Obi Mikel Hentam Croatia Kerana Rancang Rehatkan Pemain Dalam Aksi Terakhir Kumpulan

Kapten Nigeria, John Obi Mikel menggesa Croatia supaya lebih profesional dan tidak merehatkan pemain utama apabila mereka turun menentang Iceland dalam aksi terakhir peringkat kumpulan D yang bakal berlangsung 27 Jun ini.

Croatia sudah menempah tempat mereka ke peringkat seterusnya selepas mencatatkan dua kemenangan dari dua perlawanan dan perlawanan seterusnya menentang Iceland boleh dianggap sebagai pelengkap jadual.

Croatia disaran menjadi gentle dan turunkan skuad terbaik.

Tetapi berlainan pula dengan nasib Nigeria yang memerlukan kemenangan atau seri apabila mereka turun menentang Argentina pada hari yang sama. Nigeria, Iceland dan Argentina masih lagi mempunyai peluang untuk layak sekiranya keputusan berpihak kepada mereka dalam aksi terakhir peringkat kumpulan.

Mikel sedar mereka bakal berhadapan skuad Argentina yang ‘terluka’ selepas dimalukan Croatia 3-0 kelmarin. Argentina perlu menangn dan Croatia harus menewaskan Iceland sekiranya naib juara Piala Dunia 2014 itu tidak mahu pulang awal.

Sekiranya Nigeria menang ke atas Argentina, tempat mereka ke pusingan kalah mati terjamin dan seandainya seri, Nigeria perlu berharap Iceland gagal memungut mata penuh menentang Croatia.

Jurulatih Croatia, Zlatko Dalic mahu rehatkan beberapa pemain utama bagi menjaga kecergasan pemainnya sebelum pusingan kalah mati bermula

Sebelum ini, jurulatih Croatia Zlatko Dalic berkata beliau mahu merehatkan beberapa pemain utama beliau bagi memastikan kecergasan mereka berada pada tahap yang terbaik apabila pusingan kalah mati bermula.

Walau bagaimanapun, kenyataan jurulatih Croatia tidak diterima baik Mikel yang mahu beliau menjadi profesional dan menurunkan skuad terkuatnya ketika menentang Iceland. Mikel juga berkata rancangan Dalic untuk merehatkan pemain utama merupakan tindakan yang kurang adil bagi pasukan lain yang bertanding.

“Saya tidak rasa ia keputusan terbaik untuk dilakukan. Ini merupakan kejohanan yang cukup besar – anda tidak boleh merehatkan pemain-pemain utama dan memberi pasukan lain peluang untuk layak ke pusingan seterusnya. Croatia harus lebih profesional dan menurunkan skuad terbaik.”

Nigeria dan Argentina bukanlah lawan yang asing di pentas Piala Dunia. Kedua-dua pasukan ini telah bertemu sebanyak 4 kali dari 5 edisi Piala Dunia yang terakhir. Menariknya, keempat-empat pertemuan berakhir dengan kemenangan berpihak kepada Argentina.

Ahmed Musa hero Nigeria ketika menentang Iceland. Jika anda peminat FIFA, sudah tentu anda tahu betapa lajunya pelesit ini

Walau bagaimanapun, jika dilihat dari prestasi hambar yang dipamerkan skuad Amerika Latin itu ketika ini, Nigeria mempunyai peluang yang baik untuk menamatkan ‘sumpahan’ tersebut seterusnya menempah tempat mereka di pusingan kalah mati.

Mikel sedar dengan perkara tersebut tetapi mengakui Argentina masih lagi pasukan yang hebat dan menewaskan mereka bukan satu tugas yang mudah.

“Saya rasa Argentina bermain agak baik. Ia bakal menjadi perlawanan yang sukar untuk kami.”

Perlawanan di antara Nigeria dan Argentina bakal berlangsung pada waktu yang sama dengan satu lagi perlawanan kumpulan D menemukan Iceland dan Croatia.

BACA:  Piala Dunia 2022: Jepun 1-1 Croatia (Penalti 1-3)