Kemenangan 4-1 Brazil vs Korea Selatan Satu Tribute Indah Kepada Pele

Kemenangan penuh bergaya 4-1 Brazil menentang Korea Selatan di pusingan 16 terakhir telah dijadikan satu tribute indah skuad samba buat legenda mereka, Pele.

Brazil mengeluarkan sepanduk yang tertera nama Pele dalam isyarat menyentuh hati berikutan selepas mengesahkan kemaraan mereka ke suku akhir bertemu Croatia.

Neymar telah membawa masuk sepanduk sebagai tanda sokongan kepada Pele yang masih menerima rawatan di hospital.

Legenda Brazil berusia 82 tahun itu dimasukkan ke hospital untuk merawat jangkitan pernafasan yang diburukkan oleh jangkitan Covid.

Pele pasti akan menonton perlawanan itu dari katil hospitalnya, dengan pasukan kebangsaan menzahirkan sokongan mereka kepada pemenang Piala Dunia tiga kali itu.

Pemain Brazil mengangkat sepanduk di atas padang untuk menunjukkan sokongan kepada Pele dan mendoakan legenda mereka sembuh kembali.

Brazil meneruskan usaha mereka di Qatar pada hari Jumaat apabila mereka menentang Croatia untuk mendapatkan tempat di separuh akhir.

Peminat Brazil di stadium 974 turut mendoakan kesihatan Pele dengan membawa sepanduk gergasi yang tertera wajah pemain legenda itu dengan ucapan.

“Semoga cepat sembuh.”

Brazil 4-1 Korea Selatan

Pasukan pilihan utama yang diangkat dan disebut-sebut sebagai calon juara Piala Dunia 2022, Brazil turun menentang Korea Selatan yang membawa harapan terakhir Asia.

Brazil merupakan pasukan serba lengkap dari segenap segi, kualiti pemain, aspek taktikal juga teknikal yang jauh lebih bagus berbanding Korea Selatan.

Lantaran itulah Sepanyol dituduh sengaja tewas kepada Jepun untuk mengelakkan dari bertemu Brazil di pusingan 16.

Walaupun Luis Enrique menafikan tuduhan itu namun seperti ada kebenarannya juga, mereka hanya akan bertemu Brazil di final.

Neymar membuat kepulangan kembali selepas terlepas dua perlawanan apabila mengalami kecederaan buku lali yang agak teruk dalam perlawanan pembukaan.

Pada minit ke-7 Raphinha melakukan satu hantaran leret ke kotak Korea Selatan dan semua pemain yang datang berebut terlepas bola hantaran tersebut.

Vinicius Jr yang langsung tidak dikawal menerima bola dan menggunakan ruang serta peluang sebaiknya dengan satu rembatan ke tinggi melepasi jangkauan semua.

Selepas mendapat sepakan percuma yang tiada hasil, Brazil mendapat sepakan penalti selepas kaki Richarlison yang datang dari belakang disepak Woo-Young Jung.

Neymar mengambil tanggungjawab untuk melakukan satu sepakan penalti yang jahat leret penuh meleleh yang membuatkan penjaga gol Korea, Kim Seung Gyu terpaku.

Selepas 10 minit Brazil telah mendahului 2-0. Adakah Brazil akan berpesta gol?

Hwang Hee-chan mencuba dari jauh dengan rembatan boleh tahan jahat, menggelupur juga untuk Alisson Becker membuat tepisan keluar.

Richarlison membuat satu aksi gila mengawal bola dengan menimang bola beberapa kali dengan kepala sebelum menggunakan kaki pula.

Bola dihantar kepada Rapinha yang menolak kepada Casemiro yang melakukan lorongan cantik mencari larian Richarlison.

Satu penyudah yang padu dipamerkan Richarlison yang hanya berdepan dengan Kim Seung Gyu yang telah tewas buat kali ketiga dalam tempoh 30 minit.

Brazil membuktikan jurang perbezaan yang sangat ketara antara mereka dan Korea Selatan dari segenap sudut.

Richarlison memulakan gerakan dari tengah dengan menghantar bola kepada Neymar yang terus mencari Vinicius Jr. di sebelah kiri.

Satu sungkitan cantik dilakukan Vinicius Jr mencari Lucas Paqueta untuk gol keempat Brazil yang sudah mengesahkan tempat mereka ke suku akhir.

Sedikit tamak dari Richarlison yang memilih untuk mencuba sendiri menyebabkan gol kelima tidak hadir ketika Neymar dalam posisi lebih baik untuk membuat satu tolakan mudah.

Kejahatan menjadi-jadi sehingga tamat separuh masa pertama dan kelegaan buat Korea Selatan hanya empat gol sahaja terhasil.

Rapinha pula tamak bersambung perlawanan apabila mahu mencuba sendiri dengan satu percubaan lemah dan Korea Selatan melakukan percubaan yang gagal.

Beberapa peluang Rapinha hadirkan namun gagal disudahkan dan Seung-Ho Paik berjaya memecahkan kebuntuan untuk gol saguhati Korea Selatan.

Padu nak mati rembatan Seung-Ho Paik dari jarak jauh berkelajuan lebih 50km sejam gagal untuk diselamatkan Alisson Becker.

Baki 45 minit permainan dimainkan dengan penuh santai oleh Brazil tidak mahu membazirkan tenaga, Dani Alves masuk menggantikan Eder Militao.

Penjaga gol ketiga, Weverton mendapat minit permainan menggantikan Alisson Becker, Dani Alves hampir menjaringkan gol melalui aksi akrobatik tetapi dihadang.

Empat gol separuh masa pertama sudah cukup untuk membawa Brazil ke suku akhir bertemu Croatia. Maruah Korea Selatan juga perlu dijaga takkan nak belasah teruk-teruk.

Brazil kini telah menggunakan kesemua 26 ahli skuad mereka pada Piala Dunia 2022 (termasuk tiga penjaga gol), menjadi pasukan pertama dalam sejarah Piala Dunia yang menggunakan seramai 26 pemain dalam satu edisi.

Kesebelasan utama Brazil vs Korea Selatan

Kesebelasan Utama Brazil : Alisson, Eder Militao, Marquinhos, Thiago Silva, Danilo, Casemiro, Lucas Paqueta, Raphinha, Neymar, Vinicius Junior, Richarlison.

Pemain Simpanan : Fred, Weverton, Dani Alves, Fabinho, Bruno Guimaraes, Antony, Rodrygo, Everton Ribeiro, Ederson, Bremer, Pedro, Martinelli.

Kesebelasan Utama Korea Selatan: Kim Seung-gyu, Kim Moon-hwan, Kim Min-jae, Kim Young-gwon, Kim Jin-su, Lee Jae-sung, Jung Woo-young, Jeong Woo-yeong, Hwang In-beom, Son Heung-min (captain), Hwang Hee-chan, Cho Gue-sung.

Pemain Simpanan : Yoon, Paik, Song Bum-keun, Son Jun-ho, Hong, Hwang Eui-jo, Na, Lee Kang-in, Kwon Kyung-won, Jo, Kwon Chang-hoon, Kim Tae-hwan, Cho Yu-min, Jeong, Song Min-kyu.

Pengadil Perlawanan : Clement Turpin (Perancis).

Perjalanan Brazil ke Pusingan 16:

Brazil berada dalam kumpulan G bersama Serbia, Switzerland dan Cameroon. Selepas dua perlawanan Brazil mengesahkan tempat ke pusingan 16 terakhir sebelum tewas kepada Cameroon.

1. Brazil 2-0 Serbia
2. Brazil 1-0 Switzerland
3. Cameroon 1-0 Brazil

Perjalanan Korea Selatan ke Pusingan 16:

Korea Selatan telah diundi berada dalam kumpulan H yang turut dihuni oleh Portugal, Ghana dan Uruguay. Korea Selatan mengejutkan Portugal di perlawanan terakhir kumpulan untuk layak.

1. Uruguay 0-0 Korea Selatan
2. Korea Selatan 2-3 Ghana
3. Korea Selatan 2-1 Portugal

BACA:  Tite Letak Jawatan Serta Merta Selepas Brazil Tersingkir Di Kaki Croatia