Segalanya tentang perlawanan antara England menentang Jerman adalah sempurna, kalau kau adalah penyokong pasukan Tiga Singa tu lah. Kemenangan 2-0 di depan penyokong sendiri, menamatkan kemarau kemenagan ke atas Jerman dalam kejohanan utama di dunia dan membolehkan England melangkah ke pusingan suku akhir.
Tetapi apa yang menarik perhatian selain daripada aksi di atas padang adalah bagaimana para penyokong berpesta di dalam dan di luar stadium.
Kira-kira 40,000 penyokong dibenarkan masuk ke stadium menyaksikan perlawanan di depan mata, dan mereka bernyanyi lagu It’s Coming Home tanpa henti sejak sepak mula. Suasana menjadi lebih gamat selepas kemenangan tersebut dan penyokong bagaikan lepas geram 18 bulan terkongkong dan terkunci tanpa suasana bola sepak sebenar.
Salah seorang daripadanya adalah pengurus Liverpool yang berbangsa Jerman, Jurgen Klopp, atau lebih tepatnya, Jurgen Klopp copy ori 1:1 player issue.
Dia dilihat berpesta sambil memakai track-suit Liverpool, meminum arak di jalanan sambil duduk di atas bahu penyokong England yang lain.
Jurgen Klopp is ready for England-Germany 😂😂
(via @linziramma)pic.twitter.com/yXVNGtVVe8
— ESPN FC (@ESPNFC) June 29, 2021
Jika dilihat dalam video, persamaan antara lelaki ini dengan pengurus Liverpool tersebut cukup mirip, ditambah pula dengan topi dan jaker Liverpool, sekaligus menjadikannya tumpuan.
Ketika dia berjalan masuk ke stadium bersama kawan-kawannya, dia disapa seorang lelaki yang betul-betul menyangka dia adalah Klopp!
“Jurgen! Jurgen! Cakap ngan aku jap Jurgen!” ujar lelaki tersebut.
“Apa pendapat kau pasal perlawanan lepas ni?” lelaki tersebut bertanyakan ‘Klopp’.
“Hati aku cakap England, tapi otak aku cakap Jerman. Aku kena berhati-hati. 50-50,” jawab ‘Klopp’ dengan bahasa Inggeris yang lancar tanpa bunyi pelat Jerman langsung.
Lebih melucukan lagi adalah apabila seorang wartawan betul-betul menyangka bahawa itu adalah Klopp dan memuji tindakannya berpesta bersama para penyokong England di jalanan, ketika siaran langsung siaran pagi di London.
“Masa aku nak masuk stadium semalam aku terjumpa dengan Jurgen Klopp juga – pengurus Liverpool tu!” wartawan tersebut memberitahu rakannya dalam siaran langsung tersebut.
“Memanglah, dia orang Jerman. Tapi dia sporting habis semalam, bersorak dengan ramai penyokong England dan malah selepas perlawanan, dia naik atas bahu penyokong England dan minum satu tin bir depan Wembley ni je.”
Oh mate… pic.twitter.com/f2RlLG0Kmu
— Nooruddean (@BeardedGenius) June 30, 2021
Daripada gaya dia bercakap tu, nampak sangat dia yakin itu adalah Klopp yang sebenar. Siap ambil gambar lagi tu di dalam stadium.
Tak tahu lah apa yang dia buat bila dia sedar yang itu bukan Klopp sebenar. Paling tidak pun dia akan cakap ‘babi betul’ je lah kot.
Perlawanan di Wembley tersebut berlangsung dengan agak perlahan pada separuh masa pertama, dengan kedua-dua pasukan dilihat mengambil pendekatan berhati-hati. Malah pada separuh masa pertama juga menyaksikan bek sisi England langsung tidak naik ke atas untuk memberi sokongan kepada pemain di bahagian serangan.
Segalanya berubah pada separuh masa kedua selepas pengurus England, Gareth Southgate, memasukkan Jack Grealish menggantikan Bukayo Saka, dan rentak permainan England berubah sama sekali.
Para pemain England secara tiba-tiba mengubah mod, daripada bersahaja kepada menyerang dan bek sisi mereka juga sudah mula memainkan peranan dalam melakukan serangan.
Pada minit ke-75, penantian mereka akhirnya berakhir apabila Raheem Sterling sekali lagi menjaringkan gol buat pasukan Tiga Singa itu, selepas dia mudah menolak masuk bola leret lorongan daripada bek kiri, Luke Shaw, yang sebelum itu menerima bola daripada Grealish.
Pada minit ke-82, Jerman hampir menyamakan kedudukan apabila Sterling melakukan kesilapan membuat hantaran lemah kepada rakan sepasukannya, lantas bola dipintas oleh Kai Havertz.
Havertz kemudiannya melorongkan bola kepada Thomas Muller yang memecut laju dan hanya berhadapan dengan penjaga gol England, Jordan Pickford.
Pada waktu itu, Sterling sudahpun memegang kepalanya tanda kecewa di atas kesilapannya, namun dia akhirnya tertunduk lega apabila bola rembatan Muller tersebut meliar ke sebelah kanan gol England.
Walaubagaimanapun empat minit kemudian, seluruh kem England dan rakyat negara tersebut lega apabila kapten Harry Kane akhirnya berjaya menjaringkan gol pertamanya di kempen Euro kali ini menerusi satu tandukan jarak dekat di dalam kotak penalti Jerman.
Pemain bek kiri, Shaw sekali lagi menjadi watak penting dalam menghasilkan gol ini di mana dia berjaya memenangi bola di hadapan kotak penalti Jerman, sebelum melorongkan bola kepada Grealish di sebelah kirinya.
Grealish kemudiannya melakukan hantaran mudah ke tengah kotak penalti dengan kaki kirinya, lalu ditanduk oleh Kane yang sedang meluru di tengah.
England bakal berdepan pasukan Ukraine di pusingan suku akhir nanti dalam perlawanan yang dijadualkan berlangsung di Rom, Itali – sekaligus memaksa England keluar dari negara sendiri buat kali pertama dalam kejohanan ini.
Sumber : GMS