Mahred Minta Dilepaskan Untuk Berpindah Ke Manchester City

Pemain tengah Leicester City, Riyad Mahrez telah menghantar permohonan rasmi kepada kelabnya bagi membolehkan beliau menyertai Manchester City hari ini.

Dua tawaran awal daripada Manchester City telah ditolak Leicester tetapi mereka telah menghantar tawaran ketiga berjumlah £55juta bagi membolehkan Mahrez berpindah ke Etihad Stadium pada hari terakhir tirai perpindahan.

Bakal menjadi pemain kedua termahal City

Jika perpindahan ini berlaku, Mahrez bakal menjadi pemain kedua termahal dalam sejarah The Citizens. Pep Guardiola baru sahaja meleburkan rekod perpindahan kelab kelmarin dengan membawa masuk pemain pertahanan Athletic Bilbao, Aymeric Laporte dengan yuran perpindahan berjumlah  £57juta.

Selain itu, Mahrez turut bakal menjadi rekod jualan terbesar Leicester dan melepasi rekod lama dicipta oleh Danny Drinkwater apabila pemain tersebut menyertai Chelsea dengan yuran perpindahan berjumlah  £35juta.

Mahrez sebelum ini pernah menghantar permohonan kepada Leicester untuk berpindah pada Mei 2017 tetapi tiada kelab yang berjaya memenuhi tuntutan Leicester berkenaan harga Mahrez. AS Roma dilaporkan sangat hampir untuk mendapatkan Mahrez musim panas lalu tetapi terpaksa melupakan niat mereka kerana tawaran tertinggi dari mereka masih lagi ditolak Leicester.

Gandingan yang pernah menggegarkan EPL 2 musim yang lalu

City dilihat semakin hampir untuk menjadikan Mahrez pemain kedua termahal dalam sejarah kelab dengan menghantar tawaran ketiga yang dianggap sudah mencukupi buat Leicester melepaskan Mahrez.

Akan tetapi, seperti dilaporkan oleh Skysports, Leicester masih lagi teguh dengan pendirian mereka untuk tidak menjual Mahrez selagi harga yang ditetapkan tidak dipenuhi. Leicester beranggapan tawaran dari City masih lagi belum mencukupi.

Walaubagaimanapun, kelibat Mahrez tidak kelihatan di padang latihan Leicester Jumaat lalu dan tidak berada dalam skuad utama yang berangkat ke Merseyside bagi pertemuan menentang Everton malam ini.

Bahagian serangan City semakin padu dengan kemasukan Mahrez

Pengurus Leicester, Claude Puel pernah berkata kelab yang berminat untuk mendapatkan Mahrez perlu membayar lebih £100juta dan menegaskan Mahrez masih gembira untuk kekal.

“Mungkin pada musim panas nanti, nilai Mahrez akan melebihi  £100juta. Sudah tentu, ia hanya spekulasi sahaja setakat ini. Kami masih lagi melihat Mahrez senyum dan menikmati bolasepaknya disini. Beliau masih gembira dapat bermain dengan rakan sepasukannya.”

City menghantar tawaran rasmi untuk mendapatkan Mahrez selepas kehilangan khidmat Leroy Sane selama 6 minggu berikutan kecederaan yang dialaminya ketika perlawanan pusingan ke-4 Piala FA menentang Cardiff City.

Sane bakal terlepas aksi final Piala Carabao menentang Arsenal dan kedua-dua perlawanan timbal balik Liga Juara-Juara menentang Basel bulan hadapan.

BACA:  Bukti Nyata Liverpool Dan City Terlalu Mendominasi Premier League Sejak Empat Musim Terakhir Ini