Kontroversi Pengadil Selepas 5 Perlawanan Liga Malaysia

Liga Malaysia bagi musim 2021 melibatkan Liga Super dan Liga Perdana telah pun bermula dan memasuki perlawanan kelima namun kontroversi melibatkan mutu pengadilan tidak menemui titik noktah.

Saban minggu ada saja kontroversi melibatkan mutu pengadilan dan perkara ini menjanjikan kehangatan di liga Malaysia terutama kepada pasukan yang menjadi mangsa, panas hati kan?

Adakah istilah “Bad Marketing is Good Marketing” diamalkan disini bagi menjadikan liga Malaysia menjadi bualan ramai dan menjadi bahan berita di dada media?

Bad Marketing akan memberikan dua hasil samada memberi kesan buruk atau tidak langsung memberi kesan dan dilupakan ramai seperti angin lalu.

Kurang sebulan liga Malaysia berlangsung hampir saban minggu terjadi kontroversi dan peminat kembali ragu dengan kualiti pengadilan di Malaysia.

Saban tahun keraguan diluahkan dan saban tahun juga menyaksikan mutu pengadilan makin menurun dan ada kala tidak masuk akal serta asas pengadilan juga diragui.

Saban tahun juga menyaksikan pengadil digantung serta-merta dan dirujuk kepada jawatankuasa pengadilan untuk penambahbaikan namun kontroversi terus berulang.

Di mana silapnya? Rosak ikan bermula di kepala.

Marilah kita sama-sama menyaksikan kontroversi yang agak padu yang terjadi setakat ini.

Kelantan FC vs Perak FC II – 7 Mac 2021

Pengadil perlawanan Kelantan FC menentang Perak FC II telah menimbulkan tanda tanya apabila berada di posisi yang salah ketika berlaku serangan di kawasan gol.

Kenapa pengadil berada dalam kawasan gol ketika serangan berlaku? Akibatnya sangat menarik.

Penyerang import Kelantan FC, Jack Hindle dengan selamba dan tanpa bersalah telah menolak pengadil ketika perlawanan berlangsung.

Kejadian tidak diingini itu terjadi dalam perlawanan pertama Liga Perdana 2021 antara pasukan Kelantan FC menentang Perak FC II.

Satu cutback dilakukan kepada Jack Hindle namun malangnya dalam usaha Jack Hindle merebut bola ada pengadil dihadapan.

Mungkin geram dengan kehadiran pengadil yang menutup peluangnya Jack Hindle terus menolak pengadil hingga jatuh ke tanah.

Pengadil kelihatan terpinga-pinga selepas bangun dan cuba memahami apa yang terjadi dan Jack Hindle terselamat daripada sebarang hukuman.

Kelantan tewas tipis kepada Perak FC II dalam perlawanan yang berlangsung di Stadium Sultan Muhammad IV Kota Bharu.

Gol kemenangan Perak FC II dijaringkan oleh Hakimi Mat Isa pada minit ke-49 untuk memboleh Perak FC II meraih 3 mata pertama.

Prestasi pengadil sepanjang perlawanan tersebut adalah memuaskan.

Jawatankuasa Tatatertib FAM tetap berpendapat pengadil berkenaan harus dirujuk kepada Pengurus Pembangunan Pengadil dan Pengadil Profesional FAM untuk mengikuti program penambahbaikan.

PJ City vs Melaka United – 10hb Mac 2021

Lakonan pemain Petaling Jaya City, Beto yang jelas satu simulasi jatuhan bebas menyaksikan pengadil perlawanan telah menghadiahkan sepakan penalti dan menjadi bahan jenaka ramai.

Beto disini adalah Ahmad Khairil Anuar Ahmad Zamri bukannya Beto Kusyairy yang berlakon dalam cerita KL Gangster Underworld I&11 yang membawa watak Ayahanda Shah.

Lakonan Beto yang merupakan seorang pemain bola sepak sangat teruk dan jelas benor menipu, namun pengadil tetap dengan keputusan beliau memberikan sepakan penalti.

Menurut pengulas perlawanan, penjaga garisan cuba menyalurkan maklumat kepada pengadil bahawa itu satu lakonan namun penalti tetap penalti.

Mungkin voucher penalti telah dikeluarkan.

Jawatankuasa Tataterbib kemudian telah mengesahkan bahawa keputusan yang dibuat oleh pengadil perlawanan adalah satu kesilapan dan digantung tugasan pengadilan serta merta selama dua minggu.

Beto kemudian mengakui itu satu simulasi dan menzahirkan rasa malu dengan perbuatannya itu.

Sabah FC vs Terengganu FC – 21hb Mac 2021

Pertemuan antara Sabah FC dan Terengganu FC yang berlangsung di Likas, Sabah meyaksikan kontroversi datang lagi dan keputusan pengadil perlawanan telah menimbulkan tanda tanya.

Pengadil telah mengambil semua tumpuan dalam perlawanan apabila membatalkan jaringan Jordan Mintah melalui satu sundulan selepas gagal dicabar penjaga gol Sabah FC, Robson Rendy.

Robson Rendy kelihatan melanggar Jordan Mintah dan pada pandangan pengadil Jordan Mintah yang mengasari Robson Rendy maka gol itu dibatalkan.

Kalau sekali tengok dah tahu Jordan Mintah tidak melakukan kesalahan maka ulang tayang akan semakin jelas menunjukkan Jordan Mintah yang dilanggar Robson Rendy.

Akibatnya pengadil terbabit telah dikenakan tindakan penggantungan daripada sebarang tugasan perlawanan selama dua minggu secara serta-merta dan akan dirujuk kepada Pengurus Pembangunan Pengadil FAM untuk mengikuti program penambahbaikan prestasi.

Dan akan kembali bertugas bermula dari liga divisyen bawah dan hanya akan dilantik semula sebagai pengadil perlawanan Liga Super selepas prestasinya dinilai berada pada tahap yang memuaskan.

Perak FC vs JDT – 21hb Mac 2021

Kontroversi paling padu yang terjadi di depan mata pegawai perlawanan keempat melibatkan asas pengadilan dan mungkin ketika itu pegawai keempat itu melihat ke arah lain.

Perak mendapat sepakan percuma selepas Sergio Fabian Ezequiel Aguero pemain pinjaman dari Sri Pahang dikasari dan dijatuhkan oleh Matthew Davies dikawasan tengah padang.

Sergio Agureo pantas bangun dan menggolekkan bola untuk melakukan satu sepakan percuma pantas selepas menyedari kedudukan Guillherme De Paula berada diseberang sana.

Cantik sepakan lambung Sergio Aguero yang dikawal kemas Guillherme De Paula dengan dada untuk menolak bola kedepan sebelum meleskan rembatan dan gol kedua terhasil.

Tiada masalah dengan gol yang dihasilkan oleh Guillherme De Paula itu namun masalahnya yang menjadi perbualan adalah hantaran sepakan percuma Sergio Aguero.

Sepakan percuma yang dilakukan oleh Sergio Aguero tidak menepati peraturan bola sepak mengikut kitab International Football Association Board (IFAB).

Sebelum membuat sepakan Sergio Aguero telah mengolekkan bola dan ketika sepakan dibuat bola belum berhenti sepenuhnya atau pegun (stationary).

Lembaga Persatuan Bola Sepak Antarabangsa (IFAB) merupakan badan yang bertanggungjawab melindungi serta menjaga peraturan bola sepak atau the Laws of the Game.

Menurut peraturan sepakan percuma dari Lembaga Persatuan Bola Sepak Antarabangsa (IFAB):

The ball:

• must be stationary and the kicker must not touch the ball again until it has
touched another player.

—–

Bola:

•mesti pegun dan penendang tidak boleh menyentuh bola lagi sehingga berjaya
menyentuh pemain lain.

Stationary membawa makna pegun sama dengan statik atau tidak bergerak la kan? Jadi kau rasa gol tu sah ke tidak?

Ketika kejadian, perbuatan yang tidak mengikut peraturan sepakan percuma dilakukan oleh Sergio Aguero di hadapan pegawai perlawanan keempat.

Sah ke tidak jaringan tersebut, keputusan perlawanan tidak dapat diubah lagu namun ada benda boleh dipelajari dan diperbaiki untuk perlawanan yang akan datang bagi meningkatkan mutu pengadilan.

Terdapat beberapa insiden yang melibatkan sepakan penalti tetapi tiada rakaman video yang jelas yang boleh menimbulkan pelbagai pandangan.

Dalam perlawanan ini beberapa kontroversi terjadi namun FAM secara keseluruhan prestasi pengadil adalah memuaskan sepanjang perlawanan tersebut berlandaskan laporan Penilai Pengadil yang bertugas pada perlawanan tersebut.

Walaupun memuaskan, namun terdapat beberapa penambahbaikan yang perlu dibuat dan pengadil tersebut akan dirujuk kepada kepada Pengurus Pembangunan Pengadil FAM.

Pemain Johor Darul Ta’zim, Natxo Insa akan dirujuk kesnya ke Jawatankuasa Tatatertib FAM berdasarkan bukti rakaman video dan laporan pengadil ekoran tindakannya yang menyerbu dan menyentuh pengadil selepas tamat perlawanan.

Dan kontroversi mengenai jaringan kedua Perak FC langsung tidak disebut.

BACA:  Lima Penyerang Kelas Dunia yang Kembali Menggegar Selepas Kecederaan ACL