Barcelona Masih Merayu Agar Koeman Terima Pengurangan Pampasan

Isu Barcelona dengan Koeman sepertinya masih belum jumpa jalan penyelesaian lagi, dengan pihak kelab sedang merayu untuk dapatkan pengurangan harga.

Barcelona pada ketika ini dilaporkan bersedia membayar €7.5 juta kepada Ronald Koeman sebagai pampasan selepas memecat pengurus dari Belanda itu.

Gerard Romero memuat naik status di laman twitter miliknya dengan menyatakan yang Barca mahu membayar pampasan tersebut secara ansuran mudah (dua kali bayar).

Koeman walau bagaimanapun menolak untuk menerima permintaan kelab, dan menegaskan yang beliau mahu nilai asal €12 juta berserta bonus tambahan yang pihak kelab hutang padanya.

Mungkin hati beliau sudah terluka, dan kerana itulah Koeman mahu beri pengajaran kepada Barca, biar mereka lebih sedar diri.

Sport.es mengeluarkan kenyataan dari wartawan yang mempunyai hubungan rapat dengan Koeman, Lluis Canut yang mendakwa bahawa Barcelona merayu kepada bekas pengurus kelab itu untuk terima pampasan lebih rendah.

Barcelona sepatutnya perlu membayar €12 juta kepada Ronald Koeman kerana memecat beliau, namun mereka kini tampil berunding untuk mintak kurang harga.

“Dia (Ronald Koeman) mahu menuntut setiap sen yang tinggal.”

“Ia 12 juta, tapi saya mahu jelaskan yang nilai ini tiada kena mengena dengan duit yang dibayar kepada negara Belanda (untuk menandatangani Koeman), untuk itu Barcelona terus bayar €5 juta.”

“Saya tak tahu seandainya nilai 12 juta ini termasuk apa yang perlu dibayar kepada pegawai teknikal dia atau untuk dia sahaja, dia menuntut semua termasuk 45% yang dia setuju tangguhkan kerana pandemik musim lalu.”

Canut mendakwa yang CEO Barca, Ferran Reverter telah membuat tawaran rasmi kepada Koeman yang mana ia dipercayai bernilai 7 ke 8 juta Euro, namun bekas pemain midfield kelab itu menolak untuk berunding.

“Dalam perbualan pertama mereka, mereka ada bertanya kepada dia untuk terima pemotongan bernilai 7 ke 8 juta, jauh dari nilai 12 yang sepatutnya mereka bayar.”

“Ia merupakan kontrak yang sudah ditandatangani oleh kedua-dua belah pihak, namun pimpinan kelab pada ketika ini tidak tahu tentang isi kontrak tersebut, ini bukan soal balas dendam tapi ia memang perlu dibayar.”

Koeman telah dipecat dari menjadi pengurus Barcelona pada awal minggu lalu, selepas kekalahan 1-0 mereka di tangan Rayo Vallecano dalam aksi saingan La Liga.

Pemain legenda terhebat sepanjang zaman kelab, Xavi merupakan calon kegemaran yang dilaporkan akan menjadi pengurus kelab selepas ini.

Walau bagaimanapun, pemenang Piala Dunia bersama skuad kebangsaan Sepanyol itu masih terikat dengan kelabnya pada ketika ini, Al-Sadd.

Beliau dikatakan sudah bersetuju untuk menjadi pengurus Barcelona, dan kini beliau sedang berurusan dengan gergasi Qatar itu terlebih dahulu, sebelum diumumkan secara rasmi sebagai pengurus Barca.

Tugas berat menanti Xavi seandainya beliau benar-benar sah menjadi pengurus Barcelona nanti, dengan kelab sedang bergelut dengan masalah prestasi, dan ditambah pula dengan kedudukan ekonomi kelab yang sangat teruk pada ketika ini.

Barcelona kini perlu selesaikan masalah mereka dengan Koeman yang tidak mahu di bawa berbincang, dan membayar segala yang dituntut oleh pengurus dari Belanda itu.

Mungkin juga Koeman terkilan kerana rasa dirinya tidak dihargai oleh kelab, dan kerana itulah beliau memutuskan untuk menuntut sepenuhnya apa yang pihak kelab hutang padanya.

Dengan kedudukan ekonomi mereka yang semakin parah, Barca sudah menyatakan tawaran termampu mereka, namun dek kerana Koeman menolak tawaran tersebut, maka mereka perlu berusaha lagi untuk pujuk pengurus dari Belanda itu.

Jadi sampai bila nak habis?

Sumber: SPORTbible

BACA:  Eden Hazard Mahu Capai Tahap Lionel Messi & Cristiano Ronaldo