Messi Pernah Cadangkan Calon Pengganti Koeman Sebelum Beliau Meninggalkan Barca

Lionel Messi pernah memberitahu Barcelona tentang siapa yang beliau mahu lihat untuk mengendalikan kelab seandainya Barcelona memecat Ronald Koeman.

Beliau sangat teringin untuk melihat bekas rakan sepasukannya kembali ke Nou Camp dan menjadi pengurus Barcode.

Barca secara rasminya telah menceraikan Ronald Koeman awal pagi tadi, selepas gergasi Catalan itu mencatatkan kekalahan 1-0 di tangan Rayo Vallecano di Estadio de Vallecas.

Gol jaringan bekas bintang Atletico Madrid, Radamel Falcao yang sebelum ini turut menjaringkan gol dalam kesemua empat perlawanan bertemu Barca secara berturut-turut, mengesahkan kemenangan 1-0 untuk Los Franjirrojos.

Lebih pedih lagi, Barca sebenarnya berpeluang untuk memperoleh gol dalam perlawanan ini, selepas mereka dihadiahkan dengan sepakan penalti.

Namun sayang sekali, Memphis Depay gagal untuk menyempurnakan sepakan penalti tersebut, seterusnya mengesahkan kekalahan kedua Barca dari dua perlawanan terakhir mereka.

Selepas melalui permulaan musim yang sangat teruk dengan Barcelona hanya mampu mencatatkan empat kemenangan sahaja dari 10 perlawanan awal dalam saingan liga, Barca memutuskan untuk memecat Ronald Koeman.

Bukan hanya dalam saingan La Liga, Barcelona juga turut mencatatkan keputusan yang hampir sama sahaja dalam aksi saingan Champions League.

Mereka memulakan kempen saingan Champions League musim ini dengan mencatatkan kekalahan 3-0 di tangan Bayern Munich dan Benfica.

Koeman sudah sememangnya diragukan sejak musim panas baru-baru ini lagi, dan tugasnya dilihat semakin berat selepas pemergian pemain terhebat sepanjang zaman kelab, Lionel Messi.

Ia semakin jelas menunjukkan sekarang tentang bagaimana pentingnya Messi untuk Barcelona, dan tanpa beliau, mereka jelas gagal untuk bersaing dalam merebut kejuaraan.

“FC Barcelona telah melepaskan Ronald Koeman dari tugasannya menjadi jurulatih skuad utama.”

Kenyataan rasmi dari Barcelona.

“Presiden kelab, Joan Laporta, telah memberitahu beliau tentang keputusan itu selepas kekalahan bertemu Rayo Vallecano. Ronald Koeman akan ucapkan selamat tinggal kepada skuad pada Khamis nanti di Ciutat Esportiva.”

“FC Barcelona mengucapkan terima kasih atas khidmat beliau terhadap kelab, dan mendoakan yang terbaik untuk karier profesional beliau.”

Presiden kelab, Laporta dan kesemua individu penting Barca sedang berusaha mencari calon pengganti yang paling layak untuk mengendalikan kelab.

Menurut sumber laporan dari Cadena Cope, pihak kelab sangat berminat untuk melantik Xavi sebagai pengurus kelab yang baru bagi menggantikan Ronald Koeman yang sudah mereka ceraikan.

Bahkan, Xavi sendiri yang ketika ini sedang mengendalikan Al Sadd di Qatar turut berminat untuk menerima jawatan sebagai pengurus di kelab lamanya.

Bekas rakan sepasukannya, Lionel Messi juga sebenarnya sangat mengimpikan untuk melihat Xavi kembali ke Barca sebagai seorang pengurus.

Laporan sama turut menyatakan yang sebelum Messi meninggalkan Barca untuk menyertai Paris Saint Germain, beliau sudah menyatakan hasratnya itu kepada pimpinan kelab.

Beliau meminta agar pihak kelab melantik Xavi sebagai pengurus Barca, seandainya kelab mahu memecat Ronald Koeman.

Ketika dalam satu temu bual bersama 20 Minutos pada minggu lalu, pengurus berusia 41 tahun itu telah meluahkan rasa minat beliau untuk mengendalikan Barca dengan menyatakan:

“Cita-cita saya adalah untuk mengendalikan Barcelona, itu merupakan matlamat dan impian saya dan saya tak pernah sembunyikan itu.”

Jelas Xavi.

“Saya tak pasti adakah ia akan berlaku atau tidak, sama ada mereka memerlukan khidmat saya atau tidak, tapi pada ketika ini, saya sangat gembira bersama Al Sadd dan saya sangat berbangga berada di sini.”

“Jika ada tawaran lain yang datang, ia akan dinilai terlebih dahulu dan kemudian kami akan putuskan, tapi pada ketika ini, saya sangat gembira di sini.”

Adakah Barca akan memenuhi permintaan Messi dan membawa Xavi kembali ke Nou Camp sebagai pengurus?

Siapa tahu dengan kehadiran Xavi, Messi akan kembali ke Nou Camp untuk beraksi sebelum beliau mengumumkan persaraannya dari dunia bola sepak.

Sumber: SPORTbible

BACA:  Bintang Venezuela Ini Hampir Tamatkan Karier Messi Dengan Melakukan Terjahan Teramat Bahaya