Lapan Bintang United Bengang Dengan Solskjaer Kerana Mengingkari Janjinya

Lapan pemain Manchester United dilaporkan bengang dengan Ole Gunnar Solskjaer selepas pengurus dari Norway itu melanggar janjinya terhadap kesemua lapan pemain tersebut.

Ole Gunnar Solskjaer sebelum ini berjanji mahu memberikan minit permainan yang cukup kepada kesemua pemain tersebut pada musim ini, namun beliau telah mengingkari janjinya.

Manchester United pada ketika ini sedang berada di kedudukan keenam dalam carta saingan Premier League, dengan Ole Gunnar Solskjaer sendiri turut berada di bawah tekanan yang teramat teruk.

ESPN melaporkan yang tekanan itu bukan hanya datang dari para penyokong atau kelab, namun Solskjaer turut berdepan tekanan dari para pemain dalam skuadnya.

Beliau ditekan oleh segelintir pemain yang pernah beliau tabur janji untuk memberi pemain itu minit permainan yang mencukupi, namun beliau gagal untuk memenuhi janjinya sendiri.

Solskjaer sendiri turut pernah mengakui yang beliau pada musim lalu terlalu bergantung kepada pemain bintang dan jarang untuk melakukan rotation.

Beliau berjanji kepada Donny Van de Beek, Anthony Martial, Jesse Lingard, Dean Henderson, Eric Bailly, Diogo Dalot, Juan Mata dan Alex Telles untuk memberi mereka minit permainan yang mencukupi pada musim ini.

Segelintir dari mereka memutuskan untuk kekal di Old Trafford dan mahu berjuang mendapatkan tempat dalam kesebelasan utama.

Namun segala usaha mereka sepertinya tidak membuahkan hasil dengan ramai dari mereka yang tetap menjadi penilai bangku simpanan stadium mana yang paling menarik.

Van de Beek merupakan pemain berprofil tinggi yang sangat terkesan dengan situasi pada ketika ini, dan beliau antara pemain paling setia menemani Ole Gunnar Solskjaer di tempat duduk pemain simpanan.

Beliau secara keseluruhannya hanya membuat penampilan selama 16 minit sahaja dalam saingan Premier League musim ini dan ia bukanlah satu hal yang baik.

Pemain kebangsaan Belanda itu hilang tempat dari skuad utama Netherlands kerana kekurangan minit permainan, dengan Jesse Lingard turut berdepan isu yang sama.

Lingard turut diketepikan dari skuad kebangsaan England selepas beliau jarang untuk mendapatkan minit permainan bersama setan merah.

Sementara ketua pasukan, Harry Maguire yang diturunkan dalam kesebelasan utama ketika aksi kekalahan 4-2 bertemu Leicester bulan lalu, sentiasa diberikan peluang untuk beraksi walau tidak cergas.

Para peminat sering mempertikaikan keputusan Ole Gunnar Solskjaer kerana memilih Harry Maguire yang sedang bergelut dengan masalah prestasi berbanding Bailly.

Setan merah bergelut dengan masalah prestasi dan mereka juga sering mencatatkan keputusan yang tidak menggembirakan para peminat sejak kebelakangan ini.

Selain bergelut masalah prestasi, Ole Gunnar Solskjaer juga berdepan masalah untuk menenangkan para pemainnya yang kini sudah mula kecewa tidak dapat bermain.

Mereka mencatatkan enam kekalahan dari 12 perlawanan terakhir, dan Solskjaer turut menggunakan pemain yang sama sahaja ketika kekalahan bertemu Leicester City, Liverpool dan Manchester City.

Pada bulan Ogos lalu, Ole Gunnar Solskjaer pernah menyatakan bahawa:

“Kita perlu sampai pada bulan April dan Mei dengan pemain berada dalam keadaan segar. Kita perlukan pemain yang ada X factor dan yang boleh melakukan perubahan.”

“Bruno Fernandes tahun lalu boleh dijadikan contoh, mungkin saya terlebih gunakan dia, tapi ia kerana dia sangat penting untuk kita.”

“Selain pemain utama, Jesse Lingard akan kembali, Jadon Sancho akan tiba, Anthony Martial kembali cergas, ia memberikan kami lebih banyak tugasan untuk diuruskan.”

United akan kembali beraksi pada hujung minggu ini bertemu Watford, dengan mereka selepas itu bakal bertemu pendahulu saingan Premier League, Chelsea.

Laporan terbaru menyatakan yang Ole Gunnar Solskjaer mungkin akan dipecat dengan Brendan Rodgers dikaitkan sebagai calon pengganti.

Brendan Rodgers dilaporkan sudah bersetuju untuk menerima tawaran dari Manchester United dengan pihak kelab juga yakin mampu melakukan rundingan dengan Leicester City untuk mendapatkan pengurus mereka itu.

Sumber: SPORTbible

BACA:  Ole Gunnar Solskjaer Menunjukkan Keperibadian Yang Indah Dan Sikap Terpuji Yang Wajib Dipuji