Premier League 2021/22: Leicester City 1-0 Liverpool

Skuad kendalian Jurgen Klopp berkunjung ke King Power Stadium untuk beraksi bertemu Leicester City dalam aksi saingan Premier League.

Liverpool beberapa hari yang lalu dijadualkan bertemu Leeds United dalam aksi saingan Premier League, namun perlawanan tersebut terpaksa ditangguhkan dek kerana kem lawan dilanda wabak pandemik.

Sementara Leicester City pula, mereka kemarin turun beraksi bertemu Manchester City, dan telah diaibkan 6-3 oleh anak-anak buah Pep Guardiola itu.

Kedua-dua pasukan menurunkan skuad terbaik masing-masing dalam perlawanan ini, dalam usaha mereka untuk mengutip tiga mata penuh.

Ketinggalan enam mata dibelakang Manchester City, Liverpool sudah tentu mahu mengutip tiga mata penuh dari perlawanan ini.

Sementara Leicester pula berada di kedudukan ke-10 dalam carta saingan liga, selepas mereka hanya mampu mengumpul 22 mata sahaja dari 17 perlawanan.

Liverpool memulakan permainan dengan terus melancarkan serangan ke kubu Leicester, sementara pasukan tuan rumah dilihat masih mencari rentak.

Lima minit pertama The Reds terus menerus melancarkan serangan merbahaya ke kubu Leicester City, namun tiada percubaan tepat atau merbahaya yang berjaya dihasilkan.

10 minit pertama Leicester City sesekali berjaya melancarkan serangan namun mudah untuk dipatahkan oleh barisan pertahanan Liverpool.

Liverpool masih dominan dan cemerlang melancarkan serangan bertali arus ke kawasan tuan rumah, dalam usaha mereka untuk mencari gol awal.

Pada minit ke-15, Liverpool berjaya memenangi sepakan penalti selepas Mohamed Salah dijatuhkan di dalam kotak oleh Wilfred Ndidi.

Tidak perlu merujuk VAR, melihat Salah tersembam pengadil perlawanan terus menghadiahkan pasukan pelawat sepakan penalti.

Salah sendiri tampil untuk menyempurnakan sepakan penalti tersebut, namun sayangnya bola rembatan beliau terlalu mudah dibaca oleh Kasper Schmeichel.

Bola yang diselamatkan oleh Kasper Schmeichel kemudiannya melantun semula ke arah Salah, dengan bintang Mesir itu cuba menanduk masuk bola tersebut.

Bola tandukan Salah terkena palang dan kembali ke kawasan permainan semula, namun para pemain Leicester City cemerlang mengeluarkan bola dari kawasan bahaya.

Kedua-dua pasukan kemudiannya saling berbalas serangan, namun tiada percubaan merbahaya yang berjaya dilakukan.

Ketika perlawanan masuk minit ke-30, Leicester sepertinya sudah berjaya menemui rentak permainan mereka, sementara Liverpool bergelut dengan masalah jentera serangan yang terlalu tumpul.

Aksi babak pertama tamat dengan kedua-dua pasukan terikat dengan keputusan seri tanpa jaringan.

Masuk aksi babak kedua, Liverpool memulakan serangan terlebih dahulu, namun mudah untuk di uruskan oleh barisan pertahanan Leicester City.

Anak-anak buah Brendan Rodgers mula menemui rentak persembahan terbaik mereka, dengan Leicester kerap menguji gawang Liverpool.

Pada minit ke-59 permainan, Leicester City berjaya membuka tirai jaringan, selepas Ademola Lookman cemerlang memperkotak-katikan barisan pertahanan Liverpool, sebelum menewaskan Alisson Becker.

Bekas pemain Everton itu menerima bola hantaran dari Kiernan Dewsbury-hall lalu beliau membawa bola masuk ke dalam kotak penalti.

Sebaik masuk ke dalam kotak penalti beliau berjaya melepasi barisan pertahanan Liverpool dan melepaskan rembatan padu menewaskan Alisson untuk gol pendahuluan Leicester.

Ketinggalan 1-0, skuad kendalian Jurgen Klopp itu terus menerus melancarkan serangan untuk mencari gol penyamaan.

Walau bagaimanapun, jentera serangan Liverpool dalam perlawanan ini dilihat terlalu tumpul dan terlalu mudah untuk diuruskan oleh barisan pertahanan Leicester City.

Corak permainan Liverpool semakin huru-hara, dengan mereka dilihat mula didominasi oleh pasukan tuan rumah di akhir-akhir permainan.

Pengadil perlawanan membunyikan wisel penamat, seterusnya mengesahkan kemenangan 1-0 Leicester City menewaskan Liverpool.

Kekalahan ini menyebabkan Liverpool kini kekal di kedudukan kedua, namun mereka semakin jauh ketinggalan dari pendahulu saingan liga, Manchester City.

Leicester City sementara itu berjaya mendaki ke kedudukan ke-9 dengan mereka dua mata mengatasi Crystal Palace yang berada di kedudukan ke-10.

Leicester (4-3-1-2): 

 Schmeichel, Castagne, Amartey, Ndidi, Thomas, Choudhury (Lookman 56), Soumare, Dewsbury-Hall, Maddison (Albrighton 68), Vardy, Iheanacho (Tielemans 55).

Pemain simpanan: Ward, Perez, Vestergaard, Daley-Campbell, Nelson, McAteer.

Penjaring: Lookman 59

Liverpool (4-3-3):

Alisson, Alexander-Arnold, Matip, Van Dijk, Tsimikas, Henderson (Firmino 70), Fabinho (Milner 64), Oxlade-Chamberlain (Keita 55), Salah, Jota, Mane.

Pemain simpanan: Konate, Gomez, Jones, Kelleher, Beck, Williams.

Kad kuning: Matip.

Pengadil: Andre Marriner (West Midlands)

BACA:  Pemain Liverpool Guna Brain Sensors Sebagai Persediaan Final UCL