Keputusan Hotel Di Qatar Tolak Geng ‘Kunyit’ Cetus Kemarahan FIFA

FIFA tampil mengugut mahu membatalkan kontrak hotel untuk Piala Dunia di Qatar andai mereka terus mendiskriminasi golongan ‘kunyit’.

Kenyataan dari FIFA itu dikeluarkan selepas satu siasatan yang mendedahkan bahawa ada hotel di Qatar tak membenarkan pasangan sejenis untuk tinggal bersama di hotel mereka.

Perhubungan sejenis sememangnya diharamkan di Qatar dan mereka yang melakukan kesalahan itu boleh dikenakan hukuman penjara lebih dari tujuh tahun.

Menurut Amnesty International, perhubungan sejenis merupakan satu jenayah di Qatar dan kerana itulah hukuman untuk mereka juga sangat berat.

Ketika Qatar diumumkan sebagai tuan rumah Piala Dunia, ramai pihak yang tampil menghentam mereka kerana tidak menjaga hak asasi kemanusiaan.

Mereka dilaporkan terlebih mengerah buruh asing dan layanan mereka terhadap golongan ‘kunyit’ itu juga turut dihentam.

Korang faham-faham sendiri lah golongan ‘kunyit’ tu apa ya, tulis penuh nanti bahaya.

Menjelang sepak mula Piala Dunia pada November nanti, sepertinya semakin ramai yang tampil menghentam Qatar kerana dianggap mendiskriminasi golongan ‘kunyit’.

Presiden FIFA, Gianni Infantino tampil mendedahkan yang semua peminat berhak untuk datang dan turut mempertahankan hak golongan ‘kunyit’ untuk turut sama menyaksikan pertandingan tersebut.

Walau bagaimanapun, satu siasatan telah dijalankan yang mana ia dikelolakan oleh NRK dan SVT di Sweden dan DR di Denmark, mereka mendapati bahawa ada 3 hotel di Qatar yang menolak untuk menerima tempahan dari pasangan ‘kunyit’.

Salah satu dari tiga hotel itu bahkan turut menegaskan yang polisi mereka sememangnya telah menetapkan yang golongan tersebut tak dibenarkan untuk membuat tempahan.

Siasatan tersebut turut mendapati yang ada 21 hotel lain telah menasihati pasangan sejenis ini supaya ubah perangai mereka untuk mengelak dari pengatahuan masyarakat.

Ada juga hotel yang mengharamkan sama sekali lelaki berpenampilan seperti wanita atau lelaki lembut untuk tinggal di hotel mereka sepanjang aksi Piala Dunia nanti.

Dari 33 hotel yang disenaraikan boleh menerima tempahan dari pasangan lelaki sepanjang aksi Piala Dunia ini, satu pertiga dari mereka sebenarnya sama sekali tidak membenarkan hal tersebut.

Ada juga yang membenarkan untuk pasangan lelaki menempah bilik hotel mereka, namun mereka tetap mencurigai andai ada pasangan ‘kunyit’ antara mereka.

Menurut sumber laporan dari Daily Mail, FIFA telah mengadakan rundingan tergempar dengan kerajaan Qatar untuk membincangkan tentang hal tersebut.

Sebaik siasatan tentang hal itu berjalan, wakil FIFA dengan segera menghubungi pihak kerajaan Qatar dan mahu berunding agar masalah tersebut segera diselesaikan.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh FIFA, mereka menegaskan yang semua hotel yang disenaraikan perlu patuh dan akur kepada syarat yang telah mereka tetapkan.

Hal ini kerana FIFA telah menetapkan syarat yang semua orang dibenarkan untuk jadi tetamu dan tak akan ada diskriminasi terhadap golongan tertentu.

“Hotel, dan juga semua pembekal perkhidmatan sepanjang penganjuran Piala Dunia, yang mana sesiapa yang gagal untuk memenuhi standard yang telah ditetapkan oleh FIFA maka kontrak mereka akan dibatalkan.”

Tulis kenyataan dari FIFA menurut The Telegraph.

“Selain itu, segala keperluan tersebut akan terus diperkukuhkan lagi dalam usaha untuk meningkatkan kesedaran dan seterusnya akan dipantau dan dinilai melalui audit serta pemeriksaan di hotel yang dikaitkan dengan FIFA World Cup.”

Jurucakap penganjur Piala Dunia Qatar telah mendedahkan kepada Daily Mail bahawa:

“Semua orang dijemput di Qatar, tidak kira apa bangsa, latar belakang, agama, jantina, pilihan seks atau kewarganegaraan.”

“Semua peminat patut rasa dihargai dan tidak ada masalah untuk membuat sebarang tempahan dengan pengatahuan yang kehidupan peribadi mereka yang tinggal atau melawat Qatar akan sentiasa dihormati.”

“Qatar merupakan sebuah negara konservatif dan contoh kepada masyarakat tentang cerminan kasih sayang di seluruh negara tidak kira apa orientasi seks mereka.”

“Kami selalu meminta orang ramai agar menghormati budaya kami, tapi kami juga sangat menghormati budaya peribadi setiap individu di Qatar.”

Pengurus England, Gareth Southgate sebelum ini telah menyatakan yang agak memalukan andai ada penyokong The Three Liones yang tak dapat berkunjung ke Qatar untuk menyaksikan Piala Dunia.

Southgate turut mendedahkan yang tidak ada mana-mana pemain dalam skuadnya yang berpuas hati dengan isu dan situasi yang berlaku menjelang bermulanya pertandingan ini.

Walau bagaimanapun, komen beliau itu kemudiannya telah dihentam oleh Nasser Al Khater yang turut memberi amaran kepada Southgate supaya berhati-hati dalam memilih kata-kata.

“Soalan saya adalah, siapa dari skuad England yang pernah berada di Qatar? Soalan saya kepada jurulatih adalah, adakah dia sendiri pernah berada di Qatar?”

Soal Al Khater kepada Sky Sports News.

“Adakah dia meluahkan pandangan dan kenyataan umum dia itu berdasarkan apa dia baca? Kerana ia memang ada masalah ketika kamu hanya cakap berdasarkan pandangan yang kamu tak tahu dan kamu hanya baca.”

“Seseorang yang sangat berpengaruh seperti Southgate, seseorang yang bila dia bercakap akan ramai yang dengar, dia sebenarnya perlu memilih kata-kata dengan baik sebelum bercakap.”

Sumber: SPORTbible

BACA:  Pembahagian Slot Baru Piala Dunia 2026 Mengikut Konfiderasi Bola Sepak Benua