Masa Depan Greenwood Di Arab Saudi Sudah Musnah Kerana Cristiano Ronaldo

Mason Greenwood dilaporkan risau dirinya sudah tidak mempunyai peluang melebarkan karier ke Arab Saudi kerana persengketaan lama dengan Cristiano Ronaldo.

Pemain berusia 21 tahun itu kini sedang mencari kelab baharu selepas Manchester United memutuskan untuk tidak mengekalkan pemain tersebut di Old Trafford, selepas siasatan dalaman kelab itu berkaitan insiden keganasan selesai.

Greenwood ditahan polis pada Januari 2022 dengan dakwaan melakukan keganasan terhadap teman wanitanya sah tidak akan beraksi buat United buat selamanya.

Pemain itu akan kini akan dipinjamkan ke kelab lain sehingga kontraknya bersama United tamat..

Keputusan oleh United untuk tidak mengekalkan Greenwood dibuat selepas desakan untuk berbuat demikian oleh beberapa kumpulan penyokong Red Devils – walaupun pihak pendakwaan telah mengugurkan kes tersebut sepenuhnya pada Februari lalu.

Greenwood digantung serta merta ketika kes tersebut mendapat perhatian umum dan pihak kelab turut menjalankan siasatan dalaman untuk menentukan masa depan pemain itu.

Dalam satu kenyataan, United mengesahkan kelab itu dan Greenwood setuju untuk berpisah secara baik dan pihak kelab turut akan membantu pemain itu mendapatkan kelab baharu dalam masa terdekat.

Antara destinasi yang dikaitkan dengan Greenwood adalah perpindahan ke Arab Saudi. Namun pemain itu kini tidak percaya perpindahan ke negara Timur Tengah itu boleh direalisasikan selepas komen mengkritik Cristiano Ronaldo yang dilakukannya ketika masih bergelar pemain akademi.

Sebelum ini Greenwood secara terbuka pernah mengkritik Ronaldo yang pada ketika itu beraksi bersama Real Madrid, dengan menyifatkan karier bintang Portugal itu sudah mati – selepas mengalami kemerosotan pada ketika itu.

Tindakan Greenwood itu kemudiannya mendapat teguran daripada pihak pengurusan United yang menganggap pemain itu tidak matang.

Kedua-dua pemain sempat beraksi bersama ketika Ronaldo kembali buat kali kedua ke Old Trafford pada 2021, dan kenyataann daripada Greenwood mengkritik Ronaldo kembali menjadi sebutan dalam beberapa laporan media pada Mac 2021 – setelah pihak pendakwaan mengugurkan kes terhadap pemain itu.

Laporan tersebut turut menyebut bagaimana Ronaldo meluahkan rasa tidak puas hati dengan tindakan Greenwood dan pemenang Ballon d’Or sebanyak lima kali itu turut dikatakan mendesak kelab-kelab Arab Saudi untuk tidak mendapatkan khidmat Greenwood.

“Ronaldo bukannya dikenali sebagai pemain kental dan mudah tersingung. Dia benar-benar marah dengan apa yang dikatakan Greenwood – tetapi dia mempunyai sebab yang lebih baik untuk marah mengambil kira pencapaiannya selama ini berbanding kedudukan Greenwood sendiri,” kata satu sumber kepada The Sun yang turut dikongsi oleh Daily Mail.

“Greenwood sudah tentu terasa sukar apabila Ronaldo kembali menyertai United kerana kehadiran [Ronaldo] menyebabkan dia sukar untuk mendapatkan minit perlawanan, ini menyebabkan hubungan kedua-dua pemain menjadi lebih tegang.”

Ronaldo adalah nama besar pertama di kalangan bintang dari Eropah yang beraksi di Saudi Pro League apabila menyertai Al Nassr pada Disember tahun lalu.

Kapten antarabangsa Portugal itu dilihat sebagai pemain yang mempunyai pengaruh yang besar di Arab Saudi ,dan ini juga bermakna sentimen anti-Greenwood turut akan memberikan impak kepada keseluruhan situasi.

“Ronaldo dilayan seperti kerabat di Arab Saudi dan apa sahaja yang dikatakannya akan diambil kira.

“Sudah tentu dia juga mempunyai kuasa untuk menghalang kelab-kelab di sana untuk mendapatkan khidmat Greenwood sekiranya dia mahukannya begitu,” tambah sumber itu lagi.

Laporan sama turut mengatakan pengurus kelab-kelab Arab Saudi turut berfikir banyak kali untuk mendapatkan Greenwood selepas kerajaan negara itu turut mendapat liputan kurang baik berkaitan hak asasi manusia termasuk layanan terhadap wanita.

Beberapa kelab dari Turki dan Itali dilaporkan telah menghubungi United untuk mendapatkan khidmad Greenwood.

AS Roma yang kini dikendalikan Jose Mourinho – bekas pengendali United – bagaimanapun menafikan mereka berminat untuk mendapatkan Greenwood selepas beberapa laporan mengatakan kelab Itali itu antara yang serius untuk membawa masuk pemain tersebut.

Steven Gerrard yang kini bergelar pengurus Al Ettifaq di Arab Saudi turut menafikan perkhabaran kelab itu mahukan Greenwood dan menyifatkan khabar angin yang mengaitkan kelab dan pemain itu sebagai berita palsu.

BACA:  Mane Dedah Punca Sebenar Tolak Lamaran Lumayan Manchester United