Jurgen Klopp Sudah Ada Perancangan Untuk Tinggalkan Anfield

Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp telah mendedahkan tentang perancangan beliau mahu meninggalkan kelab pada 2024 nanti.

Klopp walau bagaimanapun menegaskan yang keputusan muktamad hanya akan diputuskan bergantung kepada tahap kekuatan beliau.

Pengurus dari Jerman itu tidak dinafikan lagi sememangnya antara pengurus terhebat dalam dunia bola sepak hari ini, dengan beliau cemerlang mengubah Liverpool dari pasukan belasahan menjadi sang penakluk dunia.

Sejak ketibaannya ke bumi Anfield pada 2015 yang lalu, Jurgen Klopp berjaya membantu Liverpool memenangi gelaran Champions League, Super Cup, FIFA Club World Cup, Premier League dan terbaru Carabao Cup.

Kontrak Jurgen Klopp bersama Liverpool akan tamat pada 2024 nanti dan menjelang tempoh tersebut beliau akan berusaha sehabis baik untuk bantu The Reds capai pelbagai kejuaraan.

“Ikut perancangan pada ketika ini adalah saya mahu tunggu hingga 2024 dan kemudian, ‘Terima Kasih yang teramat sangat-sangat.’

Jelas pengurus berusia 54 tahun itu menurut The Athletic.

Ketika ditanya adakah beliau mahu melanjutkan lagi kariernya sebagai pengurus Liverpool, beliau menjawab:

“Jika saya ada tenaga yang cukup, saya memang suka apa yang saya lakukan, tapi saya sudah kata beberapa kali, sudah tentu ada sesuatu yang lain di luar sana, selain dari memikirkan tentang pemain bola sepak yang hebat, kacak dan menakjubkan.”

“Pada ketika ini saya sangat bertenaga tapi kita perlu sentiasa memastikan yang ia akan kekal seperti itu. Kamu tak akan mahu sekadar penat duduk berbanding berfikir, ‘Wow mengapa semua orang teruja dengan hal-hal di luar sana? Tapi saya tak pernah peduli?”

Seandainya Jurgen Klopp benar-benar mengumumkan persaraannya atau meninggalkan Anfield pada 2024 nanti, maka ia jelas satu tamparan yang hebat kepada gergasi Merseyside itu.

Sememangnya agak sukar untuk mencari pengurus yang ada kemampuan untuk menggilap pemain seperti Jurgen Klopp dan atas alasan sama juga beliau menjadi kesayangan peminat.

Musim pertama beliau di Anfield, beliau sudah berjaya membawa Liverpool mara ke aksi perlawanan akhir League Cup dan Europa League, namun mereka ketika itu tewas di tangan Man City dan Sevilla.

Liverpool kemudiannya perlahan-lahan menstabilkan kedudukan mereka hingga menjadi antara pencabar kejuaraan saingan liga.

Liverpool senantiasa berada di kelompok empat teratas berbanding musim sebelum-sebelumnya mereka sangat sukar untuk dapat slot ke saingan Champions League.

Pada musim 2018/19, Liverpool mula menunjukkan mereka bukan sekadar mahu mencabar kedudukan empat teratas, namun mereka juga mahu mencabar gelaran liga.

Mereka ketika itu hanya dipisahkan dengan perbezaan satu mata sahaja dibelakang Manchester City yang muncul sebagai Juara pada musim tersebut.

Musim yang sama mereka berjaya membawa pulang Piala pertama di bawah kendalian Jurgen Klopp dengan skuad The Reds muncul sebagai Juara saingan Champions League.

Musim berikutnya selepas memenangi dua lagi Piala antarabangsa, Super Cup dan FIFA Club World Cup, skuad kendalian Jurgen Klopp itu berjaya membawa pulang gelaran liga pertama mereka selepas 30 tahun.

“Jika saya memutuskan untuk pergi pada 2024, ia tak ada kena mengena dengan kualiti skuad, ‘Ya Tuhan, saya perlu uruskan mereka? Atau Ya Tuhan, lebih baik saya berhenti uruskan mereka.’ ia langsung tidak seperti itu.”

Jelas Klopp.

“Kelab ini mesti perlu jadi lebih bagus terutama ketika saya tidak ada di sini lagi, dan itu lah rancangan saya, itulah apa yang sedang kami usahakan. Ia tak penting berapa lama saya akan kekal, apa yang lebih penting adalah apa yang perlu kami lakukan sehingga hari itu.”

Liverpool kini berada di kedudukan kedua dalam carta saingan Premier League dengan mereka hanya dipisahkan dengan jarak enam mata sahaja di belakang Man City.

Mereka juga kini sudah mengesahkan tempat untuk beraksi di peringkat suku akhir saingan Piala FA dan akan turun beraksi dalam aksi leg kedua pusingan 16 terbaik saingan Champions League.

Liverpool akan melayan kunjungan Inter Milan ke bumi Anfield, dengan mereka memiliki kelebihan 2 gol selepas mencatatkan kemenangan 2-0 di San Siro sebelum ini.

Minggu lalu skuad kendalian Jurgen Klopp itu berjaya menewaskan Chelsea untuk menjulang Piala pertama mereka musim ini.

Jelas sekali Liverpool kini merupakan satu-satunya calon yang boleh memenangi kesemua gelaran yang boleh mereka menangi dalam satu musim yang sama.

Premier League, Champions League dan FA Cup menanti anak-anak buah Jurgen Klopp seandainya mereka mampu konsisten.

Sumber: SPORTbible

BACA:  Klopp Lebih Rela 'Kalah' Daripada Menang Seperti Sergio Ramos