Kisah Ajaib 5 Pasukan Yang Terselamat Daripada Diturunkan Liga

Kesemua pasukan yang bermain di mana-mana liga pasti tidak mahu tersingkir ke liga divisyen dua negara masing-masing kerana faktor pulangan kewangan yang tidak menguntungkan di samping tidak glamour, dan malu kepada jiran tetangga nanti.

Untuk mengelakkan daripada tersingkir, Mungkin kisah lima pasukan ini boleh dijadikan bekalan motivasi dan pembekal semangat buat mereka untuk terus berjuang sehingga ke titisan peluh yang terakhir.

Leicester City 2014-15

Musim tersebut musim pertama mereka kembali ke Liga Perdana Inggeris setelah sekian lama merengkok di penjara divisyen dua.

Menjelang hujung bulan Mac 2015, Leicester terperuk di dasar liga meskipun berjaya membelasah Manchester United pada awal musim.

Mengikut cerita-cerita lama, biasanya pasukan yang berada di posisi ini memang akan terkeluar daripada EPL.

Namun, berbekalkan semangat juang yang ditanam oleh Nigel Pearson, Jamie Vardy menjaringkan gol demi gol di samping Esteban Cambiasso memimpin jentera tengah dengan jayanya.

Kecemerlangan ini membantu pasukan Musang ini merangkul 7 kemenangan daripada 9 perlawanan dan menamatkan musim tersebut di tangga ke-14!

Seperti yang diketahui umum, 12 bulan kemudian, mereka muncul juara Liga Perdana Inggeris.

Satu kisah dongeng dalam bola sepak Inggeris.Sekian.

West Ham 2006-07

Alan Curbishly dilantik sebagai pengurus West Ham menggantikan Alan Pardew pada pertengahan musim, namun prestasi kelab London Timur ini masih lagi terumbang ambing meskipun memunyai Carlos Tevez di bahagian serangan.

Lebih memburukan keadaaan lagi, mereka gagal untuk memenangi sebarang perlawanan dari pertengahan Disember sehingga awal bulan Mac.

Namun, kebangkitan semula West Ham dipacu oleh ketajaman Tevez yang menjaringkan 7 gol, sekaligus memberikan 7 kemenangan daripada 9 perlawanan.

Termasuklah kemenangan pada perlawanan terakhir ke atas juara liga, Manchester United.

Musim berikutnya, Tevez beraksi buat United dan memenangi gelaran liga dan kejuaraan Eropah.

Eintracht Frankfurt 1998-99

Musim 1998-99 menyaksikan pertarungan mengelakkan penyingkiran terhebat dalam sejarah Bundesliga di mana pada perlawanan terakhir liga, enam pasukan berada dalam kedudukan bahaya.

Frankfurt memerlukan lima gol menentang Kaiserlautern untuk mengelakkan daripada tersingkir.

Selepas pasukan pencabar, FC Nurnberg berjaya menjaringkan satu gol untuk mengikat Freiburg yang juga berdepan penyingkiran.

Jan Age Fjortoft meletakkan namanya dalam lipatan sejarah Frankfurt apabila menjaringkan gol kelima pasukannya pada minit ke-89 sekaligus menyelamatkan pasukan ini daripada diturunkan liga.

Agak-agak ada orang jual game tak?

West Brom 2004-05

Menjelang perlawanan terakhir liga pada musim ini, tiada lagi pasukan yang sah tersingkir dan empat pasukan berjuang untuk mencari kemenangan pada perlawanan terakhir ini.

Perlawanan terakhir The Baggies adalah menentang Portsmouth dan tiga mata amatlah diperlukan, selain berharap Norwich City, Southampton dan Crystal Palace tewas dalam perlawanan masing-masing.

Mungkin pemain West Brom ada menggunakan khidmat raja bomoh di mana mereka berjaya mendapat tiga mata manakala tiga lagi pasukan pesaingnya tewas.

Kejayaan mereka kekal dalam perlawanan terakhir liga ini menyebabkan para penyokong masuk ke padang bagaikan mereka memenangi piala!

Pahang 2006, 2009, 2016

Bukan sekali, bukan dua kali, malah tiga kali pasukan yang digelar Tok Gajah ini berjaya mengelakkan daripada tersingkir daripada Liga Super.

Berbanding cerita-cerita pasukan di atas, pasukan Pahang hanya terselamat selepas liga tamat. Unik bukan?

Pada musim 2006, Pahang tersungkur ke tangga ketujuh daripada lapan pasukan Liga Super dan ini bermakna pasukan ini akan bermain di Liga Premier pada musim berikutnya.

Namun Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) telah merombak struktur liga super, di mana mereka telah menaikkan jumlah pasukan bertanding daripada 8 pasukan ke 14.

Pahang bermain di pusingan play-off bersama lagi 7 pasukan lain untuk merebut 6 tempat ke Liga Super 2007.

Pahang tewas pusingan pertama kepada Brunei DPMM, namun semangat pahlawan yang mengalir dalam jiwa pemain Pahang memastikan mereka menewaskan Sabah dalam perlawanan play-off yang kedua.

Cerita pada musim 2009 pula sedikit berbeza, di mana Pahang kekal di liga Super kerana penarikan diri pasukan Harimau Muda A, yang secara tiba-tiba menyertai liga yang paling kompetitif di dunia di Slovakia.

Pada tahun 2016 pula, dengan liga semakin hampir menutup tirai, kemenangan pasukan Kedah ke atas Pahang dilucutkan kerana mereka menggunakan pemain yang digantung, sekaligus memberikan Pahang tiga mata berharga untuk kekal di Liga Super.

Yang peliknya keputusan ini hanya dibuat selepas tiga bulan perlawanan berlangsung.

Malas lah nak cerita panjang lagi.

Artikel ini merujuk kepada entri di 90min.com

BACA:  Premier League 2019/20: Tottenham Hotspur 3-0 Leicester City