Kisah Kejatuhan Steven Gerrard di Al Ettifaq: Dari Harapan kepada Kekecewaan

Kecewa di Arab Saudi: Perjalanan Singkat Steven Gerrard di Al Ettifaq

Steven Gerrard kelihatan ceria ketika mengenakan selendang berwarna kebangsaan Arab Saudi di atas jubah putih tradisional (thawb) bersama serban Arab.

Pada Julai 2023, hanya beberapa minggu selepas memulakan pengembaraannya di Timur Tengah, Gerrard menyertai Al Ettifaq. Ia sebuah kelab Liga Pro Saudi (SPL) yang kurang dikenali. Tidak lama selepas itu, Jordan Henderson turut mengikuti jejaknya. Pada usia 43 tahun, bekas kapten England itu mula menyesuaikan diri dengan persekitaran baharunya.

Ketika itu, wang mengalir deras dan Gerrard yang mengenakan pakaian tradisional sempena Hari Kebangsaan Arab Saudi tampak selesa dengan peranannya. Dia berucap dalam bahasa Arab ketika diperkenalkan sebagai pengurus Al Ettifaq. Dia bercakap tentang visinya membantu SPL berkembang. Kejayaan membawa legenda Liverpool ke kelab itu adalah satu pencapaian besar bagi Aku Ettifaq.

Masa depan kelihatan cerah namun sedikit demi sedikit kegembiraan itu mula pudar. Aliran wang terhenti dan persaingan di liga semakin sengit. Kelab-kelab gergasi SPL yang sudah memiliki bintang seperti Cristiano Ronaldo, Neymar dan Karim Benzema terus  menandatangani pemain bertaraf antarabangsa seperti Moussa Diaby dan Ivan Toney. Al Ettifaq hanya mampu mendapatkan penjaga gol kedua Fulham, Marek Rodak secara percuma. Al Ettifaq bergelut untuk menguatkan skuadnya.

Lama-kelamaan, Gerrard semakin hilang minat dengan projek itu. Walaupun pemergiannya pada minggu ini mengejutkan sesetengah pihak tetapi ramai yang sudah menjangkakan dia akan pergi.

Mengapa Era Gerrard di Al Ettifaq Gagal?

Beberapa sumber yang mengetahui situasi itu telah mendedahkan faktor yang menyebabkan kegagalan era Gerrard. Perubahan kakitangan, kecederaan pemain utama serta prestasi pasukan yang merosot merupakan antara punca utama.

Secara keseluruhannya, situasi itu mengingatkan kepada pemecatannya di Aston Villa. Ketika itu prestasi pasukan jatuh teruk dan kedudukan pasukan di carta liga berada dalam kebimbangan.

Kali ini perpisahan tidak berlaku kerana kekalahan mengejut atau desakan dari peminat. Sebaliknya ia dipersetujui secara baik oleh kedua-dua pihak.

Sepanjang tempohnya di Al Ettifaq, Gerrard beberapa kali berbincang tentang masa depannya. Dia kecewa dengan kesukaran membina skuad yang kompetitif. Kenyataan rasmi kedua-dua pihak juga menggambarkan mereka mencuba untuk mengekalkan hubungan baik.

Presiden Al Ettifaq, Samer Al Misehal, berkata: “Dia telah mengubah kelab ini menjadi lebih baik dan ia tidak akan dilupakan.” Sementara itu, Gerrard dalam kenyataannya berkata: “Saya yakin usaha yang sedang dilakukan akan membawa kejayaan pada masa hadapan.”

Hakikatnya, Gerrard meninggalkan kelab ketika pasukan itu berada di tangga ke-12 daripada 18 pasukan.

Daya Tarikan Wang dan Cabaran di SPL

Ketika pertama kali Al Ettifaq mendekati Gerrard untuk menawarkan jawatan ketua jurulatih, dia sebenarnya berasa ragu-ragu. Namun selepas mesyuarat kedua bersama pegawai tinggi Arab Saudi yang membentangkan rancangan besar untuk memajukan bola sepak negara itu, minatnya mula timbul.

Selepas mengalami pengalaman buruk di Aston Villa, Gerrard menolak beberapa tawaran dari kelab di England. Peluang untuk membina sesuatu yang baharu di liga yang sedang berkembang telah menarik perhatiannya. Gaji lumayan (£15 juta setahun) serta sokongan kewangan untuk pasukan kejurulatihannya menjadi faktor utama dia menerima tawaran tersebut.

Cabaran terbesar yang dihadapinya adalah jurang kewangan antara kelab-kelab SPL yang disokong oleh Dana Pelaburan Awam (PIF). PIF memiliki 75% saham dalam 4 kelab utama SPL iaitu Al Hilal, Al Nassr, Al Ahli dan Al Ittihad. Baki 25% saham lagi dikawal oleh organisasi bukan berasaskan keuntungan.

Pada mulanya, Al Ettifaq berjaya mendapatkan Henderson, Demarai Gray, Georginio Wijnaldum, Jack Hendry dan Moussa Dembele. Tetapi berbanding dengan pembelian besar kelab pesaing lain, mereka jauh untuk tidak setanding.

Cabaran dan Kekecewaan Gerrard

Gerrard bukan sahaja mahu melatih pasukan utama tetapi juga berusaha membangunkan kelab dari peringkat akar umbi. Dia mahu memperbaiki sistem pembangunan pemain muda dan meningkatkan kemudahan latihan. Namun ia tidak berlaku seperti yang dia harapkan.

Ketika Al Ettifaq sedang menandatangani pemain baharu semasa latihan pra-musim di Croatia, Gerrard berasa kecewa dengan keadaan kemudahan latihan. Walaupun fasiliti di Al Ettifaq setaraf dengan kelab Liga Perdana Inggeris, usaha mereka di padang tidak diterjemahkan kepada kejayaan di liga.

Henderson hanya bertahan beberapa bulan sebelum berpindah ke Ajax pada Januari. Gerrard gagal mendapatkan pengganti yang sesuai di bahagian tengah.

Pembantu jurulatihnya, Ian Foster meninggalkan pasukan untuk menjadi pengurus Plymouth Argyle. Ia menambah lagi tekanan kepada Gerrard selepas Al Ettifaq melalui tempoh 12 perlawanan tanpa mencatat sebarang kemenangan.

Keputusan untuk Berundur

Dalam usaha memulihkan pasukan, pada pertengahan musim lalu kelab memberi Gerrard lanjutan kontrak selama dua tahun lagi. Kelab membawa masuk Dean Holden sebagai penolong jurulatih serta Mark Allen sebagai pengarah sukan. Namun kedua-duanya meninggalkan kelab itu hanya selepas sembilan bulan berada disana.

Meskipun Al Ettifaq menamatkan musim pertamanya di tempat ke-6, jurang 48 mata dengan juara liga, Al Hilal menunjukkan betapa sukarnya untuk bersaing.

Pada awal musim 2024-25, tekanan semakin meningkat. Walaupun Gerrard membawa masuk bekas jurulatih penjaga gol Liverpool, John Achterberg dan pembantu lain untuk mengukuhkan pasukan kejurulatihannya, masalah utama tetap berlanjutan. Dana untuk mendapatkan pemain berkualiti semakin berkurangan.

Akhirnya selepas berbincang dengan pihak kelab, keputusan untuk berpisah secara baik dicapai.

Apa Langkah Seterusnya untuk Gerrard?

Walaupun Gerrard sudah menyesuaikan diri dengan kehidupan di Timur Tengah tetapi beliau kehilangan semangatnya. Dalam jangka masa terdekat sukar untuk melihatnya kembali ke Liga Perdana Inggeris.

Kini, dia mungkin perlu menurunkan sasaran dan mencari peluang di tempat lain untuk membina semula reputasinya sebagai pengurus.

Tidak ada siapa yang boleh mempertikaikan semangatnya untuk berjaya dalam bidang kejurulatihan. Sebagai pemain legenda, reputasinya kekal utuh. Namun seperti yang dibuktikan di Aston Villa dan Al Ettifaq, kejayaan sebagai pemain tidak menjamin kejayaan sebagai pengurus.

Gerrard kini perlu memilih langkah seterusnya dengan lebih berhati-hati jika mahu kembali ke landasan yang betul.

Artikel asal dari Gregg Evans dan Simon Hughes

BACA:  Steven Gerrard Calon Paling Sempurna Sebagai Pengurus Newcastle United