainan berakhir dengan keputusan seri 1-1 di Stadium Al Bayt.

Tetapi yang menjadi kesalahan sehinggar dianggap melanggar peraturan adalah apabila Hansi Flick datang secara bersendirian, tanpa kehadiran pemain.

Peraturan dari FIFA telah menetapkan bahawa seorang pemain perlu menyertai pengurus untuk bercakap dengan media tetapi Jerman merasakan ia adalah perjalanan yang tidak perlu untuk salah seorang bintang mereka.

Sidang akhbar untuk setiap negara bertanding di Piala Dunia berlangsung di International Broadcast Centre (IBC) di Doha yang merupakan ibu negara Qatar.

Walau bagaimanapun, untuk Hansi Flick dan pemain Jerman pergi ke sana akan membabitkan perjalanan sejauh 210km pergi dan balik dari pangkalan latihan Jerman yang terletak di di Al Shamal.

Dengan jarak seperti itu perjalanan akan memakan masa lebih kurang 3 jam yang pasti akan menyebabkan pemain, pengurus atau mana-mana individu akan mengalami keletihan.

Seperti yang dilaporkan oleh Kicker, Jerman mencadangkan agar sidang media perlawanan diadakan di kem latihan mereka atau hotel media tetapi FIFA menolak cadangan itu.

“Saya datang bersendirian kerana kami tidak mahu seorang pemain menghabiskan masa tiga jam di jalan raya untuk datang,” Flick menjelaskan ketiadaan pemain.

“26 pemain itu penting dan semua orang perlu fokus pada permainan. Saya optimis.”

Hansi Flick ditemani seorang pemain untuk sidang akhbar pertama menjelang kekalahan mengejut 2-1 kepada Jepun, dengan Joshua Kimmich telah dipilih untuk hadir.

Peraturan itu boleh diikuti kerana pasukan Jerman telah pun berada di Doha pada malam sebelumnya dan perjalanan jauh tidak diperlukan.

Jerman merupakan pasukan yang dirundung kontroversi sepanjang Piala Dunia ini kerana terlalu fokus kepada hal remeh di luar padang yang tiada kaitan dengan bola sepak.

Ramai berpendapat aksi buruk Jerman setakat ini adalah kerana tidak fokus untuk kejohanan Piala Dunia dan terlalu mencuba untuk membawa mesej politik.

Jerman melakukan protes yang bukan-bukan dengan menutup mulut ketika sesi bergambar kerana FIFA mengharamkan pemakaian lilitan pelangi.

Mereka dimalukan Jepun lalu gambar pemain Jerman menutup mulut itu menjadi bahan jenaka dan memes di media sosial ditambah pula dengan aksi keldai Antonio Rudiger.

Dalam perlawanan menentang Sepanyol pula terdapat penonton hadir untuk menganjing Jerman dengan membawa gambar Mesut Ozil di stadium sambil membuat isyarat menutup mulut.

Tindakan ini sebagai balasan ke atas protes yang dilakukan Jerman. Mereka sibuk membuat hal di negara orang dan tidak menghormati undang-undang dan budaya tuan rumah.

Namun mereka terlupa akan diskriminasi yang mereka lakukan ke atas Mesut Ozil yang menjadi kambing hitam atas kegagalan kempen Piala Dunia 2018 mereka di Rusia.

Mesut Ozil mengumumkan persaraan dari pentas antarabangsa hanya kerana susur galur keturunannya yang berasal dari Turki ditambah pula Ozil bergambar dengan Presiden Erdogan.

Jerman masih mencari kemenangan pertama mereka dalam Piala Dunia tahun ini dan akan berusaha untuk mencapainya menentang Costa Rica dalam pertembungan terakhir Kumpulan E mereka pada hari Khamis.

Sidang akhbar Hansi Flick seterusnya dijadualkan pada hari Rabu di International Broadcast Centre (IBC) tetapi masih belum dapat dipastikan sama ada dia akan membawa pemain duduk di sebelahnya atau tidak.

BACA:  Manchester United Undang 'Budak Gua Thailand' Ke Old Trafford Musim Hadapan