Kisah Sebenar Mengapa Jari Dan Burn Tak Cukup Satu

Para peminat terkejut melihat jari Dan Burn hanya ada sembilan sahaja dan ramai yang kebingungan memikirkan mana hilangnya satu lagi jari beliau.

Pemain Newcastle itu terlibat dengan dua detik terbesar dalam perlawanan yang memperlihatkan Chelsea berjaya menewaskan The Magpies 1-0 di Stamford Bridge.

Pemain pertahanan Newcastle itu ditandatangani dari Brighton pada jendela perpindahan Januari lalu dengan yuran bernilai £13 juta.

Beliau dalam perlawanan ini terlibat dengan satu insiden yang memperlihatkan bagaimana beliau dikasari oleh Kai Havertz pada aksi babak pertama permainan.

Pemain penyerang Chelsea itu melompat untuk berebut bola dengan Dan Burn dan ketika mahu mendarat, beliau dilihat menyiku muka bintang Newcastle United itu.

Dan Burn turut mengalami pendarahan di mukanya selepas disiku oleh Kai Havertz dan mujur saja beliau masih mampu untuk menghabiskan perlawanan tersebut.

Havertz telah dilayangkan kad kuning selepas melakukan kekasaran ke atas Dan Burn itu dengan para peminat merasakan beliau selayaknya dilayangkan kad merah.

Insiden kedua yang melibatkan Dan Burn dalam perlawanan ini adalah ketika beliau terlibat dengan situasi yang memperlihatkan Chelsea berjaya menjaringkan gol kemenangan mereka pada minit ke-89 permainan.

Jorginho melambungkan bola cantik ke dalam kotak penalti, dengan Dan Burn tersilap membaca arah bola lalu membenarkan Kai Havertz untuk mengawal bola tersebut, sebelum melepaskan rembatan padu menewaskan Martin Dubravka.

Melihat Chelsea berjaya menjaringkan gol kemenangan di minit-minit akhir permainan, Dan Burn jelas rasa bersalah dan kecewa kerana memberi ruang kepada Havertz untuk meledak gol kemenangan.

Kamera Sky Sports kemudiannya merakam aksi Dan Burn meletakkan sepenuh tangan di mukanya kerana kecewa Chelsea berjaya menjaringkan gol kemenangan.

Namun close-up gambar tersebut menunjukkan yang jari Dan Burn kurang satu dan ia menyebabkan para peminat tertanya-tanya apa yang sebenarnya berlaku padanya.

Memandangkan ramai yang tertanya-tanya apa yang berlaku, mari Min kongsikan sedikit kisah tentang kehilangan jari Dan Burn.

Mengapa jari Dan Burn kurang satu?

Apa cerita sebalik kehilangan jari Dan Burn? Sebagai seorang pertahanan kental, mungkin ramai yang berfikir jari beliau hilang akibat kecederaan kerana bermain bola sepak.

Walau bagaimanapun, dakwaan tersebut sebenarnya salah dan ia langsung tak ada kaitan dengan bola sepak.

Walaupun Dan Burn tak pernah mendedahkan hal tersebut secara terbuka, namun menurut sumber laporan dari Free Library, jari beliau hilang sejak beliau berusia 13 tahun lagi.

Jari Burn putus kerana beliau terlibat dengan insiden ngeri ketika beliau sedang memanjat sesuatu (tak tahu apa dia panjat tapi dia panjat lah).

Beliau dikatakan memakai cincin dan cincin tersebut tersangkut pada sesuatu (duri) lalu menyebabkan jarinya ikut terputus.

Ia sudah tentu sangat menyakitkan untuk seseorang kanak-kanak yang baru berusia 13 tahun dan walaupun hal itu tidak menjejaskan kariernya, namun beliau berhak untuk dipuji kerana meneruskan kariernya sebagai pemain bola sepak walau sudah berdepan peristiwa ngeri seperti itu.

Selepas tamat perlawanan di Stamford Bridge malam semalam, Dan Burn telah ditanya tentang insiden yang melibatkan beliau dengan Kai Havertz.

Beliau ketika itu menegaskan yang beliau sangat yakin Kai Havertz sepatutnya dilayangkan kad merah kerana mengasari dirinya.

“Saya rasa dia sepatutnya di buang padang.”

Jelas Burn kepada NUFCTV.

“Saya boleh jamin jika berlaku sesuatu saya tidak mungkin berada di atas padang lagi.”

“Tapi pengadil kata dia mencari bola sepanjang insiden tersebut, sebab tu bukan kad merah.”

“Saya fikir ia sedikit nakal tapi dia tak dihukum dan dia akhirnya menjaringkan gol di minit akhir dan menyebabkan kami kalah.”

“Kami tak boleh mengeluh tentang itu secara berlebih-lebihan. Mereka memang pemain yang sangat berkualiti yang boleh menghukum kamu dalam tempoh beberapa detik sahaja dan itulah apa yang berlaku.”

Sumber: GMS

BACA:  Adakah Liverpool Dan Spurs Akan Terus Menentang Pengambilalihan Newcastle?