Koeman Dikatakan Sengaja Biarkan Umtiti Dikecam Agar Terbuka Hatinya Untuk Tinggalkan Kelab

Pengurus Barcelona, Ronald Koeman telah dituduh sengaja menyuruh Samuel Umtiti untuk memanaskan badan, agar peminat nampak kelibat pemain itu dan boleh mengecam beliau.

Ia merupakan musim panas yang sangat sukar untuk Barcelona, dengan pemergian pemain terhebat sepanjang zaman kelab, Lionel Messi dan masalah kewangan teruk yang sedang melanda mereka.

Barca bahkan awalnya tak mampu untuk mendaftarkan penandatanganan baru mereka kerana masalah ketidakstabilan ekonomi kelab.

Selepas Gerard Pique bersetuju untuk menerima cadangan pemotongan gaji, barulah Barca mampu untuk mendaftarkan kesemua penandatanganan baru mereka.

Memphis Depay dan Eric Garcia antara nama yang berjaya Barcelona daftarkan selepas Pique menunjukkan kemuliaan hatinya.

Ada beberapa pemain lain yang turut akan menerima cadangan pemotongan gaji seperti Sergio Roberto dan Sergio Busquets.

Keengganan Jordi Alba untuk melakukan hal yang sama telah mencetuskan kemarahan sesetengah pihak, dan Barca turut memutuskan untuk melepaskan pemain yang mereka tidak perlukan.

Namun ia bukan tugas mudah untuk mereka melepaskan pemain yang masih ada kontrak, dengan Umtiti antara nama yang betul-betul mahu dilepaskan oleh kelab pada ketika ini.

Namun begitu, beliau jelas sekali tidak mahu meninggalkan Nou Camp, walaupun sudah diberitahu yang beliau tidak ada dalam perancangan Ronald Koeman.

Pada hari minggu, ketika aksi kemenangan 2-1 Barca menewaskan Getafe, pemain centre-back itu telah diarahkan untuk pergi memanaskan badan.

Walau bagaimanapun, ketika Umtiti bangun untuk memanaskan badan, beliau telah ‘diboo’ teruk oleh para penyokong Barca yang ada di stadium.

Hal itu menyebabkan pengasas Breaking The Lines, Zach Lowry menuduh pengurus dari Belanda itu sebenarnya sengaja mahu melihat Umtiti dikecam dan mendapat reaksi negatif dari para penyokong.

Layanan yang diterima oleh pemain berusia 27 tahun itu adalah sangat teruk dan tidak sepatutnya beliau dilayan sedemikian rupa.

Ia kerana beliau sama sekali tidak bertanggungjawab atas masalah kewangan yang dilanda oleh kelab pada ketika ini, dan beliau juga berhak untuk tolak cadangan pemotongan gaji.

Kemarahan para penyokong sepatutnya diluahkan pada kelab, dan jelas sekali para penyokong sebenarnya masih tidak boleh menerima kenyataan yang Messi sudah tidak bersama mereka.

Jika dakwaan yang mengatakan bahawa Koeman sengaja menyuruh Umtiti memanaskan badan agar dapat reaksi negatif dan menyebabkan beliau mahu meninggalkan kelab, ia sebenarnya satu hal yang memang pernah beliau lakukan sebelum ini.

Bekas penyerang Everton, Oumar Niasse sebelum ini menuduh pengurus berusia 58 tahun itu pernah menghalau beliau dari kelab, ketika kedua-dua mereka bekerjasama di Goodison Park.

Niasse menyatakan yang Koeman merampas nombor jersinya, dan memaksa beliau makan berasingan dengan pemain lain dan turut tidak memberikan beliau locker peribadi untuk menyimpan barangnya.

Ia merupakan taktik kotor yang tak sepatutnya dilakukan oleh seorang pengurus hanya untuk menghalau pemainnya secara paksa rela.

Sumber: SPORTbible

BACA:  Barcelona Dianggap Buat Lawak Dan Bergurau Kerana Mahu Menjual Umtiti