Kyle Walker Dilayangkan Kad Merah Kerana Melakukan Kesalahan Yang Mengarut

Kyle Walker telah dilayangkan kad merah ketika aksi kekalahan 2-1 Manchester City bertemu RB Leipzig dalam saingan Champions League awal pagi tadi.

Skuad kendalian Pep Guardiola itu berkunjung ke Red Bull Arena untuk aksi terakhir saingan peringkat kumpulan A bertemu Leipzig.

Walaupun sudah mengesahkan tempat untuk layak beraksi di pusingan kalah mati sebagai Juara kumpulan, Pep Guardiola tetap memilih skuad terbaik untuk di bawa ke Jerman.

Kevin De Bruyne, Jack Grealish, Phil Foden dan Riyad Mahrez kesemuanya diturunkan dalam kesebelasan utama Manchester City dalam perlawanan terakhir peringkat kumpulan.

Walau bagaimanapun, skuad terbaik tak menjamin aksi terbaik dengan The Citizens melalui detik yang sukar di Red Bull Arena hari ini.

Gol jaringan dari Dominik Szoboszlai dan Andre Silva berjaya membantu pasukan tuan rumah untuk mendahului perlawanan dengan kedudukan 2-0.

RB Leipzig berjaya mempertahankan kelebihan dua gol itu sehingga perlawanan berbaki 15 minit sahaja lagi untuk ditamatkan.

Riyad Mahrez kemudiannya berjaya meledak gol untuk Man City cuba merapatkan jurang dan membangkitkan semangat rakan sepasukannya untuk comeback.

Walau bagaimanapun, usaha City untuk comeback berakhir dengan sia-sia selepas Kyle Walker dilayangkan kad merah pada minit ke-82 permainan.

Pemain kebangsaan England itu seolah-olah hilang akal buat seketika selepas beliau merembat kaki Silva dari belakang.

Beliau terus dilayangkan dengan layangan kad merah dan Walker sendiri sedar kesilapan beliau itu sememangnya bahaya.

Beliau sama sekali tidak membantah keputusan pengadil perlawanan dan terus saja kembali ke bilik persalinan untuk mandi awal.

Nampak? Kalau tak kena gaya boleh patah kaki kawan tu dia kerjakan.

Ia benar-benar detik yang gila dari Walker yang dengan tiba-tiba boleh lakukan terjahan sekeras itu pada waktu yang tak sepatutnya.

Man City tidak berada dalam keadaan tertekan dan Silva juga tidak berpotensi untuk menguji gawang gol Ederson, jadi memang tidak ada kepentingan untuk Walker melakukan terjahan tersebut.

Tambahan pula, perlawanan ini sama sekali tidak penting untuk Man City dengan mereka sudah mengesahkan tempat untuk layak ke pusingan kalah mati.

Walau kalah besar sekali pun Man City sudah tetap layak sebagai Juara kumpulan dan kerana itulah para peminat agak bengang dengan tindakan dari Kyle Walker.

Malang untuk Walker, kad merah yang beliau terima menyebabkan beliau bakal terlepas untuk beraksi dalam perlawanan pertama mereka di pusingan 16 terbaik nanti.

Selain Manchester City, Paris Saint Germain juga kini sudah mengesahkan tempat untuk mereka beraksi di pusingan kalah mati nanti sebagai naib juara kumpulan A.

Dua gol jaringan Kylian Mbappe dan dua gol jaringan Lionel Messi sudah cukup untuk membantu Paris Saint Germain mengikuti jejak langkah Man City layak ke pusingan 16 terbaik.

Barcelona (kalau layak), Juventus dan Inter Milan merupakan antara pasukan yang bakal Manchester City jumpa di pusingan kalah mati nanti.

Setakat ini masih belum nampak sama ada kad merah yang diterima oleh Walker itu akan beri kesan atau tidak kepada Manchester City nanti.

Satu hal yang pasti, Pep Guardiola sendiri sebenarnya sangat berharap agar pemain berpengalaman itu akan boleh beraksi untuk skuadnya di pusingan 16 terbaik nanti.

Siapa pun lawan City di pusingan kalah mati nanti, Pep Guardiola perlu menyediakan skuad terbaiknya dalam usaha mereka untuk mengulangi pencapaian layak ke aksi perlawanan akhir seperti musim lalu.

Lebih manis lagi, andai Pep berjaya membantu City untuk memenangi Piala telinga capang itu musim ini, kerana itu sahajalah Piala yang belum beliau menangi di Etihad.

Sumber: GMS

BACA:  Trippier: Kyle Walker Bek Kanan Terbaik Dunia