Leicester Pecat Claude Puel Berikutan Kekalahan Memalukan Kepada Crystal Palace

Claude Puel menjadi pengurus terbaru dipecat dalam Liga Perdana Inggeris walaupun baru mengambil alih jawatan tersebut 16 bulan yang lalu.

Berikutan kekalahan memalukan di tempat sendiri kepada Crystal Palace awal pagi tadi, Leicester mengambil keputusan untuk berpisah dengan Puel dengan serta merta bagi menyelamatkan musim mereka.

Kekalahan 4-1 kepada Crystal Palace di tempat sendiri dianggap keputusan yang tidak dapat diterima kelab.

Leicester kini menduduki tangga ke-12 dalam liga ketika ini, 8 mata di atas zon relegasi. Puel berada dalam tekanan sejak beberapa minggu kebelakangan ini dan kekalahan kepada Crystal Palace merupakan perlawanan ke-6 berturut-turut Leicester gagal mencatat kemenangan.

Leicester juga mempunyai rekod buruk di gelanggang sendiri musim ini. Mereka telah kalah 4 perlawanan liga berturut-turut di King Power Stadium buat kali pertama dalam 19 tahun.

Satu kenyataan rasmi telah dikeluarkan Leicester untuk mengumumkan pemecatan Puel dan jurulatih pasukan utama akan menggalas tugas mengendalikan pasukan buat sementara waktu.

“Pihak kelab ingin mengucapkan terima kasih kepada Claude atas sumbangan beliau membimbing pasukan ini sejak 16 bulan yang lalu dan kami ingin mengucapkan selamat maju jaya pada karier beliau pada masa hadapan.”

“Penolong pengurus, Jacky Bonnevay turut meninggalkan kelab ini dan kami mengucapkan selamat maju jaya kepada beliau.”

“Jurulatih pasukan utama,  Mike Stowell dan Adam Sadler, dengan dibantu barisan kejurulatihan akan mengambil alih tugas menguruskan skuad senior sementara kelab memulakan usaha untuk melantik pengurus baru.”

“Pihak lembaga kelab tidak akan mengeluarkan sebarang komen lagi sehingga proses ini selesai.”

Perlawanan Leicester yang seterusnya adalah menentang Brighton di tempat sendiri pada pertengahan minggu hadapan sebelum berkunjung ke Watford beberapa hari selepas itu.

BACA:  TERKINI: Al Nassr Digantung Daftar Pemain Baharu Oleh FIFA