“Kantoi Bodoh” – Kelab Nigeria Cetus Sensasi Atur Perlawanan Secara Terang-terangan

Salah sebuah kelab bola sepak di Nigeria ditangkap kerana mengatur perlawanan dalam sebuah pertandingan di negara tersebut.

Perlawanan akhir tersebut berlanjutan hingga ke aksi penentuan sepakan penalti dan ia dikatakan terlalu mencurigakan.

Remo Stars turun berdepan Ijebu United dalam aksi perlawanan akhir saingan Ogun State FA Cup 2022 dengan kedua-dua pasukan terikat 0-0 sepanjang 120 minit permainan berlangsung.

Ketika perlawanan berlangsung, sepertinya tidak nampak ada apa-apa hal yang begitu meragukan dari kedua-dua pasukan.

Walau bagaimanapun, ketika masuk ke aksi penentuan sepakan penalti, segalanya berubah dan ia dilihat seolah-olah perlawanan tersebut sudah ditetapkan.

Bukan hanya meragukan, namun tindakan mereka terlalu jelas menunjukkan yang perlawanan tersebut sudah diatur.

Sepakan penalti pertama dari Ijebu United antara yang paling mencurigakan kerana penjaga gol hanya berdiri seperti kayu mati melihat bola masuk ke gawang golnya.

Beliau langsung tidak bergerak dan seolah-olah pasrah sahaja melihat bola masuk menerjah jaring gawang golnya.

Walau hanya, ia tak seteruk dibandingkan dengan salah satu sepakan penalti yang diambil oleh Remo Stars, yang mana ia berjaya mencuri perhatian peminat seluruh dunia.

Pemain tersebut yang namanya tidak diketahui, tampil mahu mengambil sepakan seolah-olah hendak menjaringkan gol dari jarak 12 ela.

Walau bagaimanapun, beliau melepaskan rembatan padu ke arah tepi padang dan beliau lakukan itu jelas sekali dengan sengaja.

Kaki beliau sememangnya mengarahkan bola ke tepi padang, jauh dari gawang gol, namun reaksi beliau melihat bola itu meliar seolah-olah beliau sudah cuba yang terbaik.

Punya teruk lakonan dia, dah jelas sengaja sepak keluar, tapi berlakon acah sedih bola keluar.

Rakaman tersebut tular di media sosial dengan para peminat hangat membincangkan tentang hal tersebut.

Reaksi yang ditunjukkan oleh pemain dan tindakan yang beliau lakukan jelas sekali langsung tak seiringan.

Video para pemain dalam saingan bola sepak Nigeria yang dianggap mengatur perlawanan:

Gila kan? Betul-betul gila. Tindakan mereka boleh dianggap sebagai keterlaluan dan ia merupakan tindakan mengatur perlawanan paling teruk dalam sejarah dunia bola sepak.

Para peminat di media sosial turut menganggap yang pemain-pemain di negara Afrika memang tak pandai menutup salah laku mereka dan akan lakukannya secara terang-terangan.

“Kita tak nafikan mengatur perlawanan itu memang wujud, tapi jangan buat ia terlalu jelas. Kami bukan bodoh.”

“Pemain dari Afrika tak pernah lakukan hal macam ini dengan sempurna, tak perlu siasat pun, sangat jelas yang tindakan mereka itu salah.”

“Saya rasa budak kecil pun tahu dia sengaja sepak ke tepi, tapi kenapa dia bersungguh-sungguh menunjukkan dia kecewa?”

“Wow! Saya speechless, macam mana dia begitu yakin menunjukkan reaksi kecewa sedangkan dia sendiri sengaja menyepak bola keluar seperti itu.”

“Apa yang cuba dia lakukan sebenarnya? Dia nak kelirukan siapa? Terlalu jelas dia langsung tak berhasrat nak jaringkan gol. Kenapa dia nak kecewa?”

Penulis sukan, Ibukun Aluko yang memuat naik video tersebut di laman twitter itu telah mengesahkan yang beliau akan berusaha sehabis mampu untuk menemu bual kedua-dua pasukan tersebut.

Beliau mahu mengundang wakil dari kedua-dua pasukan ke The Hindsight Podcast miliknya untuk membincangkan tentang situasi yang berlaku.

“Saya mahu temu bual kelab yang terlibat dalam siri seterusnya podcast @TheHindsightPod, teruskan bersama saya.”

Sepertinya para peminat sudah tidak sabar mahu mengikuti podcast tersebut dan mahu mendengar sendiri dari wakil kedua-dua pemain tentang apa yang berlaku di atas padang.

Seboleh-bolehya para peminat mahukan pemain yang menyepak bola keluar dan menunjukkan reaksi kecewa teramat sangat itu yang ditemu bual, kerana mereka mahu tahu apa yang sebenarnya ada dalam fikirannya.

Sumber: SPORTbible

BACA:  Obi Mikel Hentam Croatia Kerana Rancang Rehatkan Pemain Dalam Aksi Terakhir Kumpulan