Barcelona Rasmi Menceraikan Ronald Koeman Selepas Kekalahan 1-0 Barca Di tangan Rayo Vallecano

Barcelona secara rasminya telah menceraikan Ronald Koeman selepas pengurus kelab itu mencatatkan dua kekalahan dalam tempoh empat hari.

Kekalahan 1-0 di tangan Rayo Vallecano pada awal pagi tadi merupakan kesempatan terakhir untuk Ronald Koeman mengendalikan Barcelona.

Beliau gagal untuk membawa Barca ke landasan yang tepat untuk mencabar kejuaraan liga, namun sebaliknya beliau membawa Barca menuju ke dasar saingan La Liga.

Barcelona di bawah kendalian Ronald Koeman memulakan kempen saingan musim 2021/22 dengan teramat sangat teruk.

Gergasi Catalan itu hanya mampu memenangi empat sahaja dari 10 perlawanan pertama mereka dalam saingan La Liga musim ini.

Kekalahan di tangan Rayo Vallecano meletakkan Barca di kedudukan kesembilan dalam carta liga, selepas mereka hanya mampu mengumpul 15 mata sahaja.

Bukan hanya dalam saingan La Liga, Barcelona juga turut mencatatkan keputusan yang hampir sama sahaja dalam aksi saingan Champions League.

Mereka memulakan kempen saingan Champions League musim ini dengan mencatatkan kekalahan 3-0 di tangan Bayern Munich dan Benfica.

Koeman sudah sememangnya diragukan sejak musim panas baru-baru ini lagi, dan tugasnya dilihat semakin berat selepas pemergian pemain terhebat sepanjang zaman kelab, Lionel Messi.

Ia semakin jelas menunjukkan sekarang tentang bagaimana pentingnya Messi untuk Barcelona, dan tanpa beliau, mereka jelas gagal untuk bersaing dalam merebut kejuaraan.

Gol jaringan Radamel Falcao untuk Rayo Vallecano telah meletakkan tekanan yang tinggi di atas bahu Ronald Koeman, kerana beliau sendiri sedar kekalahan dalam perlawanan ini bakal jadi penentu nasib beliau di Nou Camp.

Dan kegagalan Memphis Depay menyempurnakan sepakan penalti sepertinya menambah buruk lagi keadaan Koeman sebagai pengurus kelab.

Barcelona ceraikan Koeman

“FC Barcelona telah melepaskan Ronald Koeman dari tugasannya menjadi jurulatih skuad utama.”

Kenyataan rasmi dari Barcelona.

“Presiden kelab, Joan Laporta, telah memberitahu beliau tentang keputusan itu selepas kekalahan bertemu Rayo Vallecano. Ronald Koeman akan ucapkan selamat tinggal kepada skuad pada Khamis nanti di Ciutat Esportiva.”

“FC Barcelona mengucapkan terima kasih atas khidmat beliau terhadap kelab, dan mendoakan yang terbaik untuk karier profesional beliau.”

Siapa pengganti Koeman?

Barca kini sedang menumpukan untuk mencari calon pengganti paling layak untuk menggantikan Ronald Koeman sebagai pengurus Barcelona.

Banyak nama-nama besar yang dikaitkan dengan bakal menggantikan Ronald Koeman sebagai pengurus Barca, namun setakat ini belum ada yang diumumkan secara rasmi oleh kelab.

Antonio Conte turut menjadi sasaran Barca untuk melantik beliau menjadi pengurus kelab, dan membawa Barcelona kembali menjadi sebuah kelab yang digeruni lawan.

Antara nama yang paling hangat dikaitkan dengan bakal mengisi kekosongan tersebut adalah legenda kelab, Xavi.

Bekas pemain midfield dan juga antara legenda terhebat sepanjang zaman kelab itu pada ketika ini sedang menguruskan Al-Sadd di Qatar.

Beliau telah menjalankan tugasnya dengan sangat sempurna di sana dan corak permainan yang beliau terapkan, ia seolah-olah mengingatkan peminat kepada zaman kegemilangan Barcelona.

Xavi merupakan antara nama yang paling kerap disebut-sebut sebagai calon pengganti Ronald Koeman untuk mengurus Barca, dengan beliau sendiri secara peribadi mendedahkan hasrat dan impiannya untuk menjadi pengurus Barcelona.

Tidak kira siapa calon pengganti Koeman, satu hal yang pasti, beliau akan berdepan dengan tugas yang sangat berat untuk merombak skuad dan membawa Barca kembali ke tempat di mana mereka sepatutnya berada.

Barcelona sedang berada di titik paling teruk dalam sejarah penubuhan kelab, dan pengurus baru perlu memastikan Barca mengakhiri saingan musim ini setidak-tidaknya di kedudukan empat teratas.

Sumber: GMS

BACA:  Dembele Sengaja Minta Gaji Tinggi, Sebab Nak Gagalkan Rancangan Keji Barca