Kyle Walker Dedah Kaedah Unik Man City Denda Pemain Datang Lewat Untuk Latihan

Pemain pertahanan Manchester City Kyle Walker berkongsi kaedah unik pemain di kelab itu didenda sekiranya datang lewat untuk latihan yang memberikan manfaat kepada rakan sepasukan yang lain.

Disiplin masa adalah antara topik penting baru-baru ini apabila kelewatan Jadon Sancho hadir ke latihan di Manchester United menjadi pencetus ketegangan pemain itu dengan pengurus pasukan Erik ten Hag.

Kebiasaannya kelab-kelab utama di Eropah khususnya di Premier League mempunyai sistem mereka tersendiri – seperti denda atau digugurkan daripada pasukan – dalam memastikan pemain masing-masing sentiasa menepati waktu terutamanya untuk latihan.

Di Man City caranya jelas berbeza. Tiada hukuman gantung atau denda pemotongan gaji akan dilakukan kelab.

Dalam sidang media menjelang perlawanan Champions League menentang Red Star Belgrade, Walker berkata: “Di Man City kami tidak gunakan denda.

“Jika anda lewat 10 minit untuk pertemuan pasukan atau latihan, anda harus belanja semua pemain lain makan. Dan pemain yang ditugaskan untuk mengutip wang tersebut adalah Ruben [Dias] dan Rodri…”

Sebelum ini Riyad Mahrez terpaksa membayar bil makanan keseluruhan pasukan selepas terlewat, seperti mana yang dipaparkan di dalam dokumentari Man City di You Tube.

Walaupun denda secara terus bukan amalan biasa di City, pengurus pasukan Pep Guardiola pernah melaksanakan denda pada musim 2020-21.

Phil Foden pernah ingkar arahan Guardiola bagaimana sepakan percuma seharusnya diambil ketika menentang Marseille di Champions League.

Walaupun marah terhadap pemain itu, Guardiola kemudiannya memohon maaf kerana menengkin pemain itu secara terbuka namun bertindak mendenda Foden kerana ingkar akan arahan taktikal.

Wang denda tersebut bagaimanapun dimasukkan ke tabung perbelanjaan pasukan.

Walker yang menandatangani kontrak baharu untuk terus kekal di Etihad pada musim panas ini merupakan kapten pasukan dalam semua perlawanan City pada musim ini setelah Ilkay Gundogan berhijrah ke Barcelona.

Pemain pertahanan itu adalah antara lima pemain senior yang dianggap sebagai pemimpin utama pasukan selain Kevin De Bruyne, Rodri, Ruben Dias dan Bernardo Silva.

“Kesemua lima kapten yang telah dipilih ini akan memimpin pasukan [dalam dan luar padang] dan akan memastikan setiap denda dibayar.

“Saya tidak fikir dengan itu adalah perkara terpenting kerana ia terpulang kepada saya, Kevin, Rodri, Ruben (Dias) dan Bernardo Silva.

“Ia adalah satu penghormatan untuk memimpin kumpulan pemain yang hebat ini keluar ke padang [untuk perlawanan].

“Saya akan terus melakukan perkara sedemikian dan saya berharap mampu menjadi contoh di dalam dan luar padang untuk memastikan kami menjulang trofi di akhir musim.”

BACA:  Guardiola 'Terkejut' Melihat United Masih Belum Bergelar Pencabar Utama Liga