Bukti Nyata Liverpool Dan City Terlalu Mendominasi Premier League Sejak Empat Musim Terakhir Ini

Manchester City bakal melayan kunjungan Liverpool ke bumi Etihad pada hujung minggu ini untuk aksi dalam saingan Premier League.

Keputusan dalam perlawanan pada hujung minggu ini bakal menjadi penentu siapa yang bakal berpotensi untuk menjuarai saingan Premier League musim ini.

Man City kini hanya satu mata mengatasi Liverpool di puncak saingan Premier League dengan mereka kini hanya berbaki lapan perlawanan sahaja untuk mengakhiri saingan musim ini.

Sejak Pep Guardiola tiba dalam saingan Premier League pada tahun 2016 yang lalu, Liverpool jelas sekali konsisten menjadi pencabar utama The Citizens.

Bahkan sejak empat musim terakhir ini, kedua-dua pasukan itu telah mendominasi sepenuhnya saingan Premier League dengan kutipan mereka secara keseluruhannya jauh meninggalkan pasukan lain.

City mengumpul 338 mata dari 144 perlawanan sejak awal musim 2018/19, sementara Liverpool pula berjaya mengumpul 337 mata juga dalam tempoh yang sama.

Kutipan mata mereka sejak empat musim terakhir ini jauh mengatasi pasukan lain dan itu jelas sekali membuktikan bagaimana mereka mendominasi pentas bola sepak Inggeris.

Chelsea di kedudukan ketiga dalam carta ini dengan mereka hanya mengumpul 264 mata sahaja dari 143 perlawanan yang dimainkan.

Walaupun mereka berdepan kesukaran sepanjang musim ini, namun Manchester United masih berjaya untuk berada di kedudukan keempat dalam senarai ini, dengan mereka berjaya mengumpul 257 mata dari 144 perlawanan.

Liverpool dan Manchester City akan sekali lagi bertemu selepas aksi pada hujung minggu ini, dengan mereka bakal bertemu di peringkat separuh akhir saingan FA Cup pada 16 April nanti.

Lebih menarik lagi, kedua-dua pasukan juga sangat berpotensi untuk melayakan diri ke peringkat separuh akhir saingan Champions League musim ini.

Liverpool berjaya menewaskan Benfica 3-1 di Lisbon dalam aksi leg pertama peringkat suku akhir saingan Champions League kemarin.

Sementara Manchester City pula berjaya menewaskan Atletico Madrid 1-0 di Etihad juga dalam aksi leg pertama peringkat suku akhir saingan Champions League.

Bekas pemain pertahanan Liverpool, Jamie Carragher percaya perseteruan antara The Reds dan Man City merupakan perseteruan terhebat dalam sejarah bola sepak Inggeris.

“Terdapat keunikan padanya. Ini merupakan kali pertama dua pasukan terbaik di England menjadi dua pasukan terhebat di dunia, dengan kedua-dua pasukan dipimpin oleh dua pengurus terhebat generasi ini.”

Tulis Carragher di kolum miliknya di The Telegraph.

“Mereka merupakan pasukan terbaik yang pernah beraksi di pentas bola sepak Inggeris, dibimbing oleh jurulatih legenda, yang berada jauh di hadapan semua pengurus lain di negara ini.”

“Bila saja City bertemu Liverpool, saya nampak dua pasukan terhebat dunia sedang bermain dengan bola satu pasukan terhebat di dunia ketika memegang bola, satu lagi pasukan terhebat di dunia dalam pergerakan tanpa bola.”

“Itu contoh mudah. Liverpool sememangnya menakjubkan dalam mengekalkan penguasaan, dan City mahir untuk memenangi semua bola yang mana ia perbezaan yang sangat menarik untuk disaksikan dalam perlawanan antara mereka.”

Jelas sekali semua mata akan tertumpu kepada pertemuan antara kedua-dua mereka pada hujung minggu ini dan ia jelas sekali bakal menjadi perlawanan yang sangat menarik untuk disaksikan.

Liverpool turun dalam usaha untuk mengejar gelaran quadruple musim ini, sementara Man City akan lakukan apa sahaja dalam usaha mereka untuk mempertahankan gelaran Premier League.

Carta kutipan mata sejak musim 2018/19

Berdasarkan persembahan semasa kedua-dua pasukan, jelas sekali pertembungan pada hujung minggu ini akan sangat menarik dan berbaloi untuk ditonton.

Sumber: SPORTbible

BACA:  Champions League 2021/22: Inter Milan 0-2 Liverpool