Kaka: Saya Menyesal Tinggalkan AC Milan Untuk Sertai Real Madrid

Bekas pemain antarabangsa Brazil, Kaka mendedahkan beliau menyesal dengan tindakannya meninggalkan AC Milan untuk menyertai Real Madrid pada tahun 2009.

Kaka merupakan ikon dan tonggak utama bagi AC Milan pada ketika itu sebelum Real Madrid membelanjakan £58juta bagi mendapatkan khidmatnya pada musim panas 2009.

Muncul juara Liga Juara-Juara selepas menewaskan Liverpool 2-1 dalam perlawanan akhir

Real Madrid berbelanja besar pada jendela perpindahan tersebut dengan membawa masuk pemain ternama seperti Cristiano Ronaldo, Kaka dan Karim Benzema bagi menamatkan dominasi Barcelona yang ‘bermaharajalela’ ketika itu dibawah kendalian Pep Guardiola.

Kaka melakukan 307 penampilan dalam semua pertandingan untuk AC Milan dari tahun 2003 sehingga 2009 dimana beliau berjaya menjaringkan 104 gol disamping memenangi 5 trofi utama.

Antara yang paling diingati sudah tentu muncul juara Liga Juara-Juara Eropah pada musim 2006/2007 dimana Kaka berjaya membantu Milan menumpaskan Liverpool 2-1 dalam perlawanan akhir, sekaligus menebus kekecewaan tumpas pada lawan yang sama pada musim sebelumnya.

Produk akademi Sao Paulo ini bergelut untuk menampilkan prestasi yang serupa dengan apa yang telah dipamerkan beliau untuk AC Milan. Beliau hanya mampu bermain sebanyak 120 perlawanan sebelum pulang ke pangkuan AC Milan pada tahun 2013.

Mengakhiri kariernya di Amerika Syarikat pada usia 35 tahun

Kaka merupakan pemain terakhir yang memenangi anugerah Ballon d’Or sebelum dikuasai anugerah tersebut didominasi oleh Cristiano Ronaldo dan Lionel Messi sehingga sekarang. Beliau diangkat menjadi pemain terbaik dunia pada tahun 2007 selepas membantu Milan menjuarai Liga Juara-Juara Eropah.

Kini bersara, Kaka memberitahu beliau tidak sepatutnya meninggalkan Milan pada waktu itu.

“Pada tahun 2009, saya menerima pelawaan daripada Real Madrid tetapi karier saya merudum teruk di sana kerana saya tidak mampu memberikan sumbangan seperti apa yang telah saya sumbangkan kepada AC Milan. Saya betul-betul hilang punca ketika itu.”

“Pengurus Real Madrid ketika itu, Jose Mourinho merupakan pengurus yang sukar buat saya. Kami saling menghormati antara satu sama lain tetapi hubungan kami agak rumit. Apabila beliau mahu memberikan peluang kepada saya, saya gagal untuk meyakinkan beliau yang saya berada dalam kondisi yang baik.”

“Saya berlatih, saya berjuang, dan saya kerap berdoa, tetapi tanpa keyakinan jurulatih, saya sedar yang saya tidak boleh bekerjasama dengan Mourinho.”

5 gol sahaja dari Kaka dalam musim terakhirnya di Santiago Bernabeu

“Apabila Mourinho meninggalkan Real Madrid, saya berasa gembira apabila mengetahui Mourinho meletakkan saya sebagai antara pemain paling profesional beliau pernah bekerjasama sepanjang kariernya.”

Kaka bersara pada Disember tahun lalu pada usia 35 tahun selepas bermain di Major League Soccer selama dua musim bersama Orlando City.

Walaupun gagal mempamerkan prestasi yang cemerlang bersama Los Blancos, Kaka masih lagi mempunyai hubungan yang baik bersama pihak kelab dimana beliau telah diundang oleh Real Madrid untuk menghadiri majlis ketika Cristiano Ronaldo diumumkan sebagai pemenang Ballon d’Or buat kali ke-5.

BACA:  Jamie Carragher Percaya Chelsea Dan Man City Lebih Bagus Berbanding Real Madrid