Piala Dunia 2022: Jepun 1-1 Croatia (Penalti 1-3)

Jepun Croatia

Finalis Piala Dunia 2018, Croatia meneruskan cabaran mereka di Piala Dunia 2022 untuk mara sejauh mungkin di mana pasukan dari Asia, Jepun menanti mereka di pusingan 16.

Di atas kertas Jepun bolehlah dianggap sebagai makanan tetapi setakat ini, Jepun telah melibas dua gergasi Eropah iaitu Jerman dan Sepanyol untuk menjadi juara kumpulan.

Semangat Samurai Biru yang meresap ke jiwa pemain Jepun menjadikan mereka bermain dengan penuh semangat dan mampu mencipta sesuatu yang tak dijangka.

Kualiti pemain Croatia tidaklah segah Sepanyol dan Jerman namun jelas lebih berkualiti dari pasukan Jepun dan mampukah mereka memadamkan semangat melawan Jepun ini?

Stadium Al Janoub akan menjadi medan pertempuran dua pasukan ini dan pemenang akan ke suku akhir untuk bertemu Brazil atau Korea Selatan.

Jepun terus mengasak dari awal permainan dan peluang mereka hadir seawal minit kedua melalui tandukan dari Shogo Taniguchi hasil umpanan Wataru Endo.

Tomiyasu telah melakukan kesilapan besar selepas mengutip bola sepakan gol Dominik Livakovic dan cuba membuat satu hantaran lemah kepada Shuichi Gonda.

Ivan Perisic berjaya merampas dan dalam situasi satu lawan satu gagal menunjukkan sentuhan penyudah. Peluang terbaik disia-siakan.

Daizen Maeda gagal menyambar untuk menolak masuk bola di tiang pertama dan Yuto Nagatomo cuba menjolok ditiang kedua namun Croatia berjaya mengeluarkan bola dari kawasan bahaya.

Jepun mempamerkan permainan penuh berani dengan bermain di tight area dan Croatia memilih bermain dengan selamat dengan cara yang lebih tenang.

Berpunca dari sepakan percuma yang gagal dari Modric, Jepun melakukan serangan balas pantas dan sempat bertukar hantaran dalam kotak Croatia.

Namun percubaan Daichi Kamada sangat jauh dari sasaran dan berselang selepas itu Jepun berada di depan.

Daizen Maeda membuka jaringan dengan satu rembatan jarak dekat dan VAR meneliti gol itu kalau-kalau ada unsur offside sebelum gol disahkan.

Daizen Maeda baru sahaja menjaringkan gol pertamanya dalam perlawanan kompetitif untuk Jepun.

Seperti beberapa permainan yang lepas 5 minit terakhir sebelum tamat 45 minit pertama menjadi sangat menarik dan pasti ada gol dijaringkan.

Begitu juga dengan perlawanan Jepun vs Croatia, pada minit ke-43 Jepun mendahului dan kedudukan kekal hingga rehat.

Sepuluh minit separuh masa kedua bersambung, Croatia berjaya menyamakan kembali kedudukan dengan satu sundulan yang sangat jahat mencari sudut bawah.

Gol berpunca dari hantaran sesedap rasa penuh umami dari Dejan Lovren yang menemui kepala Ivan Perisic. Boleh tahan jauh tanduk.

Wataru Endo membalas dengan satu rembatan yang sedikit melepasi palang dan Ivan Perisic sekali lagi datang tapi belum sempat merembat bola dirampas.

Ivan Perisic menjadi pemain keempat yang merekod jaringan di dalam tiga Piala Dunia terakhir untuk berada sebaris bersama Cristiano Ronaldo, Lionel Messi dan Xherdan Shaqiri.

Luka Modric akhirnya berjaya membuat satu rembatan lencong tak lencong lambung tak lambung yang pastinya jahat tetapi ditepis Shuichi Gonda.

Ante Budimir yang masuk menggantikan Bruno Petkovic pada minit ke-62 mensia-siakan peluang 4 minit kemudian dengan tandukan tersasar tanpa dicabar.

Rembatan kencang Ivan Perisic berjaya dikuis sedikit Tomiyasu dan memesongkan sedikit arah pergerakan bola menjauhi sedikit dari gawang.

Separuh masa kedua menjadi milik Croatia dengan beberapa peluang jahat lagi mengancam tapi mereka hanya mampu mengikat kedudukan sahaja dengan permainan berbaki tiga minit.

Perlawanan dibawa ke masa tambahan selepas kedudukan masih lagi terikat 1-1 dan ini merupakan masa tambahan pertama di Piala Dunia 2022 di peringkat kalah mati.

Kaoru Mitoma melakukan satu rembatan jarak jauh namun laluan bola tepat ke arah penjaga gol Croatia yang terus menepis ke atas tindakan susulan Endo tersangkut.

Croatia mendapat peluang terakhir di penghujung perlawanan dan tiada gol tambahan maka perlawanan dibawa pula kepenentuan sepakan penalti.

Takumi Minamino membuat sepakan pertama tetapi gagal selepas diselamatkan Dominik Livakovic, Nikola Vlasic meletakkan Croatia di depan.

Tekanan teruk buat Jepun Kaoru Mitoma juga gagal dan Marcelo Brozovic meletakkan Croatia 2 gol di depan.

Takuma Asano akhirnya menjadi pemain Jepun paling pandai sepak penalti dan Marko Livaja memberi harapan kepada Jepun selepas gagal disepakan ketiga.

Hatrik penalti save dari Dominik Livakovic menepis sepakan Maya Yoshida dan Mario Pasalic mengesahkan kemaraan Croatia ke suku akhir dengan kedudukan 3-1.

Kesebelasan Utama Jepun vs Croatia

Japan (3-4-3): Gonda; Tomiyasu, Yoshida, Taniguchi; Ito, Morita, Junya, Nagatomo; Doan, Maeda, Kamada. Subs: Kawashima, Mitoma, Saai, Hato, Schmidt, Minamino, Machino, Yamane, Tanaka, Ueda, Shibasaki, Asano, Soma.

Croatia (4-3-3): Livakovic; Juranovic, Lovren, Gvardiol, Barisic; Brozovic, Kovacic, Modric; Petkovic, Kramaric, Perisic. Subs: Grbic, Ivusic, Erlic, Majer, Vlasic, Livaja, Pasalic, Budimir, Orsic, Vida, Sutalo, Sucic, Jakic.

Referee: Ismail Elfath (USA)

Perjalanan Jepun ke Pusingan 16:

Jepun berada dalam kumpulan E bersama gergasi Eropah, Jerman, Sepanyol dan Costa Rica. Jepun bangkit mencipta kejutan sensasi dan terbesar ketika menewaskan Jerman dan Sepanyol untuk menjadi juara kumpulan.

1. Jerman 1-2 Jepun
2. Jepun 0-1 Costa Rica
3. Jepun 2-1 Sepanyol

Perjalanan Croatia ke Pusingan 16:

Croatia telah diundi berada dalam kumpulan F yang turut dihuni oleh Morocco, Kanada dan Belgium. Croatia mencatatkan satu kemenangan dan dua seri untuk mengiringi Morocco selaku naib juara kumpulan.

1. Morocco 0-0 Croatia
2. Croatia 4-1 Kanada
3. Croatia 0-0 Belgium

BACA:ย  Piala Dunia 2022: Maghribi 0-0 Croatia