Kelakuan Penuh Beradab Messi Dan Neymar Minta Izin Tinggalkan Bench

Kelakuan penuh beradab lagi sopan yang telah dipamerkan oleh Lionel Messi dan Neymar dengan meminta izin untuk meninggalkan bangku simpanan (bench) untuk ke bilik persalinan mendapat pujian ramai.

Sudah pasti kesopanan yang ditunjukkan oleh Lionel Messi dan Neymar ini dikaitkan dengan kontroversi terbaharu yang dicetuskan oleh Cristiano Ronaldo.

Neymar dan Messi dikeluarkan oleh pengurus PSG Christophe Galtier pada separuh masa kedua ketika pasukan mereka menumpaskan Auxerre 5-0 pada Ahad.

Messi dan Neymar bersedia untuk mewakili Argentina dan Brazil masing-masing pada Piala Dunia akan datang, dengan kedua-dua negara itu dilihat secara meluas sebagai dua pilihan kegemaran untuk memenangi pertandingan itu.

Satu rakaman telah tersebar memaparkan duo PSG itu yang duduk di bangku simpanan bersama rakan sepasukan Sergio Ramos dan beberapa pemain yang lain.

Tiba-tiba dengan sopan Neymar kelihatan mengangkat tangan memberi isyarat ke arah Christophe Galtier meminta keizinan.

Permintaan Neymar dan Messi mendapat kelulusan daripada bos PSG untuk meninggalkan tempat mereka di bangku simpanan dan menuju ke bilik persalinan.

Peminat pantas menunjukkan perbezaan antara profesionalisme Neymar dan Messi berbanding Ronaldo, yang telah dikritik kerana tantrumnya di Old Trafford.

Ronaldo, 37, pada Oktober dibidas kerana meninggalkan Old Trafford sebelum wisel sepenuh masa ketika United menang 2-0 ke atas Tottenham dalam Liga Perdana Inggeris.

Dan pemenang Ballon d’Or lima kali itu telah mencetuskan kontroversi selepas melancarkan kritikan pedas terhadap United dalam wawancara dengan Piers Morgan.

Satu perbandingan yang boleh dijadikan tauladan bukan sahaja buat Ronaldo malahan untuk semua insan. Sopan santun, hormat menghormati akan menghasilkan keharmonian.

Sebelum jauh terbang video ini dibandingkan dengan kelakuan tak semengah Ronaldo, sikap ini sepatutnya dicontohi oleh Kylian Mbappe terlebih dahulu.

Persamaan antara Kylian Mbappe dan Ronaldo adalah mereka merasakan diri sendiri lebih hebat dan besar daripada kelab.

Lantaran itulah mereka merasakan mereka boleh melakukan apa saja melangkaui semua orang termasuk pengurus yang dilantik untuk memimpin dan membimbing pasukan.

Jika diikutkan perangai Mbappe jauh lebih teruk berbanding Ronaldo kerana usianya masih muda tetapi perangai buruk bebenor. Budak-budak diberi kuasa.

Mbappe sebelum ini pernah menganjing Christophe Galtier di media sosial sebelum memadamnya kerana tidak berpuas hati dengan taktikal pengurus PSG itu.

Dari situ Kylian Mbappe dilaporkan mahu meninggalkan Paris Saint-Germain hanya beberapa bulan selepas menandatangani kontrak baharu yang mega.

Mbappe merasakan PSG telah “mengkhianati” dia dan laporan itu mendakwa satu-satunya kelab yang mereka akan membenarkan penyerang itu menyertainya ialah Liverpool, bukan Real Madrid.

Legenda Perancis, Thierry Henry menyatakan semua memahami Kylian Mbappe tidak sukakan peranan barunya dan itu perkara normal namun tiada sesiapa yang lebih besar dari kelab termasuklah Mbappe.

Bola sepak adalah permainan berpasukan dan pengurus adalah bos yang mencaturkan pemain untuk meraih kemenangan dan arahan pengurus harus ditunaikan untuk kebaikan pasukan.

Persamaan ketidakpuasan hati Ronaldo dan Mbappe adalah mereka merasakan bahawa mereka telah dikhianati oleh kelab yang tidak memenuhi kemahuan mereka.

Perkara ini mungkin hanya satu kebetulan namun Cristiano Ronaldo merupakan idola kepada Mbappe maka tidak hairanlah jika Mbappe mengikut perangai Ronaldo.

Tindakan dari kedua-dua pemain ini telah menimbulkan ketidakharmonian di bilik persalinan dan mujur tidak ke tahap berantakan kerana Ronaldo serta Mbappe tiada sokongan kuat.

BACA:  Laporta Akui Tidak Bercakap Dengan Messi Sejak Pemain Itu Pilih Inter Miami