Kenapa Tiada Pasukan Great Britain Bermain di Euro?

Setiap empat tahun, seluruh dunia akan disajikan dengan aksi bola sepak yang dimainkan hanya oleh negara-negara Eropah, menerusi satu kejohanan yang dipanggil Kejohanan Eropah, atau lebih mudah dipanggil Euro. Walaupun hanya disertai oleh pasukan Eropah, aura kejohanan ini dirasai seluruh dunia termasuk Sungai Petani.

Mesti pelik kenapa negara Eropah yang main, tapi satu dunia yang layan?

Soalan ini mempunyai dua jawapan. Pertama, orang Eropah sentiasa dipandang tinggi, jadi apa sahaja yang mereka lakukan mesti akan dipandang dan diangkat satu dunia.

Kedua, bola sepak adalah sukan yang paling popular di atas muka bumi dunia yang fana ini dan sukan ini dikatakan berasal dari Eropah, atau lebih spesifik lagi – England.

Ya, Brazil cakap bola sepak berasal dari mereka, China pun cakap bola sepak berasal dari sana, malah India juga tidak ketinggalan.

Tetapi, memandangkan England pernah menguasai satu dunia suatu masa dahulu, jadi merekalah yang mengaku sebagai pencetus ummah bola sepak. Untuk maklumat lanjut pasal sejarah asal usul bola sepak ni, sila rujuk laman web FIFA untuk mengetahui asal-usul bola sepak secara rasmi.

Kalau baca di sini nanti ada banyak teori konspirasi. Sesat pemikiran korang nanti.

Jadi, memandangkan bola sepak ni dikatakan mula dimainkan di England, maka bertebaranlah umat manusia di sana bermain bola sepak, mengikut selera tekak dan hawa nafsu masing-masing.

Pada tahun 1860-an, peraturan asas mula digunakan untuk mengawal permainan dan kekasaran pemain di padang. Tetapi, boleh dikatakan setiap kelab yang ada membuat peraturan mereka sendiri.

Peraturan bola sepak 1863. Gambar : The18

Kau bayangkan, contohnya orang Muar dan Pasir Salak bermain bola dengan peraturan sendiri. Orang Muar buat undang-undang bahawa pemain selain penjaga gol boleh memegang bola asalkan tidak sengaja, manakala peraturan Pasir Salak pula menyatakan bola sepak hanya boleh dimainkan dengan kepala.

Kalau kedua-dua pasukan ini bertemu, kau rasa peraturan mana yang akan digunapakai? Mesti bertikam lidah, kan?

Masalah ini akhirnya selesai sebahagiannya pada 1863 apabila 12 kelab dari London bertemu duduk semeja dan kerusi lain-lain bagi membincangkan peraturan umum ketika perlawanan, lantas mengeluarkan draf peraturan yang diberi nama The Rules of Association Football.

Kelab-kelab tersebut kemudiannya bersepakat untuk mewujudkan badan pentadbiran yang dipanggil Football Association(FA) bagi mengawalselia perlawanan.

Tahu tak di mana mesyuarat penubuhan FA ni? Freemason’s Tavern.

Nampak tak bola sepak ni agenda siapa sebenarnya?

Freemson’s Tavern, London. Gambar : Moneyweek

Senarai 12 kelab ini adalah;

Accrington FC
Aston Villa FC
Blackburn Rovers FC
Bolton Wanderers FC
Burnley FC
Derby County FC
Everton FC
Notts County FC
Preston North End FC
Stoke City FC
West Bromwich Albion FC
Wolverhampton Wanderers FC

Pasti ada yang tertanya, kenapa tidak dinamakan England FA? Jawapannya adalah Football Assocition merujuk khas kepada kaedah bola sepak yang dimainkan seperti mana yang kita main pada hari ini dan membezakan sukan ini daripada ragbi, yang dipanggil bola sepak juga di sana – rugby football.

Lagi pula, mereka tak terfikir pun akan wujud FA dari negara lain. Jadi mereka gunalah nama The FA, atau FA Itu.

Jadi, setelah penubuhan The FA, mereka agak keliru dengan skop kawalan The FA, adakah kuasa mereka sekadar di England? Atau di seluruh Great Britain? Atau menganjak ke United Kingdom? Atau ke seluruh tanah jajahan England yang lain seperti Persekutuan Tanah Melayu?

Formasi bola sepak yang dalam tulisan Jawi.

Dalam kekalutan mereka mancari jawapan, soalan ini terjawab apabila jiran England, Scotland menubuhkan Scottish FA pada tahun 1873 selepas perlawanan wakil Scotland menentang wakil England pada tahun 1872.

Kemudian Wales pula menubuhkan Welsh FA pada tahun 1876 dan Ireland (sebelum berpecah kepada Ireland Utara dan Republik Ireland) menubuhkan Irish FA pada 1880.

Setelah setiap negara menubuhkan FA masing-maing, mereka bersepakat untuk menggelarkan keempat-empat FA ini sebagai ‘Home Nations’.

Pada 1886, Home Nations ini telah bersepakat untuk menubuhkan International Football Association Board (IFAB) – satu badan yang akan menguruskan perlawanan antara keempat-empat negara ini.

Pada tahun-tahun berikutnya sukan bola sepak menjadi semakin popular dan negara seperti Belgium mula menubuhkan FA mereka pada 1875, Jerman (1900) dan Switzerland (1904).

Pada  21 Mei 1904, Persekutuan Persatuan Bola Sepak Antarabangsa(FIFA) ditubuhkan hasil kata sepakat tujuh negara; Belgium, Switzerland, Sepanyol, Perancis, Belanda, Denmark dan Sweden.

Menariknya pada waktu itu sebenarnya negara seperti Perancis dan Sepanyol masih belum mempunyai FA mereka sendiri dan masing-masing diwakili oleh Persatuan Sukan Seluruh Perancis dan Kelab Bola Sepak Madrid.

Lama-kelamaan, pengaruh FIFA semakin kuat dengan penyertaan negara-negara lain di seluruh eropah dan membiak ke serata dunia.

Pada 1913, Home Nations bersepakat untuk menyertai FIFA dan pada masa yang sama FIFA menyertai IFAB. Sejak hari itu IFAB dikenali sebagai badan yang menyelia dan mengawal peraturan bola sepak (Law of the Games).

Secara mudahnya, Home Nations adalah sebahagian dari FIFA, dan FIFA adalah sebahagian dari IFAB, yang mengandungi Home Nations. Pening?

Kalau pening, buka buku Matematik Tingkatan 3, belajar balik tajuk set. Tengok balik set universal dengan subset.

Set, tau! Bukan benda lain!

Pada tahun 1921, satu peristiwa besar berlaku di mana negara Ireland berpecah dua kepada Republik Ireland dan Ireland Utara lantas berlakunya konflik tentang berkenaan siapa pemilik IFA dan seterusnya mendapat hak untuk duduk bersama Home Nations yang lain.

Selepas 2 tahun, IFAB dan FIFA bermuafakat untuk menentukan IFA adalah milik Ireland Utara, memandangkan Ireland Utara masih menjadi tanah jajahan Great Britain dan Republik Ireland menubuhkan Football Association of Ireland (FAI) sekaligus hilang hak taraf Home Nations.

Pada 1928 satu lagi sejarah besar berlaku apabila Home Nations secara rasminya telah keluar dari FIFA kerana angkuh dan bongkak dan menyangka mereka adalah boss besar. Sebab itu juga lah kita tidak nampak pasukan dari Home Nations dalam edisi-edisi awal Piala Dunia.

Walaubagaimanapun pada tahun 1946, kira-kira 18 tahun kemudian Home Nations kembali menyertai FIFA dan sepanjang tempoh merajuk, mereka telah terlepas tiga kali Piala Dunia pada tahun 1930, 1934 dan 1938.

Selepas itu, pernah timbul cadangan untuk membentuk pasukan bola sepak Great Britain (termasuk Ireland Utara) untuk menaikkan peluang mereka memenangi Piala Dunia atau Kejohanan Eropah.

Akan tetapi, cadangan ini mendapat tentangan pelbagai pihak di kalangan Home Natios. Ini kerana idea ini mampu menguburkan keempat-empat FA, lantas mereka akan hilang kuasa di dalam IFAB.

Walaupun tiada Great Britain FA, pasukan Great Britain pernah juga diwujudkan terutamanya dalam sukan Olimpik. Kali terakhir pasukan ini wujud adalah dalam Sukan Olimpik edisi 2012, di mana negara tersebut bertindak sebagai tuan rumah.

Walaupun namanya Great Britain, pengurusan pasukan ini dilakukan sepenuhnya oleh pihak England. Sebahagian besar pemain juga adalah pemain berdarah England, kecuali 5 pemain berdarah Wales – Ryan Giggs, Craig Bellamy, Aaron Ramsey, Joe Allen dan Neil Taylor.

Pasukan yang dikendalikan Stuart Pierce ini sekadar mampu layak sehingga ke peringkat suku akhir, ditendang keluar oleh Korea Selatan, yang kemudiannya mendapat pingat gangsa selepas menewaskan seteru utama merangkap jiran mereka, Jepun.

Jadi, memandangkan tiada Great Britain FA, maka tiadalah pasukan Great Britain di Euro!

BACA:  Mourinho: England Patut Rasa Optimis Dengan Masa Depan Walaupun Gagal Ke Final